Isnin, 3 Jun 2013

KJ: Pelan hala tuju 5 tahun KBS bulan depan

 

 
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membentangkan pelan hala tuju pembangunan belia dan sukan sebagai usaha meningkatkan kedua-dua program berkenaan di negara ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata pelan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun itu dijangka akan dibentangkan bulan depan sekali gus memberikan suntikan baru kepada pelbagai program sedia ada.

"Buat masa ini kita sedang mengkaji semula operasi dan strategi kementerian. Kita akan bersandarkan kepada trend semasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di Johor Baharu hari ini.

Khairy berkata pihaknya akan meneliti program belia dan sukan yang perlu ditambah baik, penjenamaan semula atau membuat pengisian baharu memandangkan tidak semua program yang ada kini, kekal relevan sepanjang masa.

Menurut Khairy selepas lawatan pertamanya di Johor, beliau akan mengadakan siri lawatan ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai program belia dan sukan, selain memperkukuh kerjasama kementerian dan jawatankuasa, di setiap negeri.

Katanya, Jabatan Belia dan Sukan setiap negeri juga diminta merangka program yang mempunyai hala tuju sama dengan kementerian dengan menggunakan kreativiti masing-masing.

"Kita mahu ada faktor tempatan dalam program yang dirancang. Mereka perlu ada 'trademark' sendiri yang tidak lari dari hala tuju kementerian," katanya.

Turut hadir pada lawatan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan. -Bernama

Tanda Putera akan ditayang 29 Ogos

 

 
Menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata filem kontroversi Tanda Putera akan ditayangkan di pawagam pada 29 Ogos.
NONEKatanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia telahpun mengeluarkan kelulusan tayangan filem tersebut.

Filem berhubung tragedi 13 Mei itu diberi penarafan PG13 – yang menetapkan bimbingan ibu bapa untuk penonton bawah umur 13 tahun.

Katanya lagi beliau secara peribadi ingin melihat filem berkenaan disiarkan “seawal mungkin”.

Sirul mahu Mahkamah Rayuan isytihar perbicaraan silap


 
Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.

Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.

Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.

Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan.

Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.

Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan.

Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai 2008, membuat satu lagi akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang pertama.

Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan bersumpah itu.

Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu".

Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya.

Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Rayuan pada 10 Jun.

Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.-Bernama

Kes Dhamendran: Anggota terlibat akan digantung tugas

 
 
 
Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes kematian dalam tahanan N Dhamendran akan digantung tugas hariannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

NONEMenjawab berhubung desakan menggantung empat anggota polis yang kini diberi tugasan pejabat berikutan kematian Dhamendran, secara ringkas Zahid berkata tindakan itu kini "dalam proses".

Ahmad Zahid mengulas perkara itu selepas bertemu Ketua Delegasi Serantau bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah Jeremy England di kementeriannya hari ini.

Malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan majlis tersebut tetapi hanya mendapat satu rakaman temubual dengan menteri terbabit.

Mengulas mengenai tiga kes kematian dalam tahanan dalam tempoh 11 hari lalu, Zahid seterusnya mempertahankan pasukan polis.

Katanya, tidak adil jika menyalahkan pasukan polis secara keseluruhan atas tindakan sesetengah anggota yang melampaui garis panduan operasi siasatan.

Tambahnya, garis panduan operasi polis itu juga mungkin perlu disemak semula. [Baca berita penuh]
Sementara itu Bernama melaporkan Ahmad Zahid menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat India, supaya tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga individu dalam tahanan polis baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.

NONE"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian.

"Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya keinginan Pengarah Strategik MIC S Vell Paari bersama NGO berasaskan India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian berterusan individu India dalam tahanan polis.

Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya pegawai kanan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini.

"Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya.

Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan keadilan.

"Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini.

"Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.

"SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang berkenaan," katanya.

Tiga insiden kematian tahanan terbaru ialah; R Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.

N Dhamendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P Karuna Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin Sabtu lalu.

PR mahu anjur Blackout 505 di KL pula

Wartawan Sinar Harian
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 

PETALING JAYA - Walaupun dikecam pelbagai pihak, Pakatan Rakyat (PR) akan tetap meneruskan siri Himpunan Blackout 505, kali ini di ibu negara, 15 Jun ini.

Himpunan kononnya bagi membantah penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu difahamkan akan dirunding dengan pihak polis terlebih dahulu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, hari ini.

PR katanya akan berurusan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak keselamatan bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman.

Maklumat lanjut mengenainya ujar Anwar akan dimaklumkan oleh sekretariat himpunan.

Untuk rekod, siri himpunan itu yang diadakan di sebuah padang berhampiran Amcorp Mall akhir bulan lalu menyaksikan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012 berlaku.

Antaranya termasuklah para peserta yang turut membawa anak kecil menyertai himpunan itu.

Himpunan itu juga tidak menerima sambutan termasuk dari kalangan parti komponen PR sendiri.



Pemuda Umno mahu SKMM bertindak tegas individu hina Agong

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 
sinar harian
 

JOHOR BAHRU - Pergerakan Pemuda Umno mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.
  
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana ia melampaui batas.
  
"Pemuda Umno memandang serius beberapa 'posting' yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah 'posting' dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
  
"Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di sini, hari ini.
  
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah cuba mendidik dan berhubung dengan pengamal media sosial sejak dahulu lagi, namun, masih terdapat di kalangan mereka yang tetap berdegil dengan terus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.
  
Beliau berkata keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya undang-undang sedia ada di bawah SKMM dapat dikuatkuasakan tanpa rasa takut.  

"Kita (Pemuda Umno) sudah melakukan banyak cara untuk mendidik mereka, cuba berhubung tetapi apabila mereka masih lagi degil dan keluarkan kenyataan yang jelas berbaur hasutan, maka SKMM mesti bertindak," katanya. - Bernama



Ahad, 2 Jun 2013

Iskandar : Selangor 'negeri Pas' juga

Wartawan Sinar Harian

Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad
 
SHAH ALAM – Seorang Naib Presiden Pas perlu ditugaskan memantau urusan harian Selangor sekiranya Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail benar-benar dilantik sebagai pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, ini kerana, Selangor juga merupakan ‘negeri Pas’ memandangkan jumlah kerusi parti Islam itu di Dewan Negeri yang dimenangi adalah hampir sama dengan rakan komponennya, PKR dan DAP.

“Selangor adalah unik kerana selain menjadi ‘negeri Pas’ ia juga ‘negeri DAP’ dan ‘negeri PKR’. Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini ‘negeri mereka’ kerana jumlah kerusi Dewan Negeri setiap parti adalah hampir sama. Ia adalah ‘negeri Pakatan Rakyat (PR) ’ yang sebenar.

“Pas di Selangor pada PRU13 telah memenangi 15 kerusi Dewan Negeri, sama banyak jumlah kerusi Pas di Terengganu dan melebihi kerusi PAS di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor berkata, ahli dan pimpinan Pas seluruh negara juga mesti menganggap Selangor sebagai sebuah ‘negeri Pas’ sebagaimana di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Oleh yang demikian, pimpinan Pas terutama pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Isu-isu negeri Selangor mesti turut dibincangkan dan dibahaskan secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Muktamar sepertimana dilakukan pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Kongres PKR atau DAP,” katanya.

Menurutnya, ahli parti sudah bekerja keras mengukuh dan mengembangkan pengaruh Pas di Selangor dan mereka mengharapkan lebih perhatian dari pimpinan tertinggi.

Dahulukan tubuh suruhanjaya diraja

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
FOTO:ROSLI TAIB


Dahulukan tubuh suruhanjaya diraja
Ahmad Yakob 
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mencadangkan agar kerajaan mendahulukan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan menyemak semula proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurutnya, penubuhan suruhanjaya diraja merupakan langkah awal untuk menambah baik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum kerajaan meletakkan badan itu di bawah Parlimen.

“Banyak aduan yang diterima berhubung perjalanan pilihan raya lalu. Kerajaan sepatutnya peka dengan isu yang timbul ini.

“Kita cadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyemak dan siasat segala aduan. Langkah ini yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum meletakkan SPR di bawah Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program ‘Temu Mata Anak Kelate’ bersama Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan dan kredibiliti badan itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, langkah tersebut dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap SPR dan kebebasannya tidak lagi dipersoalkan.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) telah menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan seperti penggunaan dakwat kekal dan kehadiran warga asing sebagai pengundi.

PR juga mendakwa wujudnya kejadian bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan kiraan undid keraguan berhubung jumlah undi awal.

Polis: Kes kematian Karuna tiada unsur jenayah

MALAYSIA KINI


 
Ketua polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang jurutera, P Karuna Nithi yang maut semasa dalam tahanan polis malam semalam.

"Laporan bedah siasat masih belum keluar, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut. Kami telah mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, tidak ada unsur jenayah," kata Osman sepeti dipetik laman Astro Awani.

Karuna ditahan pada hari Isnin lalu selepas didakwa menyerang isterinya. Beliau didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada hari Jumaat lalu.

Menurut bekas MP Kapar S Manikavasabam, yang kini membantu keluarga Karuan berkata, anggota keluarga si mati tidak mampu mengumpul RM4,000 untuk jaminan.

Keluarga berkenaan bercadang untuk membayar jaminan tersebut esok.

Mereka bagaimanapun dimaklumkan mengenai kematian Karuna pada malam tadi.

PKR Gesa Badan Bebas Ambil Alih SPR Isu Persempadanan Semula


Azmin HQ PKR 02

SHAH ALAM  : PKR menuntut agar kerajaan menubuhkan badan bebas di bawah kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat syor terhadap urusan persempadanan semula.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memindahkan kawal selia SPR di bawah kuasa Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

“Cadangan ini bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Jelas Azmin, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.

“SPR dituntut untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik,” tegas Azmin.

Ujar beliau, sebagai langkah permulaan, PKR menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan segera demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR di mana suruhanjaya itu bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar latihan perhubungan awam(public relations exercise) semata-mata,” kata beliau.