Ahad, 31 Januari 2010

Zambry adalah MB mahkamah pada 9 Feb ini?

oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM


Kelmarin saya dihubungi oleh wartawan dari Konsep Era Pakatan bertanyakan apakah rumus terakhir mengenai kemungkinan yang akan berlaku di Perak dengan dikaitkan dengan pengumuman Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari akan datang.

Sesuatu yang baru saya katakan kepada wartawan itu. maklumlah apapun kita semua boleh jangkakan dan itulah suasana sekarang, macam macam ada.

Saya katakan bahawa antara yang saya jangka selain jangkaan DUN dibubarkan sebelum 9 Februari, namun kita juga kena fikir bahawa Mahkamah juga kemungkinan akan mengumumkan Zambry adalah Menteri Besar yang mewakilinya di Malaysia, maksud saya satu-satunya MB di malaysia yang naik cara mahkamah hanyalah Zambry.

Sesudah itu demi maruah Zambry akan ke Istana dan memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk pembubaran DUN Perak. Yang jelas kerajaan sementara Perak ditangannya dan dia seperti biasa akan pergunakan semua badan dan agensi untuk jadi komponen UMNO dan BN bagi menentang Pakatan Rakyat.

Apa pun hari 9 Februari semakin menghampiri kita, sehari yang berlalu makin dekat sehari dengan tarikh keramat itu.

Namun manakah rumus yang benar, kita tunggu dan lihat.

Sabtu, 30 Januari 2010

Kempen PRK di Facebook, salah di mana wahai UPM!?

Alibukhari


Adalah tidak betul sikap Universiti Putra Malaysia menjatuhkan hukuman ke atas para pelajarnya gara-gara mereka membuat kempen dalam pilihan raya kampus (prk) baru-baru ini, menggunakan Facebook.

Saya amat rapat dengan dua buah kampus universiti, UKM dan UM ketika ini dan saya banyak meneliti bagaimana kegiatan kempen mereka dilakukan melalui Facebook.

Pengerusi Pro M UM Mohd Shafie Hashim saya temui ketika hari penamaan calon berlangsung di kampus tersebut.

"Ana nak orang yang boleh update selalu laman web, blog, Facebook lepas ni," katanya lagi. Telinga lintah saya bagaikan radar, ia terus mendengar, bersama kecepatan jari-jemari saya menggodam komputer riba.

Laporan berita seharusnya pantas apatah lagi untuk menulis berita berhubung perjalanan pilihan raya kampus mutakhir ini.

Salahkah Najib Razak berkempen 1Malaysia menggunakan Facebook? Aspirasi pun tidak boleh dipersalahkan jika mereka berkempen menggunakan alat itu.

Pro M UKM dan Pro M UM adalah golongan yang terlebih awla lagi afdal untuk dibatalkan pencalonan mereka kalau UPM bertindak sedemikian ke atas siswa mereka sendiri.

Ketika Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ditanya berhubung hal tempoh berkempen yang singkat, beliau berkata dalam Utusan Malaysia, hal itu tidak lagi berbangkit kerana calon boleh berkempen perkakasan internet.

Sambil menyebut Friendster, Dzulkifli tidak lupa menyebutkan Facebook.

Saifuddin Abdullah pun ada Facebook juga

Saya kebetulan punya kesempatan berbual bersama Dato' Saifuddin Abdullah di NZ Garden Jalan Ampang berhubung idea Parlimen Mahasiswa.

Malam itu, saya melihat sendiri betapa Saifuddin disambut mesra oleh kalangan siswa. Saya difahamkan beliau juga membawa mahasiswa menonton wayang '3 Idiot' yang mengisahkan isu-isu pendidikan di India.

Daripada filem itu, beliau mengambil buah fikiran mahasiswa untuk membaiki sistem pendidikan di negara ini. Saya difahamkan, acara tontonan wayang itu, dibuat melalui rakan-rakan mahasiswa dalam Facebook beliau.

Ya memang Saifuddin antara yang terkenal menjawab persoalan siswa dengan pantas melalui Facebook.

Kita boleh marahkan Facebook kerana pengasasnya adalah Yahudi. Lain-lain isu lagi, kita nak marahkan apa sebenarnya?

Saya pernah naik turun mahkamah universiti gara-gara membuat laman web peribadi multiply.com pada tahun 2005.

Memang disebut di dalam surat yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tatatertib HEP USM itu - jenayah saya adalah membuat laman web multiply.com TANPA KEBENARAN DAN KEIZINAN UNIVERSITI.

Zaman itu, blogspot.com belum ada atau belum terkenal. YouTube.com juga tiada ada. Apatah lagi Facebook. Kalau pada zaman itu, perkakasan ini sudah lengkap tersedia, memang saya gunakan bersungguh-sungguh dan saya nak goncang betul-betul pegawai HEP yang menyusahkan hidup saya itu.

Mereka ini terlalu sombong, angkuh, gemar bertempik. Tidak tahu nak cakap, bahasa apa yang kita mahu gunakan bagi menggambarkan kejelikan tingkah laku mereka ini. Tapi saya lawan juga dalam keadaan sokongan hampir tiada.

Kepada rakan-rakan siswa di UKM dan UM atau di mana-mana sahaja. Jangan patah hati dan teruskan berusaha. Jenguk-jenguklah mereka sama.

Apabila membaca kes mahasiswa dibatalkan pencalonan gara-gara Facebook ini, nak marah pun ada, nak tergelak pun ada juga. Tak tahu, yang mana nak didahulukan - nak gelak atau nak marah.

"Akar nibung meresap, akar keranji dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu" - Karam Singh Walia (Aduan Rakyat)...(Anwar Ibrahim dalam 'Muktamar' Agung Umno, 19??)

Hussien Kesal SPRM Diperalatkan

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor, Hussien Ahmad dukacita kerana SPRM dipergunakan oleh pihak tertentu untuk membuat pertuduhan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata penahanannya oleh SPRM berpunca daripada fitnah anasir-anasir yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan kontrak pasir.

Pegawai kanan kepada EXCO Yaakob Sapari itu dibebaskan tanpa syarat setelah ditahan reman selama lima hari minggu lalu.

“Pasir adalah sumber alam yang di bawah YB Yaakob, tapi sebenarnya YB Yaakob sebagai Exco Sumber Alam, tapi pasir ini adalah bawah jagaan anak syarikat kerajaan Selangor yang bernama Kumpulan Semesta Sdn Bhd jadi ini yang berlaku apabila setiap permohonan terpaksa dihantar kepada pihak KSSB, tapi malangnya melihat mereka ini tidak faham prosedur yang sedia ada dan saya terlibat dengan konflik untuk menjatuhkan saya kerana tak dapat kontrak pasir”, katanya yang ditemui baru-baru ini.

Hussein ditemubual dalam program Apa Khabar Selangor terbitan TV Selangor di Shah Alam.

Hussien turut disoal siasat SPRM atas lawatannya ke Hangzhou, China pada Oktober lalu di bawah program lawatan kerja usahawan yang ditanggung kerajaan negeri.

“Kita pergi ke Hangzhou sebagai usahawan, tapi dalam ramai-ramai itu, rupanya terselit 2-3 orang yang kita tak dapat terima keinginan dia itu, yang dia mahu bukannya usahawan, tetapi pasir, tapi kita tak tahu, tuduhan yang kita terima dia kata semasa dalam perjalanan itu pergi Hangzhou, tuduhan dia telah memberi saya 10 ribu yuen untuk saya meluluskan permit pasir dan juga gambar China, apa yang saya tahu, saya tak pernah meluluskan permit pasir, kerana saya tak pernah meluluskan permit pasir dan saya tak boleh meluluskan permit pasir begitu juga YB Yaakob Sapari”, jelasnya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan terhadapnya didalangi oleh golongan terdesak dalam Umno-Barisan Nasional yang mahu menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Lans Koperal dinamakan penyebar gambar bedah siasat Nurin

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, semalam, dibenarkan menamakan anggota polis Amran Arifin, yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin, sebagai defendan dalam kes saman kecuaian terhadap polis dan kerajaan.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Jazimin Abdul Jalil memohon menamakan Amran, seorang Lans Koperal, sebagai defendan kelima selepas Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia berikutan pengakuan pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar itu diedarkan Amran.

Semua defendan juga menarik balik permohonan untuk membatalkan saman itu.

Sejuta penganut Hindu dan pelancong berhimpun di Batu Caves

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kira-kira sejuta penganut Hindu termasuk pelancong asing membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini, sempena Thaipusam bagi menghormati hari lahir Dewa Murugan.

Walaupun cuaca panas terik sejak pagi, suasana di sekitar kawasan itu meriah dengan tumpuan diberikan kepada kira-kira 10,000 penganut yang menunaikan nazar dengan membawa kavadi, palkudam (belanga susu), memecahkan kelapa dan mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Anggota jawatankuasa kuil itu V. Krishnamoorthi berkata sambutan kali ini lebih meriah kerana lebih 10,000 penganut membayar nazar mereka dan pelancong juga dapat melihat perubahan-perubahan yang dilakukan di sekitar kawasan kuil itu.

"Memang banyak perubahan yang dilakukan pada sambutan Thaipusam kali ini, antaranya bangunan dan dewan di sekitar kawasan kuil dicat semula, laluan pejalan kaki yang baru dan sebuah dewan kecil yang dibina khas bagi penganut yang membayar nazar dengan mencukur rambut," katanya.

Selain itu, keadaan lalu lintas juga dilihat dapat dikawal dengan sempurna dan tidak berlaku kesesakan teruk seperti tahun sebelum ini.

Felcra mula perkenal sawah padi organik

BERNAMA


KAMPUNG GAJAH - Felcra Berhad mula mengorak langkah untuk melaksanakan penanaman padi organik sepenuhnya di kawasan jelapang padi Felcra Seberang Perak di sini melalui pelancaran projek perintis Pakej Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) Lestari, hari ini.

Projek perintis itu dimulakan di kawasan seluas 26 hektar daripada keseluruhan kawasan 4,000 hektar jelapang padi berkenaan.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, melalui program perintis itu, kaedah penanaman padi yang berkonsepkan mesra alam serta meningkatkan hasil dan mengurangkan kos akan diperkenalkan.

"Di bawah pakej IPM ia dapat mengurangkan penggunaan racun serangga perosak melalui strategi kawalan yang berdasarkan ekologi yang bergantung kepada faktor semulajadi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis itu, di sini.

Beliau berkata, konsep itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan ia dijangka mampu menghasilkan pendapatan bersih RM4,000 sehektar berbanding RM1,000 sehektar jika menggunakan racun serangga perosak.

Pendirian Ku Li Mengenai Royalti Minyak Mengejutkan - Rais

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini melahirkan rasa amat terkejutnya dengan perubahan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak berbanding pendiriannya sebelum ini.

Beliau berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan adalah bertentangan dengan kenyataan yang dibuat pada Oktober 2000, dan kenyataan terbarunya itu mengelirukan rakyat, terutama penduduk Kelantan.

Rais berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royaliti minyak yang dibuatnya semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada Khamis lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada 31 Oktober 2000, media melaporkan Tengku Razaleigh berkata daripada segi undang-undang, negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing.

Oleh itu, Tengku Razaleigh yang merupakan pengerusi Petronas pada tahun 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada kerajaan negeri terbabit, termasuk Terengganu dan Kelantan, berkata pembayaran wang hasil minyak oleh Petronas kepada kerajaan negeri terbabit bukan diberi kerana ada dasar ianya hak negeri terbabit.

Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Razaleigh bagi mengulas pembayaran wang ihsan yang dipertikaikan oleh anggota PAS pada persidangan Dewan Rakyat.

Rais berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak di bawah Akta Petroleum 1974, dan " apabila Ku Li ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan bagaimana beliau boleh sanggup tukar pendirian benarnya yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 dengan semata-mata berhadapan dengan ribuan orang."

Kenyataan terbaru Tengku Razaleigh itu mengelirukan rakyat, terutama sekali di Kelantan yang harus diperbetulkan kedudukannya daripada segi undang-undang iaitu negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing, katanya.

"Bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang Persekutuan berhak.

"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara.

"Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.

"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak PAS dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno bahagian Gua Musang, dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.

Di BACHOK, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Umno Kelantan terkilan dengan kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Beliau berkata ketika kerajaan pusat memberikan wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak kepada Terengganu ketika diperintah PAS pada 1999 hingga 2004, Tengku Razaleigh ketika itu antara tokoh yang lantang menyokong keputusan kerajaan pusat.

"Ketika itu Ku Li (Tengku Razaleigh) menyokong pendirian kerajaan pusat memberi wang ihsan kepada Terengganu tetapi apa yang berlaku sekarang disebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Muzakarah Ahli Sunnah Wal-Jamaah Parlimen Bachok hari ini.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang disiarkan oleh beberapa akhbar pada akhir tahun 2000 dan awal tahun 2001.

Katanya ini termasuk laporan Berita Harian keluaran 1/11/2000 antara lain melaporkan bekas Menteri Kewangan itu mengesahkan bahawa bayaran yang dibuat Petronas kepada kerajaan Terengganu sejak dulu lagi bukan royalti minyak.

Saifuddin Harap Universiti Tidak Singkir Sembilan Mahasiswa

BERNAMA


SHAH ALAM: Pihak pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana mengadakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus (PRK) di ibu negara Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap mahasiswa yang terbabit dalam demonstrasi itu.

Beliau berharap pihak pengurusan universiti tidak mengenakan tindakan dwi-dakwaan terhadap mahasiswa tersebut atas satu kesalahan.

"Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tataterbit di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu," katannya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkaraf di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, polis menahan sembilan daripada kira-kira 200 mahasiswa dari pelbagai universiti yang menyertai perhimpunan membantah proses PRK di Menara Tun Razak, Jalan Raja, Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo, kira-kira 500 meter dari situ.

Lebih 33 % Aduan Kepada BPA Mengenai Kelewatan & Tiada Tindakan Atas Janji Yang Dibuat

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


PUTRAJAYA: Lebih 33 peratus aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) sepanjang tahun lalu adalah mengenai isu kelewatan dan tiada tindakan yang diambil oleh agensi yang berkaitan mengenai janji yang dibuat.

Ketua Pengarah BPA, Datuk Tam Weng Wah berkata, ini menunjukkan masyarakat sedar akan hak mereka dan mengikuti perkembangan setiap agensi atau jabatan dari dekat.

Bagi BPA katanya, ini adalah satu perkembangan yang sihat kerana masyarakat sedar akan kewujudan dan peranan BPA dan mahu ke hadapan untuk membuat aduan bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, BPA pada tahun ini berazam untuk menyelesaikan aduan masyarakat dalam masa 15 hari daripada tarikh aduan dibuat yang mana sebelum ini mengambil masa 41 hari untuk diselesaikan.

"Kita juga akan memberi perhatian lebih kepada masalah-masalah yang dilaporkan dan tidak mengambil ringan terhadap laporan yang dibuat," katanya dalam temuramah eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di sini.

Menurut statistik yang dikumpulkan oleh BPA, 10 agensi yang paling banyak menerima aduan daripada orang-ramai sepanjang tahun lalu ialah (1). Polis Diraja Malaysia (783 aduan); (2). Jabatan Kerja Raya (496 aduan); (3). DBKL (437 aduan); (4).Bank Negara Malaysia (380 aduan); (5). Jabatan Pelajaran Negeri (311 aduan); (6). JPN (309 aduan); (7). Jabatan Imigresen (274 aduan); (8). Jabatan Kebajikan Masyarakat (269 aduan); (9). Hospital (255 aduan) dan (10). Tenaga Nasional (219 aduan).

Menurut Tam, aduan mengenai kelewatan bertindak atau kegagalan agensi-agensi tertentu mengambil tindakan ke atas aduan yang dibuat meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun 2008 yang hanya 30.3 peratus.

Bagaimanapun menurut Tam, daripada keseluruhan 12,688 kes aduan yang diterima oleh BPA sepanjang tahun lalu, 12,125 kes atau 95.6 peratus telah berjaya diselesaikan oleh BPA.

"Jumlah itu amat besar dan pihak kami amat gembira apabila hampir semua masalah dapat diselesaikan," kata.

Beliau juga memberi contoh dalam kes aduan yang dibuat mengenai PDRM iaitu 783 aduan sepanjang tahun lalu, 753 aduan atau 96.2% berjaya diselesaikan dan begitu juga dengan sembilan lagi agensi yang mendapat aduan tertinggi semuanya berjaya menyelesaikan lebih 90% daripada aduan yang disampaikan.

Malah katanya, dalam kes aduan yang dibuat mengenai JPN, 99% daripada aduan itu berjaya diambil tindakan dan diselesaikan.

Menurutnya lagi, kejayaan itu hasil daripada kegigihan dan kesungguhan kakitangan BPA menjalankan tugas mereka secara sistematik dan teratur selain kerjasama erat BPA dengan agensi-agensi yang telibat.

Menurut Tam, kes yang sering dilaporkan oleh orang awam mengenai agensi kerajaan adalah berkaitan dengan kualiti perkhidmatan, kegagalan penguatkuasaan, salah laku anggota awam selain kelewatan mengambil tindakan dan tiada tindakan langsung selepas aduan dibuat.

"Kakitangan perlu peka dengan setiap permasalahan yang diadu oleh pihak pengadu dan polisi kita di sini adalah mesti bertindak cepat tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

"Selain itu, kerjasama erat antara agensi amat penting bagi mencari punca sebenar masalah yang timbul," katanya.

Tambah beliau, BPA tidak boleh bersikap berat sebelah kepada agensi yang diadu tanpa mengkaji terlebih dahulu masalah yang berlaku.

Ditanya mengenai badan itu yang agak low-profile daripada sebarang publisiti tetapi menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, Tam berkata, itu bukan satu isu yang besar kerana menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk melaksanakan tanggungjawab dan saling tolong menolong dalam menyelesaikan masalah yang diajukan oleh rakyat.

"Itu adalah tanggungjawab kami di sini untuk menyelesaikan masalah," ujarnya.

Pengaruh Rakan Sebaya Penyebab Murtad di Selangor

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


SHAH ALAM: Pengaruh rakan sebaya didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada budaya murtad di Negeri Selangor, demikian dedah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online, beliau berkata, terdapat sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, statistik juga menunjukkan kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.

“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, tahun 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, baru ada 3 kes,” katanya.

Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.

"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.

"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.

"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.

Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menguggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.

"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.

"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.

Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.

"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.

"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.

"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.

Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.

"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.

"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.

"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.

"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.

"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.

"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.

Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.