Selasa, 11 Ogos 2020

Polis Johor tahan 5 lelaki, seorang wanita buru haiwan eksotik

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek rakyat 
tempatan itu ditahan menerusi Op Khazanah Pemburuan Haiwan dan hasil 
maklumat daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan kegiatan pemburuan haiwan eksotik dan penggunaan senjata api secara haram, dengan penahanan 5 lelaki serta seorang wanita di Mersing dan Kluang, semalam.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang merupakan rakyat tempatan dan dipercayai aktif dalam kegiatan pemburuan haiwan eksotik sejak 2 tahun lepas itu ditahan menerusi Op Khazanah Pemburuan Haiwan dan hasil maklumat daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Menerusi operasi pertama di tepi Sungai Lenggor, Jemaluang, dekat Mersing pada 1.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Perhilitan Negeri Johor dan Pasukan Gerakan Am, menahan 3 lelaki berumur antara 33 dan 47 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit, polis merampas 2 bahagian daging babi hutan, 1 trofi duri landak, 2 laras senapang buatan sendiri, 3 peluru penabur 12 bore, 3 parang, serta 1 kereta Mitsubishi Triton.

Menurutnya, menerusi operasi kedua yang dilakukan hasil daripada maklumat Sultan Ibrahim pula, polis menahan 2 lagi lelaki dan seorang wanita berumur antara 44 dan 53 tahun, pada 10 malam, di beberapa lokasi di sekitar Kluang.

Katanya, hasil penahanan mereka, polis merampas 54 bahagian daging babi hutan, 17 bahagian disyaki daging ayam hutan, 10 bahagian disyaki daging burung puchong, 6 bahagian disyaki daging kijang, 2 kepala kijang, selaras senapang patah, 270 peluru penabur senapang patah pelbagai jenama, sebuah Toyota Hilux, serta 1 buku lesen senjata api.

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya kesemua daging yang dirampas berkenaan untuk pasaran di restoran sekitar Kluang, dan beberapa negara luar.

Menurutnya, kesemua 5 lelaki dan seorang wanita terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8, 8(a) serta 8 (b) Akta Senjata 1960.

“Polis Johor menyeru orang ramai, agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat mana-mana orang yang memiliki senjata api, buatan sendiri.

“Bagi semua pemegang senjata api berlesen, polis Johor memberi amaran tegas akan membuat semakan ke atas penggunaan senjata api yang berlesen untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat lesen dikeluarkan,” katanya.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen senjata api supaya menghubungi Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Tiada ulasan: