Jumaat, 14 Ogos 2020

Tiga penguat kuasa MBSA ditahan

Ekhwan Haque Fazlul Haque
 
Hiasan SPRM

TIGA penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Menurut sumber, semua yang ditahan berusia di antara 40 hingga 43 tahun.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, siasatan lanjut mendedahkan rangkaian sindiket dalam kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan bagi melindungi premis berkenaan.

Katanya, wang perlindungan ini seolah-olah menjadi budaya dalam kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada sebarang tindakan penguatkuasaan.

"Ketiga-tiga penguat kuasa terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya, hari ini.

Sebelum ini, SPRM sudah menahan lima penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok berbangsa Acheh dan setakat ini, sembilan tangkapan sudah dibuat.

Ini susulan pendedahan peniaga burger, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mengenai kegiatan premis perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi bin Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut

Tiada ulasan: