Jumaat, 14 Ogos 2020

Asri Janggut hadir ke Bukit Aman

Ekhwan Haque Fazlul Haque

Mohd Asri (kiri) ketika hadir di Bukit Aman, hari ini.

PENIAGA burger kontroversi, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut tiba di Bukit Aman, Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan, pagi ini.

Asri berkata, beliau kini masih menanti kehadiran peguamnya sebelum memberi keterangan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Insya-Allah saya akan beri keterangan pagi ini. Masih menunggu seorang lagi peguam tiba sebelum memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pengasas Hot Burger itu dipanggil memberi keterangan dipercayai susulan dakwaannya bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor berkata, Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Asri sebelum ini membuat pendedahan mengenai kegiatan premis perjudian yang didakwa dilindungi penguat kuasa.

Bagaimanapun, dia sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook beberapa hari lalu.

Tiada ulasan: