Sabtu, 30 Januari 2010

Kempen PRK di Facebook, salah di mana wahai UPM!?

Alibukhari


Adalah tidak betul sikap Universiti Putra Malaysia menjatuhkan hukuman ke atas para pelajarnya gara-gara mereka membuat kempen dalam pilihan raya kampus (prk) baru-baru ini, menggunakan Facebook.

Saya amat rapat dengan dua buah kampus universiti, UKM dan UM ketika ini dan saya banyak meneliti bagaimana kegiatan kempen mereka dilakukan melalui Facebook.

Pengerusi Pro M UM Mohd Shafie Hashim saya temui ketika hari penamaan calon berlangsung di kampus tersebut.

"Ana nak orang yang boleh update selalu laman web, blog, Facebook lepas ni," katanya lagi. Telinga lintah saya bagaikan radar, ia terus mendengar, bersama kecepatan jari-jemari saya menggodam komputer riba.

Laporan berita seharusnya pantas apatah lagi untuk menulis berita berhubung perjalanan pilihan raya kampus mutakhir ini.

Salahkah Najib Razak berkempen 1Malaysia menggunakan Facebook? Aspirasi pun tidak boleh dipersalahkan jika mereka berkempen menggunakan alat itu.

Pro M UKM dan Pro M UM adalah golongan yang terlebih awla lagi afdal untuk dibatalkan pencalonan mereka kalau UPM bertindak sedemikian ke atas siswa mereka sendiri.

Ketika Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ditanya berhubung hal tempoh berkempen yang singkat, beliau berkata dalam Utusan Malaysia, hal itu tidak lagi berbangkit kerana calon boleh berkempen perkakasan internet.

Sambil menyebut Friendster, Dzulkifli tidak lupa menyebutkan Facebook.

Saifuddin Abdullah pun ada Facebook juga

Saya kebetulan punya kesempatan berbual bersama Dato' Saifuddin Abdullah di NZ Garden Jalan Ampang berhubung idea Parlimen Mahasiswa.

Malam itu, saya melihat sendiri betapa Saifuddin disambut mesra oleh kalangan siswa. Saya difahamkan beliau juga membawa mahasiswa menonton wayang '3 Idiot' yang mengisahkan isu-isu pendidikan di India.

Daripada filem itu, beliau mengambil buah fikiran mahasiswa untuk membaiki sistem pendidikan di negara ini. Saya difahamkan, acara tontonan wayang itu, dibuat melalui rakan-rakan mahasiswa dalam Facebook beliau.

Ya memang Saifuddin antara yang terkenal menjawab persoalan siswa dengan pantas melalui Facebook.

Kita boleh marahkan Facebook kerana pengasasnya adalah Yahudi. Lain-lain isu lagi, kita nak marahkan apa sebenarnya?

Saya pernah naik turun mahkamah universiti gara-gara membuat laman web peribadi multiply.com pada tahun 2005.

Memang disebut di dalam surat yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tatatertib HEP USM itu - jenayah saya adalah membuat laman web multiply.com TANPA KEBENARAN DAN KEIZINAN UNIVERSITI.

Zaman itu, blogspot.com belum ada atau belum terkenal. YouTube.com juga tiada ada. Apatah lagi Facebook. Kalau pada zaman itu, perkakasan ini sudah lengkap tersedia, memang saya gunakan bersungguh-sungguh dan saya nak goncang betul-betul pegawai HEP yang menyusahkan hidup saya itu.

Mereka ini terlalu sombong, angkuh, gemar bertempik. Tidak tahu nak cakap, bahasa apa yang kita mahu gunakan bagi menggambarkan kejelikan tingkah laku mereka ini. Tapi saya lawan juga dalam keadaan sokongan hampir tiada.

Kepada rakan-rakan siswa di UKM dan UM atau di mana-mana sahaja. Jangan patah hati dan teruskan berusaha. Jenguk-jenguklah mereka sama.

Apabila membaca kes mahasiswa dibatalkan pencalonan gara-gara Facebook ini, nak marah pun ada, nak tergelak pun ada juga. Tak tahu, yang mana nak didahulukan - nak gelak atau nak marah.

"Akar nibung meresap, akar keranji dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu" - Karam Singh Walia (Aduan Rakyat)...(Anwar Ibrahim dalam 'Muktamar' Agung Umno, 19??)

Tiada ulasan: