Rabu, 12 Ogos 2020

Hina polis, tentera, Bukit Aman siasat Asri Janggut

Bernama
MGF26092019_Sidang-Media-Bukit-Aman_10-681x454
Mior Faridalathrash Wahid.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berhubung kenyataannya yang seolah-olah menghina polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi video tular di laman sosial, semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam minggu ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas 2 laporan polis dibuat di balai polis Travers dan Jalan Tun Razak hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan Mohd Asri yang anggota PDRM tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Semalam, 1 klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat.- BERNAMA

Tiada ulasan: