Jumaat, 7 Ogos 2020

Dewan Rakyat dipanaskan isu surat Tommy Thomas

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PARLIMEN | Suasana panas tercetus di Dewan Rakyat petang ini ekoran isu keputusan untuk mendapatkan penyelesaian luar mahkamah kerajaan dengan firma Goldman Sachs.

Ia bermula apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memetik nama Tommy Thomas dengan merujuk surat bekas peguam negara itu - bertarikh 11 Feb - yang didakwa bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah bersama bayaran balik dana sebanyak AS$1.75 bilion.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangkit mempersoalkan sama ada persetujuan Perikatan Nasional (PN) untuk penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion itu mendapat kelulusan kabinet.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, kemudian mencelah dan memberikan jawapan kepada soalan Lim itu bagi pihak kerajaan.

Sebelum ini Thomas mengkritik persetujuan kerajaan PN dengan Goldman Sachs - bernilai AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan AS$1.4 bilion dalam bentuk jaminan - bagi mendapatkan semula aset yang diperolehi menggunakan dana 1MDB.

Menurut Thomas, kerajaan sepatutnya boleh mendapat nilai lebih tinggi daripada perjanjian berkenaan.

Kata Tengku Zafrul, pada 11 Feb Thomas menulis surat kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, untuk memberitahu Goldman Sachs bersetuju menaikkan tawaran penyelesaian mereka kepada AS$1.75 bilion.

Kata senator itu ia termasuk AS$164 juta cukai dan pemulangan semula AS$576 juta fi yang dibayar kepada Goldman Sachs oleh kerajaan sebelum ini.

"Syor yang diberikan mantan peguam negara ketika itu ialah untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah," katanya.

Oleh sebab itu, kata Tengku Zafrul, tidak wajar untuk Thomas mendakwa kerajaan PN tidak sepatutnya mengambil langkah yang memang dipersetujuinya sebelum ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Thomas berhubung dakwaan Tengku Zafrul.

Susulan kenyataan dibuat menteri kewangan itu, Tony Pua (PH-Damansara) bangun mencelah dan mendakwa Thomas sebenarnya mencadangkan penyelesaian dibuat hanya selepas Goldman Sachs dan pegawai eksekutifnya didakwa di mahkamah.

Dengan cara itu, kata Pua, kerajaan boleh memaksimumkan perolehannya daripada firma berkenaan.

Menurut Pua lagi, setakat pengetahuannya, kerajaan PH juga sebelum ini pernah menolak tawaran penyelesaian Goldman Sachs bernilai AS$1.75 bilion.

Tiada ulasan: