Rabu, 1 Januari 2020

Perkasa terkilan pelajar Cina penerima terbesar biasiswa JPA

Nizam Zain
Datuk Ibrahim Ali
Datuk Ibrahim Ali


AMPANG – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali melahirkan rasa terkilan terhadap keputusan penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) luar negara bagi Zon Utara yang tular di media sosial sejak semalam.

Lebih malang kata Ibrahim apabila pelajar Melayu merupakan kaum paling sedikit menerima tajaan pendidikan ke luar negara itu iaitu seramai 12 orang sahaja berbanding pelajar Cina 50 orang dan India 18 orang.

“Saya terkilan dengan satu tular keluar mendakwa biasiswa JPA untuk Zon Utara yang diberi kepada semua kaum tetapi jumlahnya Bumiputera lebih kecil daripada Cina, malah kalau dicampur penerima Cina dan India, kaum Bumiputera masih kurang.

“Biasiswa JPA ini dari segi Perlembagaannya adalah hak keistimewaan orang Melayu. Dulu diberi 10 peratus kepada bukan Bumiputera, tiada siapa bangkit atas ihsan, atas murah hati kerajaan dan orang Melayu kepada kaum lain.

“Tapi zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, sudah meningkat, zaman Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat jadi (50-50).

“(Tapi) Sekarang ini sudah jadi kurang daripada 50 peratus,” katanya pada sidang media di Rumah Bakti Dato’ Harun, Ulu Klang, di sini, hari ini.
Borang JPA
Borang pendaftaran pelajar program khas Jepun, Korea, 
Perancis dan Jerman 2019 bagi Zon Utara (Pulau Pinang) 
dipercayai di bawah Jabatan Perkhidmaan Awam (JPA) 
yang tular di media sosial, sejak semalam.
Beliau merujuk kepada sekeping borang pendaftaran pelajar program khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman 2019 bagi Zon Utara (Pulau Pinang) dipercayai di bawah JPA yang tular di media sosial, sejak semalam.

Borang JPA bertarikh 9 Mei 2019 turut menyenaraikan 80 pelajar yang terpilih untuk mendapat tajaan pendidikan kerajaan itu.

Ibrahim juga menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang mengejutkan dan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan orang Melayu.

“Walaupun Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka tidak boleh melanggar Perlembagaan hak istimewa orang Melayu,” katanya.

Ibrahim turut mendesak Majlis Raja-Raja Melayu agar mencampuri perkara itu susulan ia meminggir dan menafikan hak keistimewaan orang Melayu.

“Saya minta Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan, saya minta perkara ini dikaji balik dan saya minta semua orang Melayu bangkit menentang keputusan ini, kalau ia betul,” katanya.

Katanya lagi, jika keputusan penerima biasiswa yang tular itu palsu, pihak yang bertanggungjawab perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara terbabit.

“Kalau tidak, minta JPA buat penafian di atas apa yang disebarkan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: