Ramai pengundi di sini memuja Rafizi, dan kerusi Pandan hampir pasti menjadi milik presiden PKR.

Papan
tanda menunjukkan Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon kerusi Pandan yang
terpaksa ditinggalkan Rafizi Ramli selepas satu penggal.
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli tampaknya berjaya meninggalkan kesan
mendalam dan berkekalan ke atas pengundi di Pandan walaupun menjadi
wakil mereka hanya selama satu penggal.
Penduduk yang ditemui selepas ceramah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Ismail pada Selasa lalu, tidak berhenti-henti bercakap tentang
beliau.
Ramai melihat Rafizi sebagai orang muda yang berbakat dan menyuarakan
kekecewaan mereka bahawa beliau terpaksa tidak mengambil bahagian dalam
pilihan raya kali ini kerana sabitan mahkamah yang dihadapinya.
“Rafizi sangat pandai dan banyak menyumbang kepada kawasan ini,” kata penduduk, Kalid Yusof, 67.
“Dia lantang, bercakap di dalam dan luar Parlimen. Rugi besar dia tak
dapat bertanding sebagai calon setelah kerja kerasnya, bukan sahaja di
Pandan, tetapi juga tempat lain.”
Wan Azizah yang menerima sambutan hangat ketika ceramahnya berkata
beliau bertanding di kerusi Pandan sebagai penghormatan kepada kerja
kuat Rafizi dan akan mempertahankan kerusi tersebut.
Rafizi, naib presiden PKR, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana
mendedahkan maklumat sulit perbankan National Feedlot Corporation pada
Mac 2012. Beliau memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut dan kini
bebas sementara menunggu keputusan rayuan itu.
Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013 dengan majoriti 26,729 undi
mengalahkan calon MCA Lim Chin Yee dan calon bebas Tan Yew Leng.
Kalid berkata beliau mengundi di Pandan lebih 30 tahun dan telah
melihat banyak pembangunan yang berlaku di kawasan itu sepanjang masa
tersebut.
“Saya ada di sini pada zaman (bekas presiden MCA) Ong Tee Kiat.
Beliau bawa banyak pembangunan ke sini. Rafiz sendiri pada waktu itu
mengaku beliau bakal hadapi saingan sengit daripadanya pada 2013, tetapi
MCA gugurkan beliau sebagai calon.”
Tong Kween Yee, 70, juga sedih dengan ketiadaan Rafizi sebagai calon.
“Dia orang muda yang pandai, cerdas dan mempunyai banyak idea bernas.
Perkhidmatannya kepada penduduk juga bagus, dan banyak kemudahan di
sini telah dibaiki dan dinaik taraf.
“Walaupun dia tidak selalu ada, dia tokoh popular yang sibuk ke sana
dan ke mari tetapi khidmatnya tetap sampai kepada penduduk,” katanya.
Beliau juga percaya Wan Azizah berkemampuan memberikan khidmat
terbaik untuk penduduk Pandan. “Dia ada pengalaman dan saya percaya dia
boleh buat.”
Dua penduduk lama kawasan ini percaya fokus utama pengundi sekarang
ialah mahu menukar kerajaan sedia ada di peringkat pusat kepada sebuah
kerajaan baru untuk menjadikan Malaysia lebih baik.
Tong menyuarakan kekecewaannya terhadap kerajaan sekarang dan
menyebut tentang kos hidup yang tinggi sebagai sebab kenapa beliau
mahukan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Saya tak gembira. Saya mahu perubahan yang boleh membaiki keadaan.”
Seorang wanita, 38, yang mahu dikenali sebagai Shila berkata, beliau
juga kecewa yang Rafizi hilang kelayakan untuk bertanding. “Pengundi
muda sangat menghargai orang muda berbakat sepertinya.”
Shila berkata beliau akan mengundi Wan Azizah bagi memastikan kerusi
Parlimen Pandan kekal di tangan PH. “Saya tidak gembira dengan kerajaan
sekarang dan mahu PH menang kali ini.”
Wan Azizah bakal menghadapi saingan daripada 4 calon lain, iaitu
Mohamed Sukri Omar (PAS), Leong Kok Wee (BN-MCA), Lee Ying Ha (Parti
Rakyat Malaysia) dan calon bebas Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Kerusi Parlimen Pandan adalah kerusi campuran dengan komposisi pengundi Melayu dan Cina masing-masing sebanyak 46% dan India 7%.