Sabtu, 1 Jun 2013

Kritik kerajaan akan dibatalkan pasport mereka? Kenapa begitu?

ASPAN ALIAS


Dalam keadaan kedua-dua pihak pembangkang dan parti kerajaan sedang berperang mulut berhubung dengan banyak isu, keluar pula kenyataan yang sangat mengelirukan dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Alias Ahmad. Mengapa dan kenapa kenyataan yang sangat mengelirukan ini dikeluarkan, hanya beliau sahajalah yang tahu.

Dato' Alias telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan di luar negara dan ini tidak dapat diterima. Mengkritik kerajaan yang memerintah adalah hak rakyat negara ini dan ia boleh dilakukan di mana-mana, samada di dalam atau dari luar negara.

Kita bersetuju rakyat yang mengkritik dan memburukkan negara itu wajar diambil tindakan seperti itu, tetapi setakat mengkritik kerajaan yang mereka anggap rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu bukannya mengkritik negara. Jika seorang rakyat mengkritik kehadiran sistem negara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan apa yang berkaitan dengannya adalah salah bagi negara ini dan wajar pasport mereka dibatalkan.

Tetapi jika seseorang mengkritik kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan membantutkan usaha memperkayakan perpaduan kaum itu tidak salah dan adalah ‘ultra-vires’ jika tindakan diambil terhadap rakyat itu. Jika semua kritikan terhadap kerajaan itu membolehkan pasport mereka terbatal maka negara kita seolah-olah sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun.

Rakyat dan pemimpin yang meminta pertolongan kuasa asing, misalnya CIA, untuk menumbangkan kerajaan, itu adalah tindakan yang jahat dan perlu pasport mereka itu ditarik balik atau dibatalkan terus. Tindakan ini adalah tindakan memusuhi negara dan Yang Di Pertuan Agong, maka mereka wajar dibatalkan pasport mereka.

Tetapi jika setakat mengatakan Najib atau Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak sesuai dengan negara, itu adalah isu politik dalaman dan tidak sepatutnya pihak imigresen membatalkan pasport mereka. Tuduhan seperti itu pun sememangnya ada kebenarannya.

Apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh mereka yang memegang amanah untuk mentadbir jabatan dan negaranya, kita amat khuatir dengan jenis apa negara kita akan berada pada masa-masa yang akan datang.

Saya secara peribadi berharap Ketua Pengarah Imigresen itu akan membuatkan pencerahan yang betul kerana ramai rakyat yang sedang tertanya-tanya kenapa kenyataan itu keluar dalam waktu yang sangat panas ini. Adakah kenyataan itu untuk menyediakan pemikiran rakyat yang jika ada pimpinan mana-mana pihak yang akan dibatalkan pasportnya nanti, rakyat diminta tidak bertindak dengan cara ganas atau apa?

Ramai yang sangat keliru sekarang ini. Ada pihak yang menggunakan kuasa sejak berdekad-dekad lamanya. Ada pihak yang telah merasakan akan dapat menggantikan kuasa sudah begitu celupar untuk mengambil tindakan dan memenjarakan pihak yang akan digantikannya itu.

Kalau hendak ambil tindakan pun biarlah setelah kuasa diperolehi. Tidak perlu bercakap besar di atas nama ketegasan dan pembaharuan. Apabila ternampak 'rusa di hutan tembak dahulu baru bersorak'. Tetapi mereka ini bersorak baru hendak menembaknya. Belum pun sempat menembak rusa sudah cabut lari.

Bila rusa sudah lari, marah-marah pula kepada semua orang kerana kesalahan sendiri itu. Diri sendiri tidak pernah bersalah.

DAP diarah serah dokumen dan bukti

 


 
DAP telah menerima surat arahan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) supaya menyerahkan dokumen dan bukti bagi membantu siasatan berkenaan kegagalan memberi notis kehadiran kepada anggota parti itu yang layak untuk hadir pada Kongres Kebangsaan Parti, 15 Disember lepas.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya diberi tempoh sehingga 6 Jun ini untuk membalas surat itu dan mereka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Beliau berkata dalam surat itu ROS hanya meminta DAP menyertakan bukti penghantaran notis kepada empat cawangan tertentu sahaja iaitu cawangan Taman Sri Sungai Pelek, Selangor; Taman Nesa Skudai, Johor; Desa Dahlia dan Ladang Paroi di Seremban.

"Kami telah mengesan bahawa empat anggota daripada empat cawangan itu pernah menghadiri kongres dengan menandatangani senarai kehadiran dan telah mengundi semasa pemilihan parti, seorang lagi telah mengisytiharkan dirinya keluar parti pada 16 Ogos tahun lepas iaitu bekas ketua cawangan Sungai Pelek Tan Tuan Tat,"katanya.

Loke yakin kelima-lima mereka dari empat cawangan itu telah membuat aduan kepada ROS berhubung dengan kegagalan penerimaan notis itu.

"Bagaimanapun, kami akan menyerahkan empat lagi anggota yang belum keluar parti kepada pihak jawatankuasa disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini, Loke menafikan kenyataan ROS semalam yang menyatakan DAP gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada Kongres Kebangsaan Parti, 15 Disember lepas.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman dalam kenyataannya berkata keputusan siasatan kegagalan penerimaan notis itu diperoleh selepas menerima aduan daripada anggota DAP yang tidak menerima notis itu serta dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan di kongres itu.

Loke berkata pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka pernah menghantar notis dan dokumen lengkap melalui pos kepada kesemua anggotanya yang layak 10 minggu sebelum berlangsungnya kongres itu.

Katanya mengikut senarai, terdapat 2,576 anggota yang layak untuk hadir dan mengundi pada pemilihan parti itu dan daripada jumlah itu, seramai 1,843 atau 71.5 peratus anggota telah hadir manakala 733 anggota tidak hadir.

Keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh anggotanya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada hari itu.
-Bernama

Himpunan ‘Black 505’ akan diteruskan walaupun Agong arah terima keputusan PRU

Oleh Zurairi AR

Datuk Johari berkata himpunan 505 adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan SPR, dan bukan untuk mempertikaikan pandangan Agong. - Gambar failKUALA LUMPUR — Protes terhadap keputusan Pilihan Raya 2013 akan diteruskan demi menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan bukan bertujuan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong, kata PKR.

Datuk Johari Abdul menjelaskan Himpunan 505 akan terus dilaksanakan bagi menolak keputusan Pilihan Raya 2013, walaupun Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, menitahkan rakyat di negara ini supaya menerima keputusan PRU13.

“Jadi tujuan kita berkumpul ialah untuk menyatakan rasa tidak puas hati kita terhadap tindakan SPR, tidak ada niat untuk mempertikaikan pandangan Tuanku.

“Sebab itu setiap kali tamat himpunan 505 kita nyanyikan lagu Negaraku bagi menunjukkan taat setia kepada Tuanku,” kata Johari kepada The Malaysian Insider merujuk kepada lagu Kebangsaan.

Beliau menjelaskan himpunan berkenaan juga akan terus dilaksanakan sehingga pengerusi dan timbalan SPR yang dilantik Agong meletak jawatan.

“Sebagai pemimpin saya menjunjung kasih nasihat Tuanku. Namun begitu rakyat di bawah memohon agar memaklumkan kepada Tuanku ada penipuan yang jelas yang dilakukan oleh SPR,” katanya.

“Jadi sebagai pemimpin, patik-patik semua nak maklumkan kepada rakyat, rakyat harus bangun dan menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindak-tanduk SPR yang ahli-ahlinya dilantik oleh Tuanku sendiri,” jelas Johari.

Tuanku Abdul Halim yang melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis bagaimanapun turut mengulangi gesaannya agar semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat rakyat iaitu melalui peti undi yang selaras dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.

“Jika terdapat sebarang perbezaan atau ketidakpuasan hati, maka gunakanlah mekanisme mahkamah yang sedia ada, sepertimana diperuntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Beta tidak mahu mana-mana pihak mengambil sebarang tindakan yang lampau undang-undang, mahupun lampau Perlembagaan,” titah Seri Paduka.

Awal minggu ini, Johari berkata himpunan membantah keputusan PRU13 akan diteruskan bulan ini dan diadakan setiap minggu sehingga tuntutan PKR dipenuhi.

'Dharmendran yang digari alami 52 kecederaan'



Mangsa yang mati dalam tahanan, N Dharmendran telah dipukul hingga mati ketika digari, demikian dibayangkan oleh laporan awal bedah siasat yang didedahkan hari ini.

NONELaporan bertulis oleh pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu membuat kesimpulan bahawa tidak ada luka defensif pada badan Dharmendran.

Peguam keluarga tersebut, N Surendran memberitahu satu sidang akhbar hari ini bahawa ia agak jelas bahawa semasa dipukul, mangsa digari dan dalam kedudukan yang lebih rendah, mungkin melutut atau sesuatu.

Dharmendran telah mengalami 52 tanda kecederaan di seluruh tubuhnya, dari kepala ke kaki.

Surendran menegaskan bahawa ini adalah "lebih teruk daripada kes A Kugan" pada tahun 2009.

Menurut bedah siasat, tompok lebam garis berganda, dipercayai kesan tanda rotan, ditemui dalam corak selari serong di bahagian bawah  belakang.

"Kita hanya boleh membuat spekulasi tetapi ia nampak seperti tanda rotan, atau sesuatu yang serupa dengannya," kata Surendran.

Satu corak lebam menyerupai nombor lapan yang tidak lengkap ditemui di tulang pinggul.

Menurut bedah siasat, tompokan lebam garis berganda, dipercayai kesan tanda rotan, ditemui dalam corak selari serong di bahagian bawah  belakang.

"Kita hanya boleh membuat spekulasi tetapi ia nampak seperti tanda rotan, atau sesuatu yang serupa dengannya," kata Surendran.

Satu corak lebam menyerupai nombor lapan yang tidak lengkap ditemui di tulang pinggul.

Terdapat juga satu lagi lebam garis berganda pada pergelangan Dhamendran yang konsisten dengan tanda gari.

Bedah siasat itu juga melaporkan banyak kesan lebam hitam di wajahnya, kawasan dada, bahu, kaki, kulit kepala dan belakang, yang digambarkan oleh Surendran sebagai "lebam bertindih".

Abdomennya, di bawah kawasan buah pinggang dan pusat, juga mempunyai kesan yang sama.

Kedua-dua telinga Dhamendran itu terdapat kesan luka 'staple' dengan 'staple' masih ada di situ manakala kakinya terdapat luka tusukan, juga dipercayai dari 'staple' yang telah dibuang.

Menurut Surendran, terdapat luka staple yang konsisten dan menurutnya ia menunjukkan bahawa stapler telah digunakan untuk menyeksanya.

Beberapa lebam lain yang dijumpai pada badan Dhamendran ialah: darah beku tebal pada bahagian bawah paha kanannya, berukuran 28 x 20 cm.
  • Satu tanda darah beku yang banyak paha kirinya, berukuran 50 x 31 cm.
  • Lebam berukuran 23 x 14 cm pada bahagian bawah kaki kiri.
  • Darah beku berukuran 9 x 6.5cm pada sebelah kiri mukanya.
  • Tanda  lebam di leher dan bahagian atas dada, berukuran 13 x 8cm.

Isteri Dharmendran mahu anggota polis 'ditangkap segera'

 
 


 
Isteri N Dharmendran yang mati dalam tahanan, kecewa kerana anggota polis yang dikaitkan dengan kematian suaminya diberikan tugas pejabat dengan cadangan mereka digantung kerja, sedangkan mereka sepatutnya telah ditangkap sejak awal lagi.

NONE"Mereka telah membunuh suami saya. Mereka sepatutnya berada dalam lokap," katan S Marry sambil menambah bahawa mereka sepatutnya digantung sampai mati.

Empat anggota polis, termasuk seorang pegawai, yang sebelum ini menyiasat kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras membabitkan Dharmendran, kini ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Marry bertanya sekiranya orang awam yang membunuh seseorang, apakah mereka akan dibiarkan bebas.

"Ini anggota polis yang melakukan pembunuhan," kata ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia dua tahun.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Dia sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Ketua CID Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah sebelum ini dilaporkan berkata lelaki 31 tahun itu mati akibat kesukaran bernafas.

Polis kemudiannya mengkategorikan kes tersebut sebagai kes bunuh apabila perunding patologi daripada Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa Dharmendran meninggal dunia akibat "kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan".

Polis telah mengklasifikasikan kematian Dharmendran sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Marry membuat gesaan itu selepas peguam N Surendran mendedahkan laporan bedah siasat ke atas Dharmendran di ibupejabat PKR pagi ini, yang membayangkan dia telah digari dan dipukul hingga mati.

Surendran yang juga MP Padang Serai berkata polis sudah tahu punca kematian Dharmendran apabila mereka menyerahkan laporan bedah siasat kepada peguam keluarganya pada jam 11 pagi semalam.

"Berdasarkan laporan ini, di segi undang-undang, ada bukti yang cukup untuk mengenakan tuduhan pembunuhan terhadap semua anggota polis yang terlibat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Tetapi sebaliknya, anggota tersebut dipindahkan ke unit keraja, ini adalah satu jenaka ... Kami menuntut semua anggota polis yang terlibat ditangkap segera. Maksud saya hari ini -. dalam masa satu jam," katanya

Katanya, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh tidak boleh diikat jamin dan mesti berada dalam tahanan sehingga perbicaraan mereka selesai tetapi mereka masih "berjalan bebas".

Cadangan BN jadi parti tunggal tidak sesuai - Ahmad Maslan



 
Cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebuah parti tunggal adalah tidak sesuai dan amat sukar dilaksanakan memandangkan ia tidak mampu mewakili suara semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
  
Beliau berkata, BN terdiri daripada 13 parti komponen yang mewakili pelbagai kaum termasuk kaum minoriti di Sabah dan Sarawak dan jika cadangan itu dilaksanakan beliau khuatir suara kaum minoriti ini kelak tidak dapat diwakili dengan baik.
  
"Kita tahu dari Sabah dan Sarawak, BN mempunyai parti kompnen yang mewakili pelbagai etnik yang tidak ramai di sana yang jika BN disatukan, suara mereka akan terhakis serta tidak mampu didengari lagi," katanya.
  
Ahli Parlimen Pontian itu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Agama Seri Anom Parit Satu di Pontian hari ini yang melibatkan peruntukan pembinaan sebanyak RM1.9 juta.

Ahmad berkata secara peribadi, beliau sendiri tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang bakal menjadikan Umno, satu-satunya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selama ini terkubur.
  
"Saya sendiri tidak bersetuju Umno bubar untuk wujudkan parti BN tunggal tanpa komponen dan saya yakin 3.4 juta ahli Umno juga tidak bersetuju," katanya.

Dalam masa yang sama beliau meminta cadangan untuk mewujudkan keahlian terus BN tanpa menjadi ahli kepada mana-mana komponen BN sebelum ini diaktifkan semula sebagai alternatif kepada cadangan BN menjadi parti tunggal.

Dengan cara itu, BN boleh menarik pelbagai persatuan atau kesatuan menjadi ahli bersekutunya.   Bernama

SPR akan diletak bawah Parlimen, kata Najib



 
Bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
  
"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana
Negara.

Langkah itu, yang bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti SPR, dibuat ketika Pakatan Rakyat melancarkan kempen terhadap suruhanjaya itu berikutan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 bulan lepas.

Pakatan pembangkang mendapat 51 peratus undi popular tetapi hanya memenangi 40 peratus kerusi di Parlimen berbanding dengan parti pemerintah, yang hanya menang 47 peratus undi popular tetapi memperolehi 60 peratus kerusi kerana amalan persempadanan kawasan pilihanraya.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dijangka dilaksanakan lewat tahun ini dan Pakatan dijangka mengenakan untuk membetulkan ketidakseimbangan jumlah pengundi, yang didakwa memberi kelebihan kepada BN

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak kemerdekaan, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
  
"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku perdana menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
  
"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin Allah SWT," kata Najib.
  
Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.
  
"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin Allah SWT," tambahnya.

Najib juga berkata, kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada SPR untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
  
Perdana menteri menegaskan janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.
  
Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya
mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
  
Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana
Negara.
  
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.- Bernama

Tragedi media Melayu

 Oleh Zairil Khir Johari

 

JIKA perkembangan media Melayu mutakhir ini diperhatikan, sifat-sifat kewarasan, keberkecualian dan kesusilaan sudah jelas tidak wujud.

Sentimen perkauman bagai menjadi kelumrahan media Melayu zaman sekarang, baik di kaca mata televisyen atau dalam media cetakan. Nyata trend yang sempit ini sedang diterajui oleh media kawalan UMNO, khususnya Kumpulan Utusan Melayu.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Utusan Malaysia dengan tidak segannya telah mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” melalui tajuk berita utama, manakala tabloid Kosmo! yang dimiliki kumpulan yang sama telah meluahkan muka depan yang tidak kurang provokatifnya, yakni, “Pengundi Cina bersikap talam dua muka”.

Seperti biasa, fitnah diterbit sebagai fakta dan tohmahan menjadi bahan ulasan para pengarang. Pengundi kaum Cina dipersalahkan atas kemerosotan keputusan pilihan raya Barisan Nasional (BN), meskipun hujahnya tidak logik ― bagaimanakah mungkin golongan yang merangkumi lebih kurang satu suku populasi negara boleh memberi 51 peratus undi popular (53 peratus di Semenanjung) kepada Pakatan Rakyat?

Jelas, kemenangan undi popular Pakatan Rakyat membuktikan bahawa gabungan parti terbabit telah menerima sokongan yang padu daripada segenap masyarakat Malaysia ― namun hakikat ini langsung diabaikan oleh media kawalan UMNO yang tidak ingin menerima kenyataan.

Agenda perkauman kemudian diteruskan dengan seruan Awang Selamat, iaitu suara hati lembaga pengarang Utusan, untuk memboikot syarikat penerbangan Air Asia ekoran kritikan seorang pegawai kanannya, Azran Osman-Rani, yang mencemuh akhbar Utusan kerana bersifat rasis.

Dan jika itu tidak mencukupi, Utusan kemudiannya menyiarkan kenyataan Perkasa yang menyelar Azran sebagai “bongkak” dan “lupa diri”, serta “mengingatkan” Azran agar tidak sesekali “menyentuh” Utusan Malaysia kerana akhbar itu merupakan satu-satunya wadah yang mempertahankan hak orang Melayu di negara ini, seolah-olah segala kejayaan Azran adalah hasil daripada jasa akhbar berkenaan.

Aduhai, malangnya nasib bangsa sehingga perisai perkauman terpaksa menjadi pelindung kepada umat Melayu. Agaknya, tanpa “perlindungan” daripada wira bangsa seperti Utusan dan Perkasa, tidak mungkin Melayu dapat berjaya atas usaha gigih sendiri ― inilah sebenarnya sikap yang memperlekeh dan merendahkan martabat bangsa!

Keadaan ini bukan sahaja sangat mendukacitakan, tetapi amat memalukan, khususnya apabila Utusan Malaysia pernah pada suatu ketika dahulu menjadi tonggak dan peneraju kepada suara masyarakat Melayu yang bebas.

Mungkin ramai yang telah lupa peristiwa 1961 apabila pekerja Utusan, termasuk tokoh kewartawanan seperti Said Zahari (yang ketika itu Ketua Pengarang), Usman Awang (kini Sasterawan Negara), serta barisan penulis dan wartawan seperti Abu Zaki Fadzil, Awam-il Sarkam, Salleh Yusof, Tajuddin Kahar, Zailani Sulaiman, Rosdin Yaakub dan lain-lain telah melancarkan kempen mogok.

Tujuan mogok tersebut adalah untuk membantah pengambilalihan Utusan oleh UMNO yang tidak senang dengan sikap akhbar itu yang kritikal terhadap pemerintah dan pro kepada masyarakat terbanyak.

Akhirnya, 50 tahun kemudian, kekhuatiran Said Zahari, Usman Awang dan para pekerja Utusan pada zaman 60-an yang mahukan Utusan kekal bebas daripada campur tangan politik, sudah pun menjadi kenyataan. 
Malah, Said Zahari dan Usman Awang tidak mungkin dapat bayangkan betapa corotnya kualiti kewartawanan akhbar yang pernah menjadi perjuangan mereka.

Akibatnya, Utusan sudah hilang wibawa di mata orang Melayu, khasnya golongan kelas menengah seperti Azran yang sudah lelah dengan politik perkauman dan fitnah. Jika tidak kerana langganan kerajaan melalui jabatan, agensi dan anak syarikatnya, Utusan tidak mungkin mampu bernyawa, apatah lagi apabila ia seringkali didapati bersalah oleh mahkamah dan dipaksa membayar ganti rugi kepada mangsa fitnahnya (Lim Guan Eng dua kali, Karpal Singh, Khalid Samad, Azan Ismail sebagai contoh yang terbaru).

Hakikatnya, Utusan yang dahulu menjuarai suara masyarakat terbanyak sudah menjadi alat politik parti konservatif kanan yang ketandusan ilham dan gagal merangkumi gagasan politik baru yang berteraskan idea. Yang paling malangnya, “usaha murni” Utusan serta puak haluan kanan ini sebenarnya tidak memajukan, malah memperbodohkan bangsa sendiri.

Pada saya, keadaan Utusan Malaysia pada hari ini adalah tragedi yang sangat besar kepada warisan akhbar Melayu. Jalan keluar daripada kemelut ini hanya satu ― media massa di negara kita harus dibebaskan.

Pengalaman di negara lain yang telah beralih daripada media terkongkong kepada media yang bebas menunjukkan bahawa akhbar yang berpendirian sempit dan berhaluan ekstrim seperti Utusan Malaysia tidak dapat bersaing dan akhirnya akan berhadapan dengan dua pilihan: tukar pendirian atau tutup kedai. 
Yang berjaya adalah mereka yang mampu memenuhi kehendak pasaran untuk kewartawanan yang lebih objektif.

Jika warisan akhbar Melayu hendak diselamatkan dan kewibawaan dikembalikan, jalannya adalah melalui pembebasan media. – Roketkini.com

Cadangan parti tunggal BN ‘tidak praktikal’ kata wartawan veteran


Bahasa

Oleh Mohd Farhan Darwis

Bekas editor NST A. Kadir Jasin berpendapat bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak mungkin dapat memujuk akar umbi Umno menerima idea BN sebagai parti tunggal. - Gambar failKUALA LUMPUR — Cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal tanpa parti komponen daripada kaum lain, jelas Datuk A. Kadir Jasin, adalah tidak praktikal dan akan ditolak akar umbi parti berteraskan Melayu itu.

Bekas editor di akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST) itu dalam blognya berkata hanya parti komponen BN majoriti Cina yang “nazak” seperti Gerakan, MCA dan SUPP yang akan menimbangkan cadangan itu.

“Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh “memujuk” kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!” kata A. Kadir dalam blognya, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

A. Kadir turut mempersoalkan keputusan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal sedangkan Umno yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan parti pemerintah itu diakui sendiri oleh Najib sebagai parti yang kuat.

“Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu,” katanya.

“Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?” soalnya.

Najib malam tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata parti itu masih kuat apabila berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

“Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS,” kata Najib kepada pemberita.

A. Kadir turut berkata, mengapa perlunya Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu.

“Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam,” katanya.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn minggu lalu berkata cadangan penyatuan antara parti komponen seperti Gerakan, MCA, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) tidak dapat dilaksanakan tanpa menjadikan BN parti tunggal kerana setiap parti komponen BN mempunyai Perlembagaan yang berbeza, dan berlandaskan kepada parti berteraskan kaum.

Mengulas perkara itu, A. Kadir menegaskan, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.

Perubahan struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan jelas A. Kadir tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi.

Justeru, beliau turut berkata; “Umno perlu membezakan yang mana satu pokok dan yang mana satu hutan belantara.”

Merajuk: Soi Lek dicadang niaga keranda

Abdul Aziz Mustapha,


KUALA LUMPUR: MCA tidak lagi layak mewakili kaum Cina dan lebih baik tutup kedai sahaja apabila berkeras dengan sifat merajuknya setelah kalah di dalam pilihan raya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Tidak henti-henti kita terjumpa berita MCA merajuk kerana kalah pilihan raya," katanya.

Terbaru, katanya, ialah berita 17 anggota MCA Bahagian Gelang Patah meletakkan jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta kononnya kerana menghormati resolusi parti mereka yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kalau begitu, Presiden MCA elok ajak anak buahnya terokai perniagaan jual keranda kalau tak mahu terlibat lagi dengan politik dan pentadbiran," kata Salahuddin Ayub.

Beliau juga menyifatkan parti itu berperangai seperti budak-budak yang merajuk dan mengugut apabila kalah bertanding.

"Kita faham tindakan MCA itu ialah untuk menempelak pengundi-pengundi Cina dan seperti mengherdik mereka bahawa mereka kini tidak ada lagi wakil dalam kerajaan minoriti Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini kerana keengganan mereka mengundi BN," katanya.

Meskipun demikian, beliau percaya masyarakat Cina tidak akan melayan ugutan sedemikian kerana mereka sudah terlalu jelik terhadap BN.

"BN sudah menjadi jenama yang ditolak hampir seluruh masyarakat Cina kecuali beberapa kerat yang ada kepentingan.

"Apabila jenama tersebut amat buruk di mata dan hati mereka, mereka tidak peduli lagi malah tidak akan melayan sama sekali apa jua taktik merajuk dan mengugut yang dicuba oleh MCA atau Gerakan," kata Salahuddin (gambar).

Beliau menyifatkan taktik merajuk yang dilakukan oleh MCA itu masih lagi dalam lingkungan permainan politik perkauman.

Ketika parti-parti di dalam BN terus bermain politik perkauman, Salahuddin yakin, majoriti masyarakat Cina dan semakin ramai rakyat yang lain sudah mula merasai bahawa Pakatan Rakyat kian menjadi wadah perpaduan yang ikhlas dan tulen.

"Pakatan sebagai wadah perpaduan rakyat bukan hanya cakap kosong tak berasas tetapi semakin dirasai sendiri oleh rakyat terutama mereka yang menghadiri perhimpunan-perhimpunan yang kita anjurkan.

"Bagi mereka yang menghadiri perhimpunan-perhimpunan itu, Pakatan kian terbukti dan benar-benar dirasai sebagai wadah perpaduan yang ikhlas dan tulen bagi semua rakyat negara ini," kata beliau.

Beliau juga yakin, hakikat bahawa Pakatan adalah wadah perpaduan mereka yang ikhlas dan tulen akan semakin sebati dalam pemikiran rakyat.