Isnin, 10 Ogos 2020

Kekeliruan di Parlimen berhubung penyelesaian 2 negara konflik Palestin-Israel

 

Maszlee Malik (kiri) tertanya-tanya sama ada Abd Hadi Awang menyokong 
pendirian kerajaan mengenai penyelesaian 2 negara untuk Israel dan Palestin.

KUALA LUMPUR: Kekeliruan tercetus di Dewan Rakyat hari ini mengenai persoalan sama ada PAS menerima pendirian kerajaan berhubung penyelesaian 2 negara dalam konflik Palestin-Israel.

Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, yang juga presiden PAS, menolak penyelesaian 2 negara.

“Tetapi kementerian luar negeri kita menyokong penyelesaian 2 negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara..

“Apakah duta khas kita ke Timur Tengah mengambil pendirian negara ataupun masih dengan pendiriannya menolak ‘two-state solution’ dan saya kira ini juga pendirian PAS,” tanya Maszlee ketika sesi perbahasan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sebarang keputusan mengenai penyelesaian 2 negeri oleh kerajaan akan dibincang dengan Hadi, yang juga ahli Parlimen Marang.

“Setakat ini, pendirian kita masih lagi konsisten iaitu Palestin mesti diwujudkan dan menolak ‘two-state solution’. Itu bukan keputusan, tetapi kita sedang berbincang dan kita kena bawa mungkin di Parlimen,” katanya.

Maszlee bagaimanapun berkata, beliau keliru dengan kenyataan yang bertentangan antara menteri itu dan kementerian luar negeri.

Namun Redzuan berkata, kerajaan sedang “membuat keputusan”.

Timbalan speaker, Rashid Hanson kemudian bertanya kepada Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein sekiranya beliau mempunyai kenyataan tambahan berhubung isu itu.

Hishammuddin menjelaskan bahawa pendirian kementerian adalah jelas.

Katanya, ia menyokong penyelesaian 2 negara, yang juga merupakan pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pendirian PAS mengenai perkara itu dibuat sebelum Hadi dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah.

“Saya pun telah bincang dengan Hadi bahawa perkara ini dibangkitkan semasa PAS berada di luar kerajaan. Maka, perkara ini akan dibangkitkan semula dan dibincangkan di peringkat parti PAS. Mudah sahaja,” katanya.

Namun Maszlee berpendapat bahawa kenyataan menteri itu mengelirukan kerana Hishammuddin berkata beliau telah membincangkan isu itu dengan PAS dan telah mengubah pandangan sebelum menyertai kerajaan, sedangkan Redzuan berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti Islam itu.

Tiada ulasan: