Khamis, 3 Mei 2018

Wan Azizah syorkan SPR umum bilangan pengundi pos


 Wan Azizah

KEADILAN DAILY


Calon timbalan perdana menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mendedahkan jumlah sebenar pengundi pos berdaftar.

Menurutnya, tindakan SPR menyembunyikan jumlah sebenar pengundi pos yang melibatkan 11 buah agensi kerajaan menimbulkan keraguan terhadap agensi itu.

“Hingga kini SPR masih belum mengumumkan dan tidak mewartakan secara rasmi bilangan pemilih pos bagi setiap bahagian pilihan raya di seluruh negara.

“Saya mempersoalkan kenapa SPR masih tidak mengumumkannya?

“Saya tuntut SPR dengan seberapa segera mengumumkan dan mewartakan secara rasmi bilangan pemilih pos bagi setiap bahagian pilihan raya di seluruh negara agar parti-parti yang bertanding mengetahui bilangan sebenar pemilih pos yang berdaftar bagi kategori 1A, 1B dan 1C,” kenyataan beliau dipetik.

Katanya, pengumuman itu mestilah dilakukan sebelum kertas undi pos yang diberikan kepada pengundi dikembalikan kepada SPR.

“Pengumuman dan pewartaan mestilah diumumkan sebelum kertas undi pos dikembalikan kepada pegawai pengurus,” katanya.

Surat terbuka Tun Dr Mahathir buat ahli UMNO seluruh Malaysia


Roketkini.com

“Sokongan saudara-saudari kepada Najib akan memburukkan lagi keadaan negara tercinta ini. Takkanlah saudara-saudari tidak sedar bahawa dari sebuah negara yang dikagumi dunia, Malaysia sudah jadi negara rasuah pimpinan penjenayah yang diketawakan dunia.”

Demikian petikan surat terbukan Pengerusi Pakatan Harapan, merangkap mantan perdana menteri keempat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada ahli-ahli UMNO seluruh Malaysia.

Baca dan sebarkan kepada rakan-rakan yang masih tegar menyokong kepimpinan kleptokratik UMNO-BN.



Seniman tak kecewa jemputan tak disambut HARAPAN

Ali Bukhari Amir
 

   
Presiden Paksi Seniman Rakyat (Paksi) Dinsman tidak berasa terkilan apabila jemputan untuk bertemu pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) baru-baru ini bagaikan tidak bersambut.

Walaupun tiada pimpinan HARAPAN yang hadir pada acara Paksi  yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 26 hingga 27 April lalu, Dinsman berkata beliau menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya tak kecewa, Saya dah menduganya. Saya membuat jemputan di Facebook itu sebagai menyatakan sikap 'tekad budaya' yang selalu saya kemukakan sebagai perjuangan golongan seniman - budayawan - intelektual," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Dinsman penyandang kerusi DUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong ada datang ke acara itu sebanyak dua kali walaupun sibuk dengan kempen pilihan raya umum.

"Tiada yang datang. Di Kuala Kubu Bharu itu hanya Lee Kee Hiong yang datang.

"Beliau memang selalu bersama kami dalam program-program seni dan budaya yang sering kami buat di situ," katanya.

Menurut Dinsman, jemputan yang dibuat oleh badan keseniaan dan kebudayaan itu bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan HARAPAN.


"Sebab apa saya nak jumpa (pimpinan HARAPAN? Sekurang-kurangnya saya menyatakan sokongan kami kepada HARAPAN. Sebab itu saya tak menjemput pihak BN," kata Dinsman, atau nama penuhnya Che Shamsuddin Othman.

Pertengahan bulan lalu Dinsman mengajak pemimpin HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu untuk bertemu dalam satu program seni budaya yang diadakan Paksi pada 26 hingga 27 April.

Dalam catatan Facebooknya, Dinsman berkata, para pimpinan utama HARAPAN boleh datang pada bila-bila masa dalam tempoh itu di Kuala Kubu Bharu.

"Tengah malam pukul 3 pagi pun boleh. Kami sedia menunggu dan menyambut. Boleh saja hubungi YB Lee Kee Hiong, sahabat baik kami yang juga ADUN di situ kalau ada sebarang keraguan," kata pengarah teater Menunggu Kata Dari Tuhan itu.

Dinsman menambah ada pihak tertentu mahu membawa pimpinan politik berkenaan bertemu Paksi, namun memintanya membuat jemputan rasmi.

"Saya tak setuju sebab tak mahu mereka jangkakan yang lebih-lebih menjadi majlis kempen politik.
"Program kami santai-santai saja di kalangan seniman-budayawan. Kalau mereka minat datanglah, (kalau) tak minat tak mengapa," katanya lagi.

Belum ada lagi puisi untuk Dr M

Untuk rekod, Dinsman yang sebelum ini dikenali sebagai seorang penulis sastera dan penggiat teater, pernah mengarang dua puisi buat Mahathir.

Pertama, Puisi Panjang Untuk Mahathir yang dihasilkan pada 1977 dan kedua, Macam Orang Gila yang ditulis pada 2011.

Kedua-dua puisi itu dituju kepada Mahathir dalam dua nada berbeza.

Ketika ditanya apakah beliau akan mengarang sebuah lagi puisi untuk Mahathir, Dinsman berkata perkara itu belum ada dalam perancangannya.

"Atau belum ada puisi panjang yang baru untuk dia (Tun Mahathir)," kata pengarang buku politik 'Gagalnya Formula Mahathir' (1998) itu.


DAP Tampal Wajah Mahathir Dengan Tanda Soal

 

 


KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang bertopengkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah menghina Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila memadam wajah Pengerusi Pakatan Harapan itu pada poster kempen mereka dengan warna merah.

Lebih menyedihkan, wajah Mahathir ditukar dengan tanda soal warna putih walaupun ia dipercayai sebagai provokasi kepada syarat penggunaan gambar kempen yang dihadkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Media arus perdana melaporkan pemimpin DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan gabungan pembangkang bertopengkan PKR itu akan menutup gambar Mahathir yang terdapat pada poster dan papan tanda kempen di negeri itu.

“Kita tak mahu mereka (SPR) runtuhkan papan tanda yang ada gambar calon kawasan itu bersama Mahathir,” dakwanya seperti dilaporkan pihak media.

Pakatan Harapan yang dibarisi oleh DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) membuat keputusan hanya menggunakan logo PKR dalam PRU14.

Langkah itu dipercayai bagi memperdaya pengundi PRU14 khususnya Melayu beragama Islam yang tidak menyokong DAP dan PKR.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini meluahkan rasa hairan dengan sikap pembangkang mempersoalkan garis panduan penggunaan gambar ketika kempen kerana ia bukan peraturan baharu.

Kata beliau, syarat penggunaan gambar ketika kempen yang dihadkan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden merupakan prosedur operasi standard (SOP) sejak PRU12 supaya bahan kempen tidak mengelirukan pengundi. – MYNEWSHUB.CC



Pegawai Penerangan Guan Eng Dakwa DAP Lebih Islamik Daripada PAS

 

 



Pengawai Penerangan Lim Guan Eng, Wan Ji Wan Hussin mendakwa DAP lebih Islamik berbanding dengan PAS.

Wan Ji membuat perbandingan itu berdasarkan satu infografik yang direkayasa di antara pentadbiran Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang pimpinan Guan Eng dengan Kerajaan Negeri PAS Kelantan pimpinan Dato’ Ahmad Yakob.

“Semenjak Ustaz Mat Yaacob jadi MB Kelantan, tidak ada perlaksanaan Islam yang dilaksanakan. Semuanya hanya retorika sahaja,” dakwa Wan Ji dalam Facebook.

RABU-Rakyat akan buang Umno, kata Daim

Annabelle Lee

 
 

 PRU14 | Mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menggesa pengundi Lembah Pantai untuk menolak Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei ini.

"Undi BN undi bininya. Bini itu bini Najib," kata beliau.

Daim juga menggunakan ungkapan RABU yang popular di kalangan penyokong HARAPAN yang bermaksud singkatan untuk ayat Rakyat Akan Buang Umno.

"Terima kasih kepada Najib kerana pilih hari Rabu. Rakyat akan buang Umno," katanya dalam majlis ceramah kempen HARAPAN di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur malam ini.

Beliau juga mengkritik cukai GST, berkata pada era 1990an kerajaan tidak pernah mengenakan cukai sebegitu kepada orang ramai walaupun negara berdepan kemelesetan ekonomi.


Daim juga menyatakan sokongannya kepada calon PKR bagi Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.


Dalam majlis sama,  Fahmi Fadzil mencabar pesaingnya calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk berdebat mengenai sebab-sebab Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 tidak diwartakan. Pelan itu diderafkan ketika Raja Nong Chik menjawat menteri pembangunan wilayah dan kesejahteraan bandar.

"Raja Nong Chik saya ingin menjemput berdebat tentang pelan bandaraya Kuala Lumpur 2020.
 
"Pelan ini dia mulakan pada tahun 2009 ketika dia jadi menteri wilayah. Ia disiapkan pada 2012, mengambil kos RM30 juta. Bila siap, beliau tak nak mewartakan plan tersebut.

"Kenapa saya bangkitkan isu ini? Kalau ada, pelan ini akan pastikan pembangunan di seluruh Kuala Lumpur menjadi pembangunan lestari, sustainable," katanya.




Semalam, bekas menteri kewangan memeriahkan lagi suasana kempen menjelang PRU ke-14 apabila muncul memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.

Menyertai ceramah HARAPAN di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pendang, Daim mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan kesilapan mengundi BN.

Sebaliknya kata Daim, mereka mesti mengundi 'mata' - merujuk kepada simbol PKR yang disepakati oleh HARAPAN menjadi logo bersama mereka sempena PRU kali ini.

"Pangkah mata, jangan pangkah dacing (BN) sebab dacing tu tipu. Kemudian pada 10 hari bulan nanti, kita akan ada sebuah kerajaan baru," katanya di depan hampir 100 orang yang berada di program berkenaan.

Nik Omar batal ceramah di Bachok sebab hormat Nik Abduh

N Faizal Ghazal

    PRU14 | Malam ini Nik Omar Nik Abdul Aziz sekali lagi menunjukkan bagaimana gaya politiknya dalam dunia yang baru saja dijejaki itu.

Anak kedua bekas mursyidul am PAS itu membuat kejutan dengan membatalkan ceramahnya yang sepatutnya berlangsung di Bachok - kawasan Parlimen yang ditandingi adiknya Nik Abduh.

"Nik Omar tak berceramah di Bachok malam ini. Ia bagi menghormati tempat adiknya bertanding di Parlimen itu," kata pegawai pengiringnya Mejar (B) Zaidi Ab Halim kepada Malaysiakini.

Namun katanya lagi, Nik Omar tetap hadir ke program itu bagi menghormati undangan kepadanya.

"Kami hadir tetapi beliau tidak akan sampaikan ceramah, beliau akan ke satu lagi program ceramah di DUN Limbongan, Pasir Puteh," katanya.

Terdahulu, laman Facebook rasmi Nik Omar turut memohon maaf atas pembatalan itu dengan menyatakan "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan" sebagai puncanya.

Selepas pelbagai spekulasi berhubung pendirian politiknya, beliau memberi jawapannya pada hari penamaan calon Sabtu lalu dengan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Chempaka.

Tidakan itu menyebabkan beliau dihujani kecaman dan tuduhan tetapi pada masa sama turut menjadikannya antara topik utama kempen PRU ke-14 setakat ini.

Esok beliau akan membuat kemunculan sulung di luar Kelantan apabila dijadual menyertai beberapa program di ibu kota dan sekitarnya, termasuk majlis ceramah bersama Tun Dr Mahathir di Putrajaya.



Daim, Rafidah sertai Dr M di Melaka Jumaat ini

Geraldine Tong


   

PRU14 | Selepas Tun Daim Zainuddin, kemungkinan besar giliran Tan Sri Rafidah Aziz pula untuk menyertai kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu program ceramah di Ayer Keroh, Melaka malam ini.

Beliau berkata dua tokoh Umno itu akan menyertai program ceramah bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad di DUN Bukit Katil (sebelum ini Bukit Baru) Jumaat ini.

"Saya bercakap dengan anak Daim dan insyaAllah, beliau akan menyertai kita pada 4 Mei ini dalam program bersama Mahathir.

"Dan saya juga tidak pasti sama ada boleh cakap tentang ini tetapi Rafidah juga akan ada pada malam itu," katanya disambut sorakan kira-kira 250 hadirin.

Daim dan Rafidah merupakan dua menteri kanan ketika pentadbiran Mahathir. Daim adalah menteri kewangan menakala Rafidah menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Rafidah yang dikenali sebagai 'wanita besi' memang lantang mengkritik kerajaan terutama berkaitan skandal 1MDB.

Daim pula yang lebih berdiam diri membuat kejutan dengan menyertai kempen HARAPAN sejak dua hari lalu.

Pada PRU ini, Shamsul sekali lagi akan berdepan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya (sebelum ini Bukit Katil) yang disandangnya.
Ayer Keroh dan Bukit Katil adalah dua DUN yang berada dalam kawasan parlimen itu.


Siapa menteri dalam negeri ketika insiden mata lebam Anwar?

Oleh Asharaf Jamil


Anwar hadir ke mahkamah pada 29 September 1998 dengan mata lebam – dibelasah polis sewaktu dalam tahanan dan Dr Mahathir adalah menteri dalam negeri dari 17 Mac 1986 hingga 10 Januari 1999.

 
 
 


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Kak Wan dalam kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mengajak semua rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, mata lebam sebagai kezaliman yang diperlakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Undilah PH yang nampak macam biji mata, Anwar Ibrahim memang kena tumbuk, sewaktu berceramah di Pengkalan Kundur, Kuala Kedah.

Kak Wan menceritakan bagaimana polis menyerbu rumahnya dan menahan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998.

Beliau meminta polis jangan mengapa-apakan suaminya, namun menurut Kak Wan, suaminya dibelasah. Ini cerita lama, tetapi suaminya dibelasah sehingga separuh mati.

Anwar hadir ke mahkamah pada 29 September 1998 dengan mata lebam – dibelasah polis sewaktu dalam tahanan.

Akibat insiden ini, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor didapati bersalah dan hukuman penjara 2 bulan dikenakan ke atasnya. Hari ini ironis sekali Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS mempersendakan insiden tersebut sebagai drama Tamil.

Apapun Kak Wan dalam menceritakan insiden mata lebam, beliau berkata walaupun ini cerita lama, tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk menentang kezaliman, baik kepada Anwar mahupun rakyat terbanyak.

Bagaimanapun, sesuatu yang tidak diberitahu ialah penegasan siapa menteri dalam negeri ketika itu yang bertanggungjawab terhadap polis. Tun Dr Mahathir Mohamad adalah menteri dalam negeri dari 17 Mac 1986 hingga 10 Januari 1999 dan lebih menarik lagi, Dr Mahathir menggunakan loga mata lebam – simbolik bendera PKR sebagai colon untuk bertanding di Langkawi pada PRU14.

Sesuatu yang tidak disangka akan berlaku. Mungkin Kak Wan juga harus mengingatkan Dr Mahathir bahawa logo yang digunakan itu amat signifikan kepada kezaliman pemerintahannya ketika itu.

Semestinya sebagai menteri dalam negeri, beliau sudah dimaklumkan mengenai insiden belasah Anwar dalam penjara.

Dengan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu, beliau dilaporkan berkata ada kemungkinan Anwar Ibrahim mencederakan diri untuk meraih simpati.

Ini membuatkan ramai pengikut Reformasi marah atas apa yang dikatakan Dr Mahathir.

Namun, hari ini golongan Reformasi dan kepimpinan PKR selesa mengambil semula Dr Mahathir sebagai pemimpin nombor satu dalam mengatur urus PRU14, menggunakan logo mata lebam PKR dan ditambah pula bersetuju untuk Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ke-7, sekiranya PH memang pada PRU14.

Mungkin ini kerenah kepimpinan politik kita. Tuduhan mencederakan diri untuk meraih simpati dan baru-baru ini, tuduhan Dr Mahathir akan dimasukkan ke hospital menjelang PRU14 untuk mendapatkan simpati, mengikut “ramalan” Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Apapun, sejarah tidak boleh kita lupakan – memang mengingati sejarah memberi iktibar kepada kita. Namun, manipulasi sejarah – menceritakan separuh dan tidak memberitahu keseluruhannya, merugikan.

Kita juga tidak akan lupa perlakuan Dr Mahathir pada zaman pemerintahannya, khususnya pada 1998.

*Asharaf Jamil ialah pembaca FMT.

Di Pandan, pujaan untuk Rafizi beri isyarat menang kepada Wan Azizah

 
Ramai pengundi di sini memuja Rafizi, dan kerusi Pandan hampir pasti menjadi milik presiden PKR.


Papan tanda menunjukkan Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon kerusi Pandan yang terpaksa ditinggalkan Rafizi Ramli selepas satu penggal.

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli tampaknya berjaya meninggalkan kesan mendalam dan berkekalan ke atas pengundi di Pandan walaupun menjadi wakil mereka hanya selama satu penggal.

Penduduk yang ditemui selepas ceramah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada Selasa lalu, tidak berhenti-henti bercakap tentang beliau.

Ramai melihat Rafizi sebagai orang muda yang berbakat dan menyuarakan kekecewaan mereka bahawa beliau terpaksa tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini kerana sabitan mahkamah yang dihadapinya.

“Rafizi sangat pandai dan banyak menyumbang kepada kawasan ini,” kata penduduk, Kalid Yusof, 67.

“Dia lantang, bercakap di dalam dan luar Parlimen. Rugi besar dia tak dapat bertanding sebagai calon setelah kerja kerasnya, bukan sahaja di Pandan, tetapi juga tempat lain.”

Wan Azizah yang menerima sambutan hangat ketika ceramahnya berkata beliau bertanding di kerusi Pandan sebagai penghormatan kepada kerja kuat Rafizi dan akan mempertahankan kerusi tersebut.

Rafizi, naib presiden PKR, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan maklumat sulit perbankan National Feedlot Corporation pada Mac 2012. Beliau memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut dan kini bebas sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013 dengan majoriti 26,729 undi mengalahkan calon MCA Lim Chin Yee dan calon bebas Tan Yew Leng.

Kalid berkata beliau mengundi di Pandan lebih 30 tahun dan telah melihat banyak pembangunan yang berlaku di kawasan itu sepanjang masa tersebut.

“Saya ada di sini pada zaman (bekas presiden MCA) Ong Tee Kiat. Beliau bawa banyak pembangunan ke sini. Rafiz sendiri pada waktu itu mengaku beliau bakal hadapi saingan sengit daripadanya pada 2013, tetapi MCA gugurkan beliau sebagai calon.”

Tong Kween Yee, 70, juga sedih dengan ketiadaan Rafizi sebagai calon.

“Dia orang muda yang pandai, cerdas dan mempunyai banyak idea bernas. Perkhidmatannya kepada penduduk juga bagus, dan banyak kemudahan di sini telah dibaiki dan dinaik taraf.

“Walaupun dia tidak selalu ada, dia tokoh popular yang sibuk ke sana dan ke mari tetapi khidmatnya tetap sampai kepada penduduk,” katanya.

Beliau juga percaya Wan Azizah berkemampuan memberikan khidmat terbaik untuk penduduk Pandan. “Dia ada pengalaman dan saya percaya dia boleh buat.”

Dua penduduk lama kawasan ini percaya fokus utama pengundi sekarang ialah mahu menukar kerajaan sedia ada di peringkat pusat kepada sebuah kerajaan baru untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

Tong menyuarakan kekecewaannya terhadap kerajaan sekarang dan menyebut tentang kos hidup yang tinggi sebagai sebab kenapa beliau mahukan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak gembira. Saya mahu perubahan yang boleh membaiki keadaan.”

Seorang wanita, 38, yang mahu dikenali sebagai Shila berkata, beliau juga kecewa yang Rafizi hilang kelayakan untuk bertanding. “Pengundi muda sangat menghargai orang muda berbakat sepertinya.”

Shila berkata beliau akan mengundi Wan Azizah bagi memastikan kerusi Parlimen Pandan kekal di tangan PH. “Saya tidak gembira dengan kerajaan sekarang dan mahu PH menang kali ini.”

Wan Azizah bakal menghadapi saingan daripada 4 calon lain, iaitu Mohamed Sukri Omar (PAS), Leong Kok Wee (BN-MCA), Lee Ying Ha (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Kerusi Parlimen Pandan adalah kerusi campuran dengan komposisi pengundi Melayu dan Cina masing-masing sebanyak 46% dan India 7%.