PRU14 | Mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menggesa pengundi Lembah Pantai untuk menolak Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
"Undi BN undi bininya. Bini itu bini Najib," kata beliau.
Daim juga menggunakan ungkapan RABU yang popular di kalangan penyokong HARAPAN yang bermaksud singkatan untuk ayat Rakyat Akan Buang Umno.
"Terima kasih kepada Najib kerana pilih hari Rabu. Rakyat akan buang Umno," katanya dalam majlis ceramah kempen HARAPAN di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur malam ini.
Beliau juga mengkritik cukai GST, berkata pada era 1990an kerajaan tidak pernah mengenakan cukai sebegitu kepada orang ramai walaupun negara berdepan kemelesetan ekonomi.
Daim juga menyatakan sokongannya kepada calon PKR bagi Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Dalam majlis sama, Fahmi Fadzil mencabar pesaingnya calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk berdebat mengenai sebab-sebab Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 tidak diwartakan. Pelan itu diderafkan ketika Raja Nong Chik menjawat menteri pembangunan wilayah dan kesejahteraan bandar.
"Raja Nong Chik saya ingin menjemput berdebat tentang pelan bandaraya Kuala Lumpur 2020.
"Pelan ini dia mulakan pada tahun 2009 ketika dia jadi menteri wilayah. Ia disiapkan pada 2012, mengambil kos RM30 juta. Bila siap, beliau tak nak mewartakan plan tersebut.
"Kenapa saya bangkitkan isu ini? Kalau ada, pelan ini akan pastikan pembangunan di seluruh Kuala Lumpur menjadi pembangunan lestari, sustainable," katanya.
Semalam, bekas menteri kewangan memeriahkan lagi suasana kempen menjelang PRU ke-14 apabila muncul memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.
Menyertai ceramah HARAPAN di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pendang, Daim mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan kesilapan mengundi BN.
Sebaliknya kata Daim, mereka mesti mengundi 'mata' - merujuk kepada simbol PKR yang disepakati oleh HARAPAN menjadi logo bersama mereka sempena PRU kali ini.
"Pangkah mata, jangan pangkah dacing (BN) sebab dacing tu tipu. Kemudian pada 10 hari bulan nanti, kita akan ada sebuah kerajaan baru," katanya di depan hampir 100 orang yang berada di program berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan