Khamis, 1 Oktober 2015

Peguam Umno: Pandangan Megat kes Saifuddin tak terpakai

Alyaa Azhar  


 


Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bukan pengerusi Lembaga Displin Umno maka kenyataan beliau berhubung kes Datuk Saifuddin Nasution tidak terpakai, kata penasihat undang-undang Umno Datuk Hafarizam Harun.

Megat Najmuddin dilapor berkata tiada masalah bagi Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri, menghadiri mesyuarat pembentukan Pakatan Harapan bulan ini.

Saifuddin yang juga bekas MP Temerloh diberi surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri perbincangan parti pembangkang.

"Saya mahu membetulkan, Megat bukan pengerusi Lembaga Displin Umno.

"Pengerusi Lembaga Displin Umno ialah Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (Tengku Ismail), masih.

"Dan sekarang beliau di luar negeri, jadi apa saya kenyataan yang dbuat oleh Megat mesti kekal sebagai kenyataan peribadi dan untuk beliau sahaja dan tidak mewakili Lembaga Displin," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hafarizam merujuk laporan The Malaysian Insider berhubung perkara itu, yang memetik Megat Najmuddin sebagai pengerusi Lembaga Displin Umno.

Sementara Saifuddin berkata beliau telah menerima surat itu, yang ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan masih "menunggu ilham" untuk menjawabnya sehingga 6 Oktober ini.

Saifuddin tunggu 'ilham' jawab surat tunjuk sebab

Kow Gah Chie 





Kerana menghadiri perbincangan yang diikuti dengan pelancaran pakatan pembangkang baru - Pakatan Harapan - membuat bekas MP Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menerima surat tunjuk sebab.

Dan bekas timbalan menteri itu mempunyai masa sehingga 6 Oktober untuk menjawabnya.
"Tengah tunggu ilham," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara itu.

Menurut Saifuddin, surat bertarikh 22 September telah dihantar dengan tangan ke pejabat Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada pagi 28 September .

Saifuddin adalah ketua pegawai eksekutif GMM.

Dalam mesej teks, Saifuddin berkata beliau diberi masa 14 hari dari tarikh (22 September) untuk menjawabnya.

Katanya, surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Penduduk berarak 4km kerana pampasan murah

Shakira Buang


 


Kira-kira 100 penduduk Kampung Ulu Temiang, Seremban berarak kira-kira 4 kilometer dari kampung mereka ke Istana Hinggap yang dipertuan besar Negeri Sembilan hari ini.

Ia bagi menyampaikan warkah memohon campur tangan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan lebih pampasan selepas setinggan yang diduduki mereka diarah dikosongkan.

Bantahan tersebut dibuat selepas penduduk diarah mengosongkan tapak kediaman yang diduduki lebih 40 tahun.

Bantahan tersebut disertai beberapa pemimpin DAP, PKR dan parti Amanah Negara (AMANAH).

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang dihubungi Malaysiakini berkata, pemilik tanah baharu tidak memberi pembelaan sewajarnya terhadap penduduk di situ.

“Adalah tidak munasabah jumlah pampasan ditawar pemilik kepada penduduk hanya RM3,500.

Sedangkan mereka ini bukannya penduduk setinggan.

“Malah, jumlah pampasan itu hanya ditawarkan kepada keluarga 46 keluarga sedangkan terdapat kira-kira 100 buah keluarga yang tinggal di sini,” katanya.

Menurutnya, penduduk hanya akan berpuas hati sekiranya pemilik tanah terbabit bersetuju menaikkan jumlah pampasan kepada RM12,000.

“Permintaan kita bukannya terlalu tinggi jika nak dibandingkan dengan nilai tanah itu sekarang. Jumlah RM3,500 tak boleh buat apa-apa bagi membolehkan penduduk membina kehidupan di tempat baru.

“Tapi jika pemilik tanah setuju naikkan pampasan kepada RM12,000, kita akan nasihatkan penduduk supaya setuju dan minta mereka pindah secara sukarela,” katanya.

Loke berkata, penduduk kampung berkenaan diberi notis arahan pindah dalam tempoh 14 hari yang berakhir 25 Ogos lalu.


Pekerja binaan maut ditimbus tanah

MALAYSIAKINI


 


Seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala seorang lagi selamat selepas tertimbus tanah semasa melakukan kerja menaik taraf jalan di persimpangan Jalan Ampang, Jalan Jelatek di ibunegara semalam.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, mangsa lelaki berusia awal 30-an bersama seorang rakannya sedang melakukan kerja pemasangan paip bawah tanah di dalam lubang sedalam tiga meter.

"Secara tiba-tiba berlaku runtuhan yang menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus.

"Dua jentera dari Balai Bomba Jelatek dan Wangsa Maju dengan kekuatan 12 anggota dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.49 pagi.

"Bomba mengambil masa hampir dua jam menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan cangkul...rakan mangsa yang turut tertimbus berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Samsol berkata pada mulanya, bomba mahu menggunakan jentolak untuk mengeluarkan mangsa tetapi memutuskan menggunakan cangkul kerana khuatir ia boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.- Bernama


K'jaan PP didakwa henti bantuan SAR milik ahli PAS

MALAYSIAKINI


 


Dewan Ulama PAS Pusat meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) milik persendirian ahli PAS telah ditarik balik.

Ketua penerangan Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beberapa sekolah agama persendirian tersebut telah mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun lalu.

"Tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan," katanya dalam satu kenyataan.

"Bahkan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Ulamak PAS pusat mengingatkan kerajaan DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah sebelum ini yang didakwanya menyekat dan tidak memberi bantuan kepada sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli PAS kerana sentimen politik.

"Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka," tambahnya.


Ada kaedah tingkat kelajuan internet

internet
Kos untuk mempertingkatkan jalur lebar adalah tinggi, maka kerjasama antara kerajaan dan swasta amat penting.
 
 
SHAH ALAM - Kelajuan internet di negara ini mampu dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik sekiranya ada usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta.

Pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abdul Razak Hamdan berkata, kos untuk mempertingkatkan jalur lebar adalah tinggi, maka kerjasama daripada kedua-dua pihak amat penting.

“Kos yang mahal itu boleh dikongsi bersama antara kerajaan dan swasta melalui skim-skim tertentu.

“Sebagai contoh, kerajaan memberikan subsidi atau geran kepada syarikat swasta yang terlibat dan dengan cara itu mampu membuatkan pengguna dapat menerima capaian internet yang lebih laju dengan kadar kos yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, menjelang tahun 2020, internet menjadi salah satu utiliti yang penting maka perlu kerajaan menyediakan kemudahan itu.

Selain itu, pihak swasta perlu bersama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik dan tidak hanya mengejar keuntungan.

Beliau berkata, walaupun bandwidth telah ditambah kadar capaian internet tidak akan berada pada tahap kelajuan yang sama sepanjang masa.

“Konsepnya seperti kita bina lebuh raya, lebih banyak lorong dibuka maka akan lebih laju tetapi jika ramai yang mahu menggunakan kemudahan yang sama pada waktu yang sama, sudah pasti laluan lebuh raya itu akan menjadi sesak,” katanya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerajaan mahu memastikan menjelang tahun 2020 sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat  mempunyai akses internet.

Salleh berkata, sebanyak 71 peratus rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan perkhidmatan internet yang perlahan kerana ia lebih murah berbanding perkhidmatan yang menawarkan capaian lebih pantas.

Menerusi laporan kajian yang dikeluarkan oleh syarikat teknologi Akamai, berkenaan kelajuan internet di seluruh dunia, Malaysia disenaraikan di tempat ke-70 di dunia yang mana kadar secara keseluruhan kelajuan internet adalah sebanyak 5.0 Megabit sesaat (Mbps).

Kajian itu turut menunjukkan yang negara jiran Malaysia, Singapura berada pada kedudukan yang lebih baik iaitu di tangga ke-14, Thailand di tangga ke-42 serta Sri Lanka

Titah Sultan Perak tepat

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani


SHAH ALAM – Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya pemimpin di negara ini menjalankan amanah dan tugas awam dengan berintegriti serta bertakwa adalah selaras dengan kehendak agama.

Pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, Islam sememangnya mewajibkan pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan tidak mengambil kesempatan ke atas rakyat.

“Titah Sultan Perak ini amat bertepatan dengan al-Quran yang meminta pemimpin bertanggungjawab bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat.

“Agama memang minta supaya pemimpin ini laksanakan tanggungjawab secara bersungguh-sungguh, bukan hanya mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas nama seorang pemimpin,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemimpin tidak harus menjadi pemimpin hanya sekadar untuk memenangi pilihan raya.

“Apabila mereka menang pilihan raya, mereka perlu fikir bagaimana mereka di hadapan ALLAH.

“Jika jadi pemimpin adil, pemimpin mentaati segala tanggungjawab, maka mereka akan jadi pemimpin selamat di akhirat nanti,” katanya.

Kata Ahmad Dusuki lagi, di antara pemimpin yang akan mendapat lindungan arasy ALLAH di akhirat adalah pemimpin yang menunaikan tanggungjawab dengan adil kepada rakyat.

“Mereka ini pemimpin yang tidak mementingkan keluarga dan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan rakyat seterusnya akan berada di kedudukan baik di sisi ALLAH di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar yang turut menyokong titah Sultan Perak berkata, seorang pemimpin seharusnya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.

"Sebagai contoh, seorang ahli politik yang membuat undang-undang sepatutnya menghormati dan melaksana undang-undang tersebut.

"Dari segi tugasan, mereka perlu telus dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat," katanya.

Menurut Akhbar, Sultan Nazrin dikenali sebagai insan yang penuh berintegriti dan sebagai rakyat yang taat, titah baginda harus dipatuhi.

"Jika setiap pemimpin mengamalkan sikap berintegriti, sudah pasti banyak masalah dapat diselesaikan," katanya.


Harga RON95, RON97, diesel naik 10 sen

SINAR HARIAN
 
 
minyak


KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel naik 10 sen seliter bagi Oktober 2015 berkuat kuasa tengah malam ini (1 Oktober).

Harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 pula RM2.45 seliter dan diesel RM1.90 seliter, kata Presiden Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia Khairul Annuar Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama.

"Harga di pam akan ditukar mulai 12.01 tengah malam ini, pada 1 Oktober," katanya.

Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel sekarang masing-masing RM1.95 seliter, RM2.35 seliter dan RM1.80 seliter. - Bernama


Orang Melayu sukakan sukan bola sepak

Khoo Kay Kim
Prof Emeratus Tan Sri Khoo Kay Kim


KUALA LUMPUR - "Sukan bola sepak amat popular dan begitu penting pada orang Melayu... Sehinggalah Malaysia kalah 10-0 baru-baru ini," seloroh Pakar Sejarah, Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan mengenai sejarah dan peradaban Melayu dalam Forum Mempertahankan Maruah Melayu, di sini, malam tadi.

"British mewujudkan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada tahun 1922. Pada masa itu mereka miliki padang paling luas di Semenanjung tahah air. Ia digunakan untuk anak-anak Melayu bermain bola sepak.

"Sukan itu begitu penting pada orang Melayu... Orang Melayu begitu gilakan bola sepak.. Sehinggalah kita kalah baru-baru ini. Orang tanya saya, siapa yang salah? Saya jawab: Kitalah yang salah. Padang-padang kita ada, kenapa tak diguna?" kata- katanya disambut ketawa hadirin.

Beliau dalam pada itu menceritakan sejarah perkenalan sukan bola sepak di negara ini.

"Sebelum British datang ke Tanah Melayu, mereka sudah menguasai India dan banyak kekacauan timbul di sana. Pihak British tidak mahu kita (orang Melayu) jadi seperti masyarakat di India, jadi mereka buat persiapan untuk memastikan struktur orang Melayu tidak berubah dan di  samping itu, arus pemodenan tidak harus ditinggalkan.

"British juga menggalakkan orang Melayu mengamalkan budaya mereka yang lemah lembut. Sebab itu mereka perkenalkan sukan seperti bola sepak kepada orang Melayu," katanya.

Menurutnya, pada 1909, sudah ditubuhkan Malayan Football Association di Singapura.

"Persatuan ini hanya terbuka kepada kelab bola sepak Melayu.

"Pada masa itu, sudah lebih 50 kelab bola sepak Melayu ditubuhkan dan dalam masa dua tahun, persatuan itu sudah melahirkan ramai pemain bola sepak Melayu, Begitulah pentingnya sukan itu kepada kita," katanya lagi.


Tun M mungkin ditahan di bawah Sosma

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tolak kemungkinan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana kelantangannya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau saya didapati bersalah, saya akan dipenjarakan walaupun orang kata saya nyanyuk. Undang-undang tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan turut ditahan seperti bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas dakwaan cuba mensabotaj negara.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata, Sosma merupakan undang-undang baharu yang  perlu dipatuhi.

“Jika saya bersalah, saya mungkin menghabiskan sisa hidup saya di dalam penjara,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu, Mahathir berkata, perhimpunan tersebut tidak hanya disertai kaum Cina sahaja malah turut disertai Melayu.

“Mereka (kaum Cina) tidak meminta apa-apa untuk diri mereka. Tetapi, mereka hanya meminta Najib supaya berundur dan meminta supaya ada mekanisme pilihan raya lebih baik,'' katanya.