Rabu, 30 September 2015

Pemuda MCA Pasir Gudang perlu keluar BN

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani


SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat Pemuda MCA Pasir Gudang perlu keluar dari parti itu setelah memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan Pemuda MCA Pasir Gudang itu melanggar keputusan MCA pusat yang tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri itu.

‎“Jika mereka memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri, kenalah keluar parti kerana keputusan mereka itu melanggar keputusan penuh pimpinan MCA yang terus menyokong.

‎“Jika Pemuda MCA (Pasir Gudang) ini tidak setuju (dengan Najib), (mereka ) tak boleh duduk dalam parti lagi,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, media melaporkan, Pemuda MCA Pasir Gudang melalui ketuanya, Chia Chow Hui memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN susulan sokongan perdana menteri itu terhadap himpunan baju merah yang berlangsung pada 16 September lalu.‎

Malah Chow Hui menegaskan bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokongnya dalam apa cara sekalipun.

‎Menurutnya, himpunan baju merah yang berlangsung di ibu kota itu merosakkan keharmonian kaum dan beliau tidak bersetuju dengan Najib yang menyifatkannya sebagai perhimpunan aman.

Dalam pada itu, Mohd Azizuddin berkata, kesan tindakan Pemuda MCA Pasir Gudang itu kepada parti sangat minima kerana ia hanya melibatkan satu bahagian.

“(Kesannya) sangat minimum sebab melibatkan sebahagian kecil dari MCA sahaja dan yang ikut mereka (Pemuda MCA Pasir Gudang) pun tidak ramai.

“Melainkan jika ada pimpinan tertinggi MCA yang membuat pengumuman seperti itu, mungkin ia akan beri kesan lebih besar kepada BN,” katanya.


Al Fatihah, Dalili dah tak ada...

Al Fatihah, Dalili dah tak ada...
Salinan perbualan Mohd Razali menerusi aplikasi WhatsApp dengan Sinar Harian.


SHAH ALAM - Adik Nur Syafiqah Dalili, 2, yang menghidap biliary atresia (kegagalan fungsi hati) yang menjalani pembedahan pemindahan hati di China Ahad lalu disahkan telah meninggal dunia awal pagi tadi.

Perkara berkenaan disahkan ayahnya, Mohd Razali Shamsuddin, 39, menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

"Berita mengatakan Dalili dah tak ada tu memang benar. Dia menghembukan nafas terakhir kira-kira jam 2.06 pagi tadi (waktu tempatan).

"Dua hari pertama pembedahan semuanya berjalan lancar...tetapi hari ketiga dia mula demam. Hari keempat, hanya ALLAH yang maha mengetahui, " katanya kepada Sinar Harian.

Dalili telah selamat menjalani pembedahan pemindahan hati bersama bapanya merupakan penderma.

Mereka sekeluarga berlepas ke Hospital Renji 3 September lalu.

Tambahnya, mereka perlu menyelesaikan beberapa urusan hospital terlebih dahulu sebelum dapat membawa pulang jenazah Dalili.

"Bila urusan dekat sini selesai, baru boleh dibawa balik," katanya.


Lebih banyak kawasan catat IPU tidak sihat

SINAR HARIAN



Jerebu
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berikutan keadaan jerebu meningkat kepada 18 setakat 9 pagi ini berbanding 11 kawasan pada 7 malam tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan yang mencatatkan bacaan IPU paling tinggi adalah di Bukit Rambai, Melaka iaitu 150, diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (142).

Beberapa kawasan di Johor yang mencatatkan tahap IPU tidak sihat adalah Kota Tinggi dengan bacaan 106, Larkin Lama (120), Muar (119) dan Pasir Gudang (131).

Bandaraya Melaka pula mencatat bacaan 141, manakala dua lagi kawasan di Negeri Sembilan turut mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Nilai (115) dan Seremban (117).

Di Pahang, bacaan IPU di kawasan Indera Mahkota dan Balok Baru, Kuantan pula masing-masing 105 dan 135, manakala di Jerantut (102).

Di Selangor, kawasan Banting mencatatkan bacaan 125, Pelabuhan Klang (102) dan Shah Alam (105), manakala di Terengganu, kawasan Kemaman dan Paka masing-masing mencatatkan bacaan 126 dan 112.

Sementara itu, Putrajaya turut mencatatkan tahap IPU tidak sihat dengan bacaan 111.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
  
Orang ramai boleh merujuk portal  http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama


Selasa, 29 September 2015

Berita Terkini MARA : Permohonan Pinjaman Loan Mara Untuk IPTS Masih Belum Buka? Mengapa?

BERITA SEMASA

Berita Terkini MARA : Permohonan Pinjaman Loan Mara Untuk IPTS Masih Belum Buka? Mengapa?

Ada menteri mengatakan kejatuhan memberikan rahmat kepada Malaysia. Rahmat kata mereka. Tetapi tahukah mereka anak bangsa kita sedang menghadapi masalah dan derita di luar negara dek kerana nilai ringgit Malaysia terus jatuh dan jatuh daripada hari ke sehari sehingga berlaku lambakan duit ringgit Malaysia kita di pasaran sekarang ini.

Tan sri Zeti kata jikalau mahu nilai ringgit Malaysia naik semula, antaranya selesaikan segera isu 1MDB, dan masalah ketidaktentuan politik di Malaysia.

Natijahnya, pelajar-pelajar kita yang belajar di luar negara perlu ikat perut untuk meneruskan usaha menampung kos perbelanjaan mereka di negara luar terutamanya yang bergantung harap dengan bantuan MARA apatah lagi yang menggunapakai 100% duit keluarga dan ibu bapa lagilah teruk.

berita terkini mara

Masalah tersebut tidak berlegar kepada pelajar luar negara sahaja. Tetapi sudah mula berjangkit kepada pelajar yang menimba ilmu IPTS di Malaysia. Berita Semasa dimaklumkan kewangan MARA dalam keadaan sesak atas sebab-sebab tertentu termasuk perlu menampung kos tambahan yang tinggi terutamatanya pelajar tajaan mereka di luar negara disebalik kejatuhan nilai ringgit Malaysia pada ketika ini.

Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat Malaysia telah melancarkan apa yang dipanggil dan dikenali sebagai Skim Bank Mara yang meliputi bantuan pinjaman pelajaran terbuka kepada mana-mana pelajar yang sambung pengajian bagi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda Degree, Sarjana Master, Doktor Falsafah PHD hasil kerjasama dnegan pihak bank. Butiran ada Berita Semasa kongsikan melalui LINK di bawah ini :

KLIK SINI : Butiran Lengkap Skim Bank MARA Untuk Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Master, PHD?

Tetapi ianya telah ditutup sementara waktu. Apabila Berita Semasa dimaklumkan butian lengkap mengenai pinjaman MARA yang terbaru dan terkini akan dibuka semula sekitar bulan November atau Disember 2015. Mungkin. Mungkin, itu kata kakitangan MARA.

Kata kakitangan MARA memaklumkan :
  • Kewangan Majlis Amanah Rakyat Malaysia MARA agak sesak
  • Sudah ada kalangan IPTS yang sudah sedia maklum dengan perancangan perkembangan terkini sekarang, telah mula menjalinkan usahasama dengan bank-bank komersil untuk dijadikan menyediakan kemudahan pinjaman kepada para pelajar mereka kelak
  • Ada kemungkinan besar pelajar IPTS dikenakan kadar faedah untuk pinjaman MARA yang diberikan kepada pelajar. Walaubagaimanapun, butiran lengkap belum dipastikan lagi. Nantikan pengumuman rasmi dan berita terkini MARA kelak.
  • Apa maknanya apabila sudah ada kerjasama dengan pihak Bank? Komitmen dengan Bank. Ya…Komitmen.
Persoalannya sekarang ini, adakah dengan pinjaman MARA yang terbaru ini kelak akan menyebabkan :
  • Nama peminjam pendidikan MARA yang baru ini secara automatiknya tersenarai dalam rekod CCRIS? Sama seperti peminjam yang lain yang buat pinjaman peribadi?
  • Adakah mereka akan dikejar pembayaran semula sama seperti peminjam-peminjam pinjaman peribadi yang lain?

 

Berita Terkini MARA : Pinjaman Loan Mara Untuk IPTS. Tunggu Berapa Lama Lagi?

Dan akhir sekali, Berita Semasa berharap sangatlah kepada pihak Majlis Amanah Rakyat MARA jangan terlalu lama biarkan anak-anak bangsa kita terkapai-kapai di Institut Pengajian Tinggi Swasta IPTS tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada anda. Berikanlah kenyataan tentang perkembangan terkini mengenai skim pinjaman MARA ini. Janganlah diam begitu sahaja. Hakikatnya :
  • Ada pelajar yang terpaksa keluar daripada IPTS dek kerana menunggu terlalu lama permohonan pinjaman MARA yang masih lagi tidak dibuka sedangkan bayaran yuran yang cukup tinggi terpaksa ditanggung mereka
  • Pelajar dalam keadaan sesak dalam meneruskan pengajian dan kehidupan seharian dek kerana kewangan yang tidak mencukupi
  • Bagi Berita Semasa, masa bagi kalangan pelajar adalah cukup emas dan kritikal untuk mereka mencari alternatif dengan sesegera mungkin bagi meneruskan survival mereka menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi
  • Jangan biarkan anak-anak bansga kita tertunggu
Di bawah ini, Berita Semasa kongsikan gambar-gambar sebahagian rintihan kalangan para pelajar IPTS yang masih tertunggu berita terkini MARA mengenai perkembangan pinjaman loan MARA mereka…

pinjaman mara loan mara

'Jika tidak korup, kenapa saya didapati bersalah?'

Khir Toyo


 


ULASAN Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.

Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.

Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.

Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin Umno mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana.

Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara yang terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.

Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan, pendakwa raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin (Haryoni, pengarah Ditamas Sdn Bhd).

Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.

Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum dua tahun penjara.

Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

Demikianlah kesungguhan peguam negara terdahulu yang mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.

Adilkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.
Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk perdana menteri, setiausaha kerajaan negeri dan pihak SPRM sendiri.

Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (Baca: Fakta dan angka tidak boleh menipu).

Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.

Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.

Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus sudah harapan?]

Dilanyak akhbar The Sun

Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.

The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor diisytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.

Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.

Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada menteri besar selepas saya.

Malah ada ketika mereka mempertahankan menteri besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.

Kes roboh kuil

Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi.

Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM40 ribu dan juga diberi tapak baru.

Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai menteri besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar.

Di bawah pentadbiran saya juga kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Isu anugerah penyapu

Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah penyapu atau padah sikap kita?]

Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.

Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan Tukiman Nail, bekas presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.

Masalah setinggan

Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan.

Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan:

(i) Memberi penempatan yang lebih baik
(ii) Menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan
(iii) Memberi subsidi RM7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.

Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor. Jika ada hayat dikandung badan, insha-Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti. Wassalam.

Khir Toyo bekas MB Selangor. Tulisan ini diterbit dalam blog beliau, drkhir.com. Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atasnya selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah ditolak pada minggu lalu.


Nazri akui kesilapan berurusan hal diplomatik

Kow Gah Chie


 


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui beliau membuat kesilapan sewaktu berurusan hal diplomatik di mana Duta China Huang Huikang dipanggil berhubung kenyataan yang dibuatnya di Jalan Petaling pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Nazri yang juga MP Padang Rengas menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal Kementerian Luar Negeri.

"Tidak ada niat untuk campur tangan," katanya dalam satu kiriman SMS sebagai maklum balas kepada pertanyaan Malaysiakini.

Menteri Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas rakan sejawatnya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang meluahkan rasa kecewa bahawa beberapa menteri telah mencampuri perkara tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Huang telah dipanggil untuk bertemu dengan bekas timbalan Anifah, dan kini Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin semalam.

Bagaimanapun terdapat banyak kekeliruan mengenai mesyuarat itu, kerana ia pada mulanya dilaporkan bahawa ia telah dibatalkan.

Nazri berkata pertemuan itu dibatalkan kerana timbalan menteri luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica melanggar protokol dengan memanggil Huang.

Nazri berkata hanya pemangku menteri luar yang boleh berbuat demikian sewaktu ketiadaan menteri luar.

Bagaimanapun Reezal menafikan dakwaan tersebit dan menyatakan tindakan memanggil Huang direstui Anifah.

Kes Bunuh Morais: Empat Tertuduh Berasal Dari Kulim


Oleh: FIRDAOUS FADZIL

KUALA LUMPUR: Empat daripada lapan tertuduh yang didakwa menculik dan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais berasal dari daerah sama iaitu Kulim di Kedah.

Enam tertuduh didakwa membunuh manakala dua lagi bersubahat melakukan kesalahan tersebut.

Kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kelihatan dalam keadaan tidak terurus, Pakar Patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52, didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana bersubahat melakukan kesalahan tersebut.

Pelajar kolej, S. Nimalan, 22, S. Ravi Chandaran, 44, G. Gunasekaran, 47, R. Dinishwaran, 23, M. Vishwanath, 25 dan A. Thinesh Kumar, 22, didakwa di atas pertuduhan membunuh di mahkamah yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 7 pagi dan 9 malam dari Jalan Dutamas Raya, Sentul ke No 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya pada 4 September lalu.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, seorang lagi tertuduh Murugan Arujalan, 44, yang bekerja sebagai mekanik turut didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No 20, Desa Mentari dekat sini antara 9.30 pagi dan 8 malam pada hari yang sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, alamat terakhir pengawal keselamatan, Viswanath adala di Taman Desa Karangan, Sungai Karangan dekat Kulim manakala Dinishwaran pula di Batu Pekaka Estate dekat Kuala Ketil tidak jauh dari Kulim manakala Nimalan dan Thinesh juga berasal dari Kulim.

Sumber polis berkata walaupun keempat-empat tertutup bukan dari satu kumpulan tetapi mereka dari daerah yang sama.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Tiada pengakuan direkodkan.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak, Manoj Kurup dan Mohd Dusuki Mokhtar memohon kes tersebut disebut semula pada November selepas mempertimbangkan sedikit masa diperlukan untuk menyediakan laporan kimia dan hasil bedah siasat.
Hakim Siti Radziah Kamarudin menetapkan 30 November depan untuk sebutan kes.

Datuk N. Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Dr Kunaseegaran manakala M. Manoharan mewakili Dinishwaran.
Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Morais dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Mayat Morais, 55, ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, pada 16 September lepas.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikeluarkan mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam tong dram bersimen itu adalah mendiang Morais.

LIHAT VIDEO DI SINI



Isu Murtad: Rahim Thamby Chik Mohon Maaf Kepada Istana Selangor





Paparan skrin permohonan maaf Rahim Thamby Chik dalam laman Facebooknya.

PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Selangor (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memohon maaf kepada Istana Selangor berhubung status yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menganut agama Kristian (Katolik) dimuat naik menerusi laman Twitter dan Facebook miliknya.

Malah, beliau turut mengakui berita tersebut diambil daripada sebuah laman web tidak berasas.

"Merujuk kepada status saya di Twitter dan Facebook mengenai dakwaan Raja Muda Selangor memeluk agama Katolik, saya mengakui ia dari sebuah laman web tidak berasas.

"Saya memohon maaf di atas ketidakselesaan Raja Muda Selangor dan Istana Selangor disebabkan status tersebut," katanya menerusi laman Facebooknya, Rahim TambyChik.

Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Istana Selangor dan disifatkan sebagai tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah.

Malah, pihak Istana turut membuat dua laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam berhubung berita palsu tersebut.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor, Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.

Menurut dua laporan berkenaan, kedua-dua pengadu berkata, mereka menjumpai status yang dikeluarkan oleh seorang pengguna menggunakan nama samaran "Rahim Tambychik", semasa menggunakan laman sosial itu Istana Mestika di Seksyen 7, Shah Alam pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.

AMK, Wanita PKR Desak Wakil PAS Letak Jawatan YDP MAIPP

MSTAR ONLINE




BUTTERWORTH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Pulau Pinang pada Selasa mendesak Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang disandangnya.

Ketua AMK Pulau Pinang Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar kerana PAS tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata pengumuman ketua menteri itu jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf PAS dalam pentadbiran negeri dan Salleh yang merupakan wakil rakyat PAS harus mengosongkan jawatan YDP MAIPP.

"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi mengantikan wakil PAS apabila penggalnya tamat akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata pelantikan setiap YDP MAIPP adalah untuk tempoh dua tahun dan tempoh untuk Salleh dijangka tamat akhir tahun ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan negeri Nur Zarina Zakaria berkata jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Anggota Dewan Undangan Negeri.

Pelantikan YDP MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri.

Salleh sindir Kit Siang tidak tahu kelajuan internet di Malaysia

 
Majoriti pelanggan memilih pakej internet murah yang perlahan walaupun penyedia menyediakan perkhidmatan internet yang kelajuan tinggi. 


salleh-keruak_lim-kit-sing_600


PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang veteran, Lim Kit Siang mungkin tidak sedar tentang pelbagai kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia apabila beliau merungut tentang internet yang perlahan di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pengguna di negara ini boleh memilih kadar 20 megabit sesaat (Mbps) jika mereka mahukan perkhidmatan Internet kelajuan lebih tinggi.

Beliau membuat penjelasan itu bagi menyangkal dakwaan Anggota Parlimen Gelang daripada DAP itu bahawa Salleh sebagai Menteri tidak prihatin dengan kelajuan Internet di Malaysia yang lemah.

“Sebenarnya terdapat pelbagai kadar kelajuan Internet yang boleh dipilih rakyat Malaysia namun begitu kira-kira 71 peratus daripada pengguna Internet Malaysia lebih menyukai pakej jalur lebar Streamyx yang lebih perlahan dengan menawarkan kelajuan antara 384 Kbps sehingga 1 Mbps,” katanya dalam posting terkini di blog beliau, sskeruak.blogspot.my..

Bagaimanapun, Salleh berkata, meskipun kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi boleh didapati, namun, majoriti pelanggan akan melanggan pakej lebih murah, justeru lebih perlahan.

Mengambil maklum bahawa beberapa negara termasuk Singapura dan Thailand mempunyai pelbagai kelajuan Internet sehingga 5Mbps, Salleh berkata, Malaysia juga boleh meningkatkan kelajuan internet ke tahap yang sama, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia membeli pakej kelajuan lebih tinggi.

“Tetapi itu bermakna kos akan turut menjadi lebih tinggi dan penggunaan internet akan dinikmati hanya oleh mereka yang mampu membayarnya.

“Jadi kesudahannya ia berbalik kepada soal kemampuan dan Malaysia menawarkan Internet yang mampu dibayar oleh mereka yang mahu memanfaatkannya manakala, internet berkelajuan lebih tinggi pula kepada golongan yang pada mereka wang bukanlah satu masalah,” katanya.

Sambil membidas Kit Siang kerana hanya bercakap tentang kelajuan, Salleh berkata tumpuan Malaysia adalah kelajuan, liputan dan kemampuan.

“Kami mahu memastikan bahawa pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada Internet. Kami juga mahu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus daripada kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 Mbps,” katanya.

Kit Siang dilaporkan menyindir Salleh dan kecenderungan beliau menulis dalam blog untuk mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan memberi tumpuan kepada infrastruktur Internet Malaysia.