Rabu, 1 Januari 2020

Asyraf: Malas baca kertas kabinet? Letak jawatan!

MALAYSIAKINI




Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Khalid Samad meletakkan jawatan selepas menteri Wilayah Persekutuan itu mengaku tidak membaca kertas kabinet.

"Kalau sudah malas dan tiada masa membaca kertas kabinet, lebih baik letak jawatan," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Khalid memberitahu pemberita bahawa menteri-menteri kabinet telah meluluskan kertas dasar untuk memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai esok.

Pemimpin Amanah itu mendakwa bahawa kertas kabinet hanya diedarkan pada hari mesyuarat kabinet dan bukan dua minggu sebelum seperti biasanya.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, elaun akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan dilaksanakan hanya apabila perlu.

Bagaimanapun, bagi Asyraf, elaun itu melibatkan "periuk nasi" rakyat dan Khalid sepatutnya meneliti dokumen itu.

"Sudah tercabutkah naluri keinsanan untuk mengambil kira denyut nadi rakyat yang hakikatnya kian tertekan dengan kos sara hidup yang tidak turun-turun sebagaimana dijanjikan PH sebelum jadi kerajaan?," soal Asyraf.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengkaji semula keputusan itu pada mesyuarat kabinet Rabu depan.


Tiada ulasan: