Khamis, 3 Mei 2018

Siapa menteri dalam negeri ketika insiden mata lebam Anwar?

Oleh Asharaf Jamil


Anwar hadir ke mahkamah pada 29 September 1998 dengan mata lebam – dibelasah polis sewaktu dalam tahanan dan Dr Mahathir adalah menteri dalam negeri dari 17 Mac 1986 hingga 10 Januari 1999.

 
 
 


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Kak Wan dalam kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mengajak semua rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, mata lebam sebagai kezaliman yang diperlakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Undilah PH yang nampak macam biji mata, Anwar Ibrahim memang kena tumbuk, sewaktu berceramah di Pengkalan Kundur, Kuala Kedah.

Kak Wan menceritakan bagaimana polis menyerbu rumahnya dan menahan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998.

Beliau meminta polis jangan mengapa-apakan suaminya, namun menurut Kak Wan, suaminya dibelasah. Ini cerita lama, tetapi suaminya dibelasah sehingga separuh mati.

Anwar hadir ke mahkamah pada 29 September 1998 dengan mata lebam – dibelasah polis sewaktu dalam tahanan.

Akibat insiden ini, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor didapati bersalah dan hukuman penjara 2 bulan dikenakan ke atasnya. Hari ini ironis sekali Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS mempersendakan insiden tersebut sebagai drama Tamil.

Apapun Kak Wan dalam menceritakan insiden mata lebam, beliau berkata walaupun ini cerita lama, tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk menentang kezaliman, baik kepada Anwar mahupun rakyat terbanyak.

Bagaimanapun, sesuatu yang tidak diberitahu ialah penegasan siapa menteri dalam negeri ketika itu yang bertanggungjawab terhadap polis. Tun Dr Mahathir Mohamad adalah menteri dalam negeri dari 17 Mac 1986 hingga 10 Januari 1999 dan lebih menarik lagi, Dr Mahathir menggunakan loga mata lebam – simbolik bendera PKR sebagai colon untuk bertanding di Langkawi pada PRU14.

Sesuatu yang tidak disangka akan berlaku. Mungkin Kak Wan juga harus mengingatkan Dr Mahathir bahawa logo yang digunakan itu amat signifikan kepada kezaliman pemerintahannya ketika itu.

Semestinya sebagai menteri dalam negeri, beliau sudah dimaklumkan mengenai insiden belasah Anwar dalam penjara.

Dengan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu, beliau dilaporkan berkata ada kemungkinan Anwar Ibrahim mencederakan diri untuk meraih simpati.

Ini membuatkan ramai pengikut Reformasi marah atas apa yang dikatakan Dr Mahathir.

Namun, hari ini golongan Reformasi dan kepimpinan PKR selesa mengambil semula Dr Mahathir sebagai pemimpin nombor satu dalam mengatur urus PRU14, menggunakan logo mata lebam PKR dan ditambah pula bersetuju untuk Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ke-7, sekiranya PH memang pada PRU14.

Mungkin ini kerenah kepimpinan politik kita. Tuduhan mencederakan diri untuk meraih simpati dan baru-baru ini, tuduhan Dr Mahathir akan dimasukkan ke hospital menjelang PRU14 untuk mendapatkan simpati, mengikut “ramalan” Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Apapun, sejarah tidak boleh kita lupakan – memang mengingati sejarah memberi iktibar kepada kita. Namun, manipulasi sejarah – menceritakan separuh dan tidak memberitahu keseluruhannya, merugikan.

Kita juga tidak akan lupa perlakuan Dr Mahathir pada zaman pemerintahannya, khususnya pada 1998.

*Asharaf Jamil ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: