Rabu, 12 Ogos 2020

Kerajaan Selangor zalim, roboh premis peniaga kecil – Noh

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF27112019_PARLIMEN-MALAYSIA07-1-681x454
Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Tan Sri Noh Omar menyifatkan kerajaan Selangor sebagai zalim apabila mendakwa merobohkan premis peniaga kecil di kawasan Sungai Buloh.

Menyuarakan mengenai perkara itu di Dewan Rakyat, beliau menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya campur tangan bagi menolong peniaga kecil terbabit selepas terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Katanya, beliau menyokong langkah meroboh peniaga seperti yang menjalankan aktiviti haram seperti menjual arak, judi dan pusat hiburan haram, namun bukan melibatkan peniaga kecil.

“Sebab apa roboh. Jangan jadikan mereka mangsa dengan tindakan zalim ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Hari ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita beberapa premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh.

Antara premis yang disita adalah pusat hiburan tanpa lesen dan beberapa premis perniagaan lain.

Sebanyak 98 notis pemberitahuan dan tujuh notis meroboh kepada 94 premis dikeluarkan oleh pihak MBSA.

Dalam pada itu Noh berkata, beliau telah turun ke Sungai Buloh tengah hari tadi bagi melihat sendiri gerai peniaga kecil yang dirobohkan.

Beliau turut mendakwa, notis yang dikeluarkan juga tidak mengikut peraturan berikutan terdapat beberapa notis daripada MBSA yang mahu meroboh dengan serta-merta.

“Mana boleh roboh serta-merta. Kena ada notis dan ikut arahan mahkamah,” tegasnya.

Bagaimanapun, Zuraida ketika menggulung perbahasan memberitahu, beliau tidak dapat menjawab mengenai isu perobohan tersebut kerana ia kini dalam siasatan polis.

Ujarnya, beliau akan menghubungi MBSA terlebih dahulu untuk memeriksa dan melihat isu sebenar yang berlaku di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: