Khamis, 1 April 2010

'Umno terima Hulu S'gor kerusi MIC'

Abdul Rahim Sabri

Ketika beberapa pemimpin Umno mendesak agar kerusi parlimen Hulu Selangor dikembalikan kepada parti itu, seorang pemimpin kanan MIC bahagian berkenaan mendakwa sebaliknya.

Pemimpin MIC yang enggan namanya disebut mendakwa berdasarkan maklum balas yang diterimanya, terdapat ahli-ahli Umno sudah menerima hakikat bahawa kerusi tersebut diperuntukkan kepada MIC.

"(Ahli) Umno sudah terima kerusi itu (Hulu Selangor) kerusi untuk MIC. Akar umbi Umno berkata, kita tunggu pucuk pimpinan akan putuskan.

"Kalau BN kekalkan status qou, bahawa ia kerusi MIC, saya yakin keputusan akan berpihak kepada BN. Kita akan menang," katanya pemimpin MIC itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, pemimpin tersebut yakin bahawa pengundi India terutama anak muda yang menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya 2008 akan kembali semula menyokong MIC dalam pilihan raya kecil itu kelak

Setakat ini, Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel adalah satu-satunya calon yang dicadangkan parti itu untuk bertanding untuk merebut kerusi Hulu Selangor.

Beliau merupakan ketua MIC bahagian itu dan menjadi wakil rakyat sejak 1990 sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008 dengan majotiri 198.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

Mengulas lanjut, pemimpin itu berkata pengundi India di bahagian itu memberi sokongan padu kepada Palanivel bagi merampas semula kerusi tersebut dari PKR.

Menurut sumber terdapat 12,150 pengundi India berdaftar di bahagian tersebut.

Ditanya mengenai cadangan Umno agar MIC berkorban untuk memberi laluan calon Umno bertanding di situ, sumber itu berkata:

"Kita tidak ada masa untuk menyatakan ini kerusi Umno atau MIC. Kita sudah rugi satu minggu hanya bincang siapa calonnya... kerja belum mula lagi," katanya.

PMIUM tuntut pegawai kanan ILIM minta maaf

Jimadie Shah Othman

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMIUM) mendesak pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya memohon maaf secara terbuka kerana didakwa “mengaitkan persatuan itu dengan aliran-aliran tertentu di Malaysia”.

Presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya mendapat aduan, pegawai kanan dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) - dalam kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Al-Rahman di Jalan Pantai Bharu, pada 12 Mac lalu, dikatakan telah mengaitkan PMIUM dengan penganjuran sebuah seminar anti-terorisme.

Sedangkan, kata Shazni Munir, program tersebut - yang dikatakan melibatkan tokoh-tokoh 'Wahabi' - pada 28 Mac lalu, dianjurkan oleh sebuah NGO lain dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM) serta Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

“Kita tidak pro pada mana-mana aliran. Wahabi pun tidak, ahbas pun tidak. Kita ada semua pihak dalam PMIUM. Kita berlapang dada dengan semua aliran.

“Mengaitkan kita dengan mana-mana aliran, menyebabkan orang tutup pintu dengan kita,” kata Shazni ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Surat bantahan PMIUM - persatuan mahasiswa Islam terbesar di UM - yang ditandatangani setiausahanya Mohamad Hafiz Ilyas, telah dihantar kepada pegawai kanan berkenaan, pada 15 Mac lalu.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada menteri di jabatan perdana menteri, ketua pengarah Jakim dan pengerusi Masjid Al-Rahman.

Malaysiakini mendapat salinan surat tersebut daripada satu sumber.

Menurut surat tersebut, dakwaan pegawai kanan berkenaan, telah menjejaskan kewibawaan PMIUM dan berdasarkan fakta yang salah.

Pegawai berkenaan Zamihan Mat Zin bagaimanapun ketika dihubungi menafikan menuduh persatuan tersebut terlibat dalam program tersebut.

Mustafa: Tak timbul isu 'gugur' Ahmad Awang

Jimadie Shah Othman

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (bawah, kanan) berkata tidak timbul isu penyingkiran tokoh-tokoh tertentu dalam majlis syura ulama parti itu kerana anggotanya dipilih adalah daripada kalangan yang terbaik.

“Orang yang dipilih mestilah tahu selok belok agama. Orang macam saya ini tidak layak,” katanya sambil ketawa ketika diminta mengulas mengenai bekas naib presidennya, Ahmad Awang yang tidak terpilih semula menganggotai majlis tersebut.

Mustafa menerangkan, untuk dipilih sebagai anggota majlis tersebut, semua mereka disyaratkan faham dan mahir dalam selok-belok agama.

Pada 23 Mac lalu, 12 anggota majlis tersebut - badan tertinggi dalam PAS - bersidang kali pertama bagi melantik lima anggota tambahannya, antaranya Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Dr Haron Din, Hassan Shukri dan Hashim Jasin.

Bagaimanapun, pengguguran Ahmad - yang dispekulasikan lebih awal di laman blog - cuba dikaitkan dengan agenda “kumpulan pro-kerajaan perpaduan” apabila tokoh dari Perak itu dilihat sebagai antara yang paling lantang menentang idea tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mustafa berkata, tanggapan di laman blog itu tersasar sama sekali kerana penulisnya tidak mempunyai maklumat yang tepat berhubung isu tersebut.

“Sebab itulah yang bukan-bukan,” katanya yang mengaku tidak perlu ambil peduli dengan dakwaan-dakwaan itu.

Katanya, dengan pindaan terbaru perlembagaan PAS - yang menetapkan pelantikan anggota tambahan, daripada tujuh kepada lima orang - sudah tentu menjadi persaingan untuk dipilih ke majlis syura lebih sengit kerana bilangannya makin sedikit.

Sebelum ini, anggota majlis tersebut terdiri daripada empat wakil jawatankuasa pusat dan empat lagi daripada Dewan Ulama. Kelapan-lapan mereka kemudiannya melantik tujuh anggota tambahan, menjadikan jumlah keseluruhannya 15 orang.

Manakala perlembagaan barunya pula mengatakan, selain masing-masing empat wakil daripada kedua-dua dewan itu, dua lagi dewannya - Pemuda dan Muslimat - turut diperuntukkan masing-masing dua kerusi, menjadikan jumlah keseluruhannya 12 orang.

Mereka kemudiannya akan bermesyuarat dan melantik lima lagi anggota tambahan, menjadikan anggita keseluruhannya 17 Orang.

Sementara itu, diminta mengulas kenapa PAS perlu meminda perlembagaan sehingga mengubah struktur majlis tersebut, Mustafa menjelaskan, cadangan yang diutarakan dalam muktamarnya pada tahun 2006 itu sebenarya melibatkan banyak perkara.

“Majlis syura ini hanya sebahagian daripadanya,” kata bekas pemimpin PAS Terengganu itu.

“Kita mahukan lebih perwakilan. Kita hendak juga dengar pandangan-pandangan daripada Dewan Pemuda dan Muslimat,” kata Mustafa.

Nizar: Ganesan cabul Perintah Tetap Dewan

Andrew Ong



Ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan dewan setelah speaker R Ganesan berulang-kali menolak permohonan mereka bagi menimbulkan peraturan dewan.

Pada sidang media kemudiannya, menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin (PAS - Pasir Panjang) berkata tindakan Ganesan tidak menghormati peraturan dewan.

“Kita bertalu-talu minta supaya Perintah Tetap dihormati. Tetapi kita lihat ia dilacur dan diliwat oleh Ganesan dan Umno-Barisan Nasional,” kata Nizar.

"Perintah Tetap bukan sahaja diabaikan tetapi tidak digunakan sebagai panduan untuk perjalanan dewan,” tambah beliau.

Menurut
Nizar, wakil rakyat Pakatan dinafikan hak mereka sebahgai ahli dewan undangan negeri.

Pada sidang pagi ini, Nga Kor Ming (DAP - Setiawan) cuba membangkitkan Peraturan 3, 4 dan 6 bagi mencabar kesahihan Ganesan sebagai speaker.

Kata Nga, Peraturan Tetap mensyaratkan bahawa pelantikan speaker baru hanya boleh dibuat jika berlaku keksongan dan ia mesti dijalankan menerusi pengundian.

Bagaimanapun
sebelum Nga boleh menghabiskan bacaannya mengenai Peraturan Tetap, Ganesan mencelah dan mendakwa pelantikannya pada 7 Mei tahun lalu adalah sah. Dia kemudiannya mengarahkan Nga supaya duduk.

Ganesan kemudian bertindak menutup mikrofon Nga dan meneruskan sidang dengan sessi soal-jawap.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata tindakanpembangkang yang menimbulkan kekecohan serta bertindak keluar beramai-ramai itu seperti sudah dirancang dari awal.

“Ini boleh dilihat daripada tindakan sebahagian besar mereka yang berpakaian serba hitam dan membawa poster dalam dewan. Pembangkang cuba jadikan DUN sebagai kandang dan tempat demonstrasi," katanya pada sidang media berasingan.

Pada sidang pagi tadi, adun Rungkum, Datuk Shaarani Mohamad mencadangkan kepada dewan agar memohon kepada Sultan Perak bagi menarik semula gelaran 'Datuk Seri' yang diberikan kepada Nizar dan 'Datuk' kepada Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan).

Matthias enggan bayar denda, pilih masuk penjara

BERNAMA



Matthias Chang, bekas setiausaha politik kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menjalani hukuman penjara sebulan selepas enggan membayar hukuman denda RM20,000 atas kesalahan menghina mahkamah minggu lepas.

Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberi tempoh seminggu untuk Chang membayar denda tersebut.

Chang didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

Chang, 60, bersama penyokongnya, menunggu di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur mulai jam 3 petang ini untuk mendapat perintah menyerahkan ke penjara disampaikan kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar K.Pavanni hanya memaklumkan kepadanya pada kira-kira jam 4.15 petang bahawa tempoh seminggu yang diarahkan oleh Noor Azian hanya tamat lewat petang ini.

Menurut prosedur mahkamah, perintah menyerahkan masuk ke penjara hanya boleh dikeluarkan pagi esok.

Jumaat lepas, Noor Azian juga membatalkan samannya dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak serta penghujahan.

Chang, seorang peguam, telah menyaman American Express kerana melanggar perjanjian dan memfitnah kerana kad kreditnya digantung.

Dalam pembelaannya, American Express berkata tidak ada keterangan atau bukti mengenai pelanggaran perjanjian atau fitnah seperti didakwa oleh Chang.

Terdahulu itu, dalam sidang akhbar, Chang berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan walaupun ahli Gabungan Persatuan Kwang Siew Malaysia telah mengumpul RM20,000 untuk membayar denda itu.

"Ini soal prinsip. Saya sanggup masuk penjara bagi membuktikan bahawa hakim tidak harus terlepas daripada sikap yang tidak beretika dan kelakuan yang tidak dapat diterima," katanya.

Chang mendakwa Noor Azian enggan menarik balik beberapa komen menghina terhadap peguamnya dalam saman sivil itu apabila mereka cuba menarik perhatian hakim kepada undang-undang relevan.


Senarai penerima pertama biasiswa nasional 2010

BERAMA



Berikut senarai 30 pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang diumumkan sebagai penerima pertama Biasiswa Nasional 2010:

1. Gladys Tan Yee Kim (SMK Green Road, Kuching)

2. Grace Kiew Sze-Ern (SMK Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya)

3. Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan, Labu)

4. Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar)

5. Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban)

6. Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Gombak)

7. Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu)

8. Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka)

9. Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Gombak)

10. Hu May Khei (SMK Convent, Taiping)

11. Muhammad Amal Aiman Mohd Yusof (MRSM Kota Baharu)

12. Kuah Jia Ying (SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang)

13. Chean Chung Shen (SMK Methodist (ACS) Sitiawan)

14. Ahmad Zhafir Zulkfli@Zulkifli (SBPI Temerloh)

15. Goh Diangde (SMK Derma, Kangar)

16. Ameenah Azman (Kolej Tunku Kurshiah, Seremban)

17. Erin Chuah Wei Yen (SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur)

18. Mohamad Syukri Azmi (MRSM Kota Baharu)

19. Muhammad Syafiq Kamarulzaman (SBPI Selandar, Melaka)

20. Neelam Devi Nath (SMK Buloh Kasap, Segamat)

21. Ooi Hui Lynn (SMK Convent Green Lane, Pulau Pinang)

22. Nurliyana Sanusi (MRSM Kota Baharu)

23. Gan Li Fang (SMK Tun Mamat, Tangkak)

24. Muhammad Sallehuddin Mansor (SMK Matang, Perak)

25. Muhammad Izzat Solihuddin (MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka)

26. Nurizzati Zainal Nazeri (Kolej Yayasan Saad, Melaka)

27. Khairunnisa Che Bahrun (Maahad Ahmadi, Tanah Merah, Kelantan)

28. Nurulaida Mohd Darus (SBPI Jempol, Negeri Sembilan)

29. Loh Sook Yin (SMK Tinggi St David, Melaka)

30. Malathy a/p Balakrishnan (SMK Ibrahim, Sungai Petani)

SMK : Sekolah Menengah Kebangsaan

SM : Sekolah Menengah

MRSM: Maktab Rendah Sains Mara

SBPI: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi


PERKASA ancam tentang EOC jika 153 dicabuli

MALAYSIA KINI



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) melahirkan kebimbangan mereka berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Peluang Sama Rata atau “Equal Opportunity Commission” (EOC) kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang juga presiden PERKASA berkata nama suruhanjaya itu juga “membayangkan semua kaum akan mempunyai peluang yang sama rata dan ini bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin memberi amaran kepada kerajaan berhubung EOC. Jika ia bertentangan dengan Perkara 153 dan mengancam hak keistimewaan Melayu, PERKASA akan menentangnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Anwar: BN 'curi' idea agenda ekonomi Pakatan

Salhan K Ahmad



Pakatan Rakyat mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang didakwa 'dicedok' daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.

Ia juga didakwa diumumkan dengan membelakangkan kepentingan parlimen, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pakatan rakyat mengemukakan agenda ekonomi Malaysia dan melihat bahawa banyak pandangan yang kita kemukakan dicedok dalam NEM, hinggakan ayat-ayat dan frasa pun ada persamaan," katanya.

Antaranya ialah keperluan untuk mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, dan juga tumpuan untuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Model Ekonomi Baru yang Datuk Seri Najib umumkan hampir sama," katanya lagi.

Je
lasnya, Pakatan tidak mempertikai frasa atau ayat yang digunakan dalam laporan berkenaan.

"Tapi persoalannya ialah bahawa persamaan kenyataan itu hanya pada kenyataan, tidak pada program yang konkrit, tidak ada perubahan besar dasar.

"Tidak ada komitmen untuk mengubah fasiliti awam, tidak disentuh usaha membanteras rasuah yang menyebabkan kehilangan puluhan juta ringgit, iaitu musuh ekonomi negara," katanya.

Lim Kit Siang pula berkata pengumuman berkenaan menunjukkan perdana menteri tidak menghormati institusi parlimen.

"Saya fikir perdana menteri tidak menunjukkan hormat kepada parlimen," katanya

Tambahnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas pilihan parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ianya diumumkan kepada rakyat.

"(Untuk) menunjukkan kerajaan serius dengan kedudukan parlimen dan pengasingan kuasa, (perdana menteri) perlu bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa pilihan khas tentang NEM, untuk dapatkan maklumbalas rakyat dan rundingan," katanya.

Pandangan ini dipersetujui presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendirian bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan slogan "rakyat didahulukan" yang dicanang oleh kerajaan.

"Ini bercanggah dengan slogan rakyat diutamakan. Kami adalah wakil rakyat dan ini sangat berkait dengan kepentingan rakyat," katanya.

Rupa-rupa Taubat Siti Tak Panjang

Oleh laniisma


Taubat Siti hanya separuh jalan. Siti kembali kepada keadaan mula-mula menyertai dunia hiburan. Sampai suatu ketika dia rasa ingin bertaubat dalam hal-hal menutup kepala.

Maka bertudunglah Siti. Siti bertudung pada mula-mulanya, elok sangat-sangat. Ditutup semuanya. Selang beberapa ketika Siti merasakan panas ketika bertudung kerana sebelumnya dia tidak memakai tudung. Dia membuka sedikit tudungnya dengan menampakkan leher yang canting dipandang itu. Selang beberapa ketika Siti merasakan subang mahal yang dipakainya tidak dapat dipandang orang. Dibuka sedikit anak telinganya supaya subangnya jelas kelihatan.

Selepas itu dia menyukai gaya tudung Rosmah, bertudung berjambul yang dipakai ketika berkaitan perkara agama. Siti sangat suka, ditirunya gaya Rosmah bertudung dengan menampakkan sebahagian rambutnya. Selepas itu Siti rasa tudung berserabut di atas kepalanya. Dibuka terus tudungnya kini. Kembali kepada asal. Kalau bertudung pun macam tak bertudung. Taubatnya tak panjang.

Siti juga pernah berkata suaminya suka kalau dia tidak bertudung. Hanya lelaki jenis ini yang hanya mampu dilahirkan oleh pemerintah kita. Minta dijauhkan pemikiran sebegini kepada anak-anak kita.

Taubat Siti tak panjang. Janganlah pula perempuan yang dah mula-mula berjinak-jinak dengan tudung ikut pula Siti selepas ini. Moga-moga anda semua bahagia dengan tudung anda.

Penduduk Hulu Selangor, Bersedia Dan Jangan Terperanjat

Oleh: WFAUZDIN NS


BERTUAH sungguh orang-orang yang menetap di kawasan Hulu Selangor tidak berapa lama lagi. Meskipun mereka masih berada di dalam kesedihan di atas pemergian Wakil Rakyat mereka ke Rahmatullah baru-baru ini, tetapi takdir itu membawa seribu rahmat buat masyarakat di Hulu Selangor. Mahu tidak mahu Pilihanraya Kecil terpaksa diadakan. Seperti biasa, mana-mana kawasan yang berlaku Pilihanraya Kecil pastinya akan dilimpahi kemewahan yang tidak disangka-sangka.

Cuba sebut satu sahaja kawasan yang diadakan Pilihanraya Kecil yang tidak dilimpahi kemewahan secara tiba-tiba? Semua penduduk akan merasai betapa nikmatnya hidup sepanjang tempoh kempen diadakan. Bagi yang lelaki, mereka boleh minum teh tarik dan makan roti canai di warung atau restoren tanpa perlu membayar kerana akan ada `Sipemurah' akan membayarnya

Mereka tidak perlu lagi bekerja di ladang getah kerana akan ada `hantu raya' tolong torehkan getahnya seperti yang berlaku semasa Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai yang lepas. Bagi suri-suri rumah pula, mereka boleh lah duduk menonton TV sepanjang hari kerana akan hadir `Puteri-Puteri' dari kayangan berpakaian serba `pink' tolong membasuh kain, menyapu halaman rumah hatta tolong dodoikan anak-anak mereka.

Di saat menjelang pilihanraya nanti, dari sekarang jika rumah anda ada sikit-sikit bocor atap atau dinding rumah reput, lebih baik buangkan terus. Jangan khuatir, atap rumah anda dan dinding rumah anda akan ditukar dengan yang baru. Bayaran? Tidak perlu, anda cuma perlu ikatkan bendera logo keris telanjang tanpa sarung atau dacing baghdad berkarat tu pada tiang-tiang rumah anda. Tidak percaya? Cuba tanya orang-orang Manek Urai atau orang-orang di Bukit Gantang dan Permatang Pauh.

Tapi mereka mungkin silap apabila berdepan dengan masyarakat di Hulu Selangor ini. Jika di Kelantan, rakyat di sana telah diajar petua oleh Tuan Guru Nik Aziz bagaimana untuk berdepan dengan `hantu-hantu raya' yang boleh merupa-rupa ini. Di Kelantan mereka mengamalkan petua, "beri gula, kacau, beri kain, sarung, beri duit, ambil....undi tetap PAS". Hasil dari petua ini Kelantan selamat berpuluh tahun. Petua di Kelantan boleh digunakan di Hulu Selangor sekiranya kita ingin melihat `hantu-hantu raya' ini diperbodohkan. Telah lama orang-orang Melayu diperbodohkan oleh `hantu-hantu raya' yang boleh merupa berbagai rupa ini, kini tiba pula waktunya kita perbodohkan mereka pula.

Mereka ini tiada kekuatan apa-apa kecuali umpan duit, guna jentera kerajaan dan media pencacai mereka. Jangan pelik mulai sekarang kita akan mendengar beratus-ratus orang ahli PR keluar dan menganut `mazhab' Umno/Bn. Di Hulu Selangor nanti akan dimainkan lagu-lagu lama kitaran semula. Menteri-menteri akan datang setiap hari untuk merasmikan bangunan, projek, program hatta perasmian tandas awam pun akan ada menteri yang turun siap siaran langsung oleh TV. Anda jangan sangka negara kita ingin berperang atau huru hara apabila anda melihat beberapa tempat didirikan khemah-khemah Polis.

Mudah-mudahan penduduk-penduduk di Hulu Selangor tidak dirasuk oleh `hantu-hantu raya' ini. Persetankan jenis atau bangsa apa `hantu-hatu raya' ini samada berkulit sawo matang mahu pun berkulit gelap kerana `hantu raya' tetap `hantu raya' yang sentiasa ingin menipu./

wfauzdin.blogspot.com