Abdul Rahim Sabri |
Ketika beberapa pemimpin Umno mendesak agar kerusi parlimen Hulu Selangor dikembalikan kepada parti itu, seorang pemimpin kanan MIC bahagian berkenaan mendakwa sebaliknya.
Pemimpin MIC yang enggan namanya disebut mendakwa berdasarkan maklum balas yang diterimanya, terdapat ahli-ahli Umno sudah menerima hakikat bahawa kerusi tersebut diperuntukkan kepada MIC.
"(Ahli) Umno sudah terima kerusi itu (Hulu Selangor) kerusi untuk MIC. Akar umbi Umno berkata, kita tunggu pucuk pimpinan akan putuskan.
"Kalau BN kekalkan status qou, bahawa ia kerusi MIC, saya yakin keputusan akan berpihak kepada BN. Kita akan menang," katanya pemimpin MIC itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, pemimpin tersebut yakin bahawa pengundi India terutama anak muda yang menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya 2008 akan kembali semula menyokong MIC dalam pilihan raya kecil itu kelak
Setakat ini, Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel adalah satu-satunya calon yang dicadangkan parti itu untuk bertanding untuk merebut kerusi Hulu Selangor.
Beliau merupakan ketua MIC bahagian itu dan menjadi wakil rakyat sejak 1990 sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008 dengan majotiri 198.
Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.
Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).
Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.
Mengulas lanjut, pemimpin itu berkata pengundi India di bahagian itu memberi sokongan padu kepada Palanivel bagi merampas semula kerusi tersebut dari PKR.
Menurut sumber terdapat 12,150 pengundi India berdaftar di bahagian tersebut.
Ditanya mengenai cadangan Umno agar MIC berkorban untuk memberi laluan calon Umno bertanding di situ, sumber itu berkata:
"Kita tidak ada masa untuk menyatakan ini kerusi Umno atau MIC. Kita sudah rugi satu minggu hanya bincang siapa calonnya... kerja belum mula lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan