Memaparkan catatan dengan label PRK PENGKALAN KUBOR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK PENGKALAN KUBOR. Papar semua catatan

Selasa, 23 September 2014

Sokongan pengundi kepada Wan Rosdi makin terserlah

SALMAH MAT HUSAIN 


TUMPAT: Prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan memberi keyakinan rakyat di Dun Pengkalan Kubor untuk memilih calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Penasihat Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Dun Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya opitimis pengundi akan memilih calon PAS berikutan prestasi tugas Wan Rosdi sebagai Penyelia Dun sejak dua penggal lalu dikenali rakyat.

“Sokongan untuk pengundi memilihnya pada PRK 25 September ini semakin menyerlah, insya Allah.

“Pengundi pelbagai keturunan mengakui memang mengenali calon kita yang sering menjaga kebajikan rakyat, turun ke bawah menyantuni mereka serta menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata, pentingnya wakil rakyat dipilih dari pihak kerajaan negeri bagi menyelenggarakan program masyarakat khususnya yang berkaitan majlis-majlis daerah.

Menurutnya, perbincangan dan perundingan begitu perlu untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, ekonomi rakyat di Dun berkenaan.

Tuduhan liar

Mengenai dakwaan pihak tertentu terhadap parti rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR yang didakwa cuba mensabotaj Wan Rosdi, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan liar.

Beliau berkata, ia satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab memandangkan PKR bukan sahaja hadir bermesyuarat bersama-sama, sebaliknya petugas mereka turun ke bawah bersama dengan petugas PAS.

Katanya, sewaktu Muktamar PAS sedang berlangsung di Batu Pahat, Johor minggu lepas, petugas PKR bersama petugas PAS di Pengkalan Kubor bekerja keras berkempen bersama-sama.

“Malah setiap hari juga kami mengadakan mesyuarat bersama sebelum jam 10.00 pagi untuk bertukar-tukar maklumat dan padangan,” ujarnya.

Untuk itu, Takiyuddin memberi amaran agar tidak ada lagi tuduhan liar seperti itu. - HARAKAHDAILY

Papan Iklan Royalti Minyak 'Makan Diri' BN

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN 
 
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
 
PENGKALAN KUBOR: Papan iklan yang dinaikkan sebagai bahan kempen mengenai tuntutan royalti RM12 bilion oleh kerajaan Kelantan didakwa akan memudaratkan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, papan iklan yang dinaikkan BN itu secara tidak langsung telah mengisytiharkan pembohongan kerajaan Pusat berhubung isu royalti minyak di negeri berkenaan.

"Banyak 'billboard' tentang tuntutan RM12 bilion oleh kerajaan negeri...pembohongan dan sebagainya. 'Billboard' itu akan 'makan diri' sebab rakyat akan tengok siapa yang bohong.

"Walaupun billboard itu cuba menafikan apa yang kita hujah mengenai isu royalti, ia juga membuktikan kerajaan Pusat berbohong dengan rakyat Kelantan yang kononnya tak layak, tetapi tiba-tiba dibayar dalam bentuk wang ihsan yang kita tak iktiraf," katanya pada sidang media PRK Pengkalan Kubor di Markas Besar PAS di sini, Isnin.

Beliau, dalam sidang media ini turut mempersoalkan perjanjian mengenai pembayaran royalti telah dibuat dengan kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, pembayaran tidak patut dibuat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.

"Dalam perjanjian ia dibuat dengan kerajaan negeri, maka pembayaran mesti dibuat kepada kerajaan negeri, bukan melalui JPP atau pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai papan tanda dan poster berhubung isu royalti yang semakin banyak diletakkan di kawasan Pengkalan Kubor dalam tempoh kempen yang berbaki tiga hari sahaja lagi.

Bahan kempen mengenai isu royalti tersebut mendakwa tuntutan RM12 bilion oleh PAS dan kerajaan negeri sebagai pembohongan dan 'fitnah besar' terhadap kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, pemberian wang ihsan oleh kerajaan Pusat kepada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) yang diumumkan baru-baru ini bukanlah penyelesaian kepada isu royalti.

Jelasnya, tuntutan royalti oleh kerajaan negeri adalah tetap, masih berjalan di mahkamah dan mahkamah belum membuat keputusan mengenainya.

"Bolehkah kerajaan Pusat mengatasi mahkamah?.

"Kalau nak bagi boleh tapi itu bukan penyelesaian tuntutan daripada kerajaan Kelantan kepada Petronas dan kerajaan Pusat selaku defendan," katanya.

Isnin, 22 September 2014

Ameerah gesa pengundi luar Pengkalan Kubor pulang

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyeru agar semua pengundi muda Dun Pengkalan Kubor terutama pengundi luar Kelantan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Khamis ini.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah melihat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK N01 pada kali ini amat penting untuk menghantar signal yang jelas kepada Kerajaan Pusat Umno BN bahawa rakyat luar bandar menolak secara total ketidakcekapan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Pusat dalam mengurus sumber kewangan negara sehingga terpaksa melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa mulai April tahun hadapan.

Katanya, kerajaan secara jelas menyatakan bahawa melalui pelaksanaan GST pendapatan negara akan bertambah.

Hal ini, ujar beliau menunjukkan bahawa kerajaan begitu lemah dalam mengurus kewangan di mana setiap tahun hampir RM10 billion wang tiris yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya berbelanja secara berhemah dan mendapatkan semula wang tiris negara bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negara bukan dengan cara menekan rakyat melalui cukai yang tinggi seperti GST ini.

"Akhirnya, yang sangat terkesan adalah rakyat miskin dan golongan sederhana kerana mereka terpaksa menanggung beban apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST pada tahun hadapan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih parah lagi apabila kerajaan sehingga hari ini masih belum memberi jaminan bahawa kos barang api utama seperti petrol, diesel dan elektrik tidak akan dikenakan GST.

"Kita sedia maklum jika ketiga-tiga bahan api ini dikenakan GST, pastilah harga barang-barang semua akan meningkat," tambahnya.

Justeru, kata beliau Ameerah Malaysia sekali lagi menyeru kepada semua pengundi Dun Pengkalan Kubor terutamanya anak muda dan pengundi di luar untuk pulang dan mengundi PAS, Pakatan Rakyat pada hari mengundi akan datang.

"Undi anda teramat penting dalam usaha kita untuk memberi amaran kepada Kerajaan Umno BN bahawa mereka sudah lama ditolak oleh golongan rakyat luar bandar yang terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan Pusat," katanya. - HARAKAHDAILY

PAS sedia jaga peti undi di lokap

RIZAL TAHIR



 


TUMPAT: PAS bersedia meletak petugas bagi menjaga peti undi pengundian awal yang diadakan hari ini untuk memastikan keselamatannya.

Timbalan Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pihaknya bersedia menghantar petugas untuk menjaga peti undi berkenaan.

"Ketika Pilihan raya Umum ke-13, kami meminta untuk menjaga peti undi di lokap, tetapi tidak dibenarkan pihak polis.

"Walau pun petugas kami terpaksa bermalam dalam lokap bagi menjaga peti undi, kami bersedia melakukannya.

“Bagaimananpun permintaan berkenaan ditolak kerana kata mereka lokap hanya untuk menempatkan orang bersalah sahaja," kata beliau pada persiangan media di  Markas Besar PAS hari ini.

Peti undi awal diletak dalam lokap Balai Polis Daerah Tumpat. Pengundian awal diadakan pagi tadi melibatkan 109 anggota polis diadakan di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Penasihat Operasi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Sementara itu Kamarudin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan hari mengundi pada mana-mana pilihan raya kecil atau umum diadakan pada hari cuti bagi menyuburkan lagi demokrasi di Malaysia.

“Hari untuk penamaan calon tidak kisah dibuat pada hari cuti atau hari bekerja sekali pun,” ujarnya.

Kata beliau adalah menjadi tanggungjawab SPR memastikan rakyat dapat keluar untuk membuang undi dengan selesa.

Ekoran itu tindakan SPR itu, kata beliau menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan cuti perisitiwa pada hari mengundi Khamis ini. - HARAKAHDAILY

Ahad, 21 September 2014

Wanita menyamar petugas SPR ditahan


PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
TUMPAT - Seorang wanita berusia 50-an dipercayai sakit mental ditahan kerana menyamar sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di proses Pengundian Awal di sini, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira  12.30 tengah hari itu, wanita tersebut ditahan selepas  petugas SPR menyedari beliau memakai pas SPR 2012.

“Petugas SPR kemudian menyerahkan wanita itu kepada polis untuk tindakan lanjut, kami difahamkan dia mengalami sedikit masalah mental,” katanya kepada media hari ini.

Dalam kejadian tersebut, wanita itu juga didakwa meminta dua helai baju T daripada pegawai bertugas.

Walau bagaimanapun, Abdul Ghani berkata, kejadian tersebut tidak menganggu proses pengundian awal yang dijalankan sejak jam 8 pagi itu.

Undi awal PRK Pengkalan Kubor berjalan lancar


PRK Pengkalan Kubor
TUMPAT- Proses pengundian awal bagi PRK Dun Pengkalan Kubor yang berlangsung di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini hari ini berjalan lancar.

Proses pengundian awal yang berlangsung pada jam 8 pagi tadi dijangka akan tamat jam 3 petang nanti.

Menurut salah seorang pengundi awal, Koperal Kamal Mahmod,50, beliau datang seawal yang mungkin bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan tenang.

"Saya bangun awal pagi ini, Alhamdulillah tanggungjawab saya sudah selesai," katanya.

Proses pengundian awal hari ini melibatkan seramai 109 anggota polis.

Masyarakat Siam akui sudah lama kenal Wan Rosdi

ASLANI M 



 


TUMPAT: Menjelang hari pengundian 25 September ini, Umno kelihatan semakin gelabah apabila terpaksa menjelaskan isu peribadi calon dan menjawab isu royalti yang sudah menjadi viral kalangan anak-anak muda di Kelantan.

Keadaan tambah keliru apabila ramai pengundi masyarakat Siam berani tampil memberitahu mereka tidak boleh menerima calon yang tak mereka kenali.

Biar pun segala jenis kelengkapan kempen dibawa ke Pengkalan Kubor dan aneka jenis kereta dan peralatan, namun keperibadian calon BN, Mat Razi Mat Ail meniti setiap bibir penduduk di Pengkalan Kubor.

Guru-guru ditukar kerana politik, penafian pelajar terhadap Kumpulan Wang Amanah Pelajar ((KWAP), bantuan banjir pelajar dan banyak cerita berkisar peribadi calon BN mulai diperkatakan secara meluas sekarang.

Eh Ron, 67, dari Kampung Mertua berkata, masyarakat Siam hanya berminat pemimpin yang lebih dekat dengan mereka dan bukan yang tidak pernah dikenali.

Katanya, kalau tidak kenal macam  mana hendak  diharapkan dia boleh membantu masyarakat Siam.

“Bagi calon PAS, Wan Rosdi  kita sudah lama kenal dia. Selalu datang ke Kampung Mertua. Sejak enam tahun lepas hubungan begitu rapat. Pemimpin macam inilah yang kita harapkan dapat membantu masyarakat Siam.

“Calon BN kita tidak kenal biar pun ada orang sebut bekerja sebagai guru. Kalau tak kenal payah sikit hendak pilih. Dahulu wakil rakyat BN kita kenal  dia,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas program penyampaian bantuan baja organik oleh kerajaan negeri di Jubakar Darat dekat sini semalam.

Penyampaian dilakukan anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengurus  Besar Kumpulan Kelantan Sdn Bhd, Abdul Aziz Yunus dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng.

Seramai 100 petani masyarakat Siam dari beberapa kampung menerima baja organik 50 kg dan empat jenis benih sayur-sayuran termasuk jagung.

Jelas terbayang kegembiraan di wajah mereka. Sebaik sahaja mendapat baja tersebut ada yang membawa balik baja dengan basikal dan motosikal. 

Eh Ron yang kini menderita sakit buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis sejak lima tahun lepas berkata, masyarakat Siam menerima banyak kemudahan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 apabila berlaku kematian warga emas.

“Selain itu pemuda yang miskin hendak berkahwin diberi bantuan RM1,000. Wan Rosdi datang sendiri  ke rumah penduduk yang meninggal dunia dan menyampaikan bantuan awal Kifaalah sebanyak RM500 sejak beberapa tahun lepas.

“Penduduk Siam rapat sangat dengan dia. Saya yakin ada perubahan undi masyarakat Siam kali ini,” katanya.

Beberapa lagi penduduk Siam ketika ditemui turut mengakui hakikat sama. Paling acap mereka sebut sudah lama kenal Wan Rosdi. - HARAKAHDAILY

Perakan harap anak perantau pulang mengundi

ASLANI M 


TUMPAT: Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Perakan) berharap warga perantau yang mengundi di Pengkalan Kubor pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada 25 September ini.

Presidennya, Ir Hamdzah Ab Rahman berkata, menjadi harapannya anak Kelantan yang mengundi di Pengkalan Kubor dapat meluangkan masa untuk balik mengundi pada pilihan raya kecil tersebut.

“Harapan Perakan Malaysia supaya pengundi yang berada di luar Kelantan dapat balik menunaikan tanggungjawab seperti biasa.

“Di samping itu kami berharap mereka dapat menilai secara tepat serta rasional sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk di Pengkalan Kubor.

“Biar pun Pengkalan Kubor diwakili BN sejak tiga penggal lepas, namun kerajaan negeri tetap berusaha membangunkan Pengkalan Kubor terutamanya berkaitan sektor pelancongan dan pertanian,” katanya di sini.

Menurutnya juga tidak ketinggalan pengundi Pengkalan Kubor yang tinggal di luar kawasan tersebut hendaklah pulang mengundi memandangkan kerajaan negeri mengumumkan hari mengundi Khamis ini sebagai cuti peristiwa.

Terdapat lebih 1,600 pengundi Pengkalan Kubor yang berada di luar daerah mengundi termasuk Kuala Lumpur.- HARAKAHDAILY

Sabtu, 20 September 2014

Ibu kecewa Mat Razi difitnah kes hubungan sulit

MALAYSIAKINI



 


Ibu kepada calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail kecewa dengan serangan peribadi oleh pihak tertentu terhadap anaknya.

Habsah Ismail, 65, melahirkan kekecewaannya apabila ada pihak yang memfitnah Mat Razi yang baginya merupakan seorang anak yang baik.

"Tak patut timbul isu ini dan serangan peribadi macam itu, dia baik dan tiap kali ada kematian atau tahlil memang orang akan panggil dia untuk membacakan doa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Simpangan di Tumpat, hari ini.

Habsah berkata anaknya adalah tulang belakang bagi mereka sekeluarga dan Mat Razi memang seorang yang patuh kepada agama dan meminati pengajian Islam.

Sebelum ini, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mempertikaikan gelaran "ustaz" kepada Mat Razi dan menyifatkan bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat itu tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika bertugas.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kelmarin sebuah blog menyebarkan dakwaan Mat Razi mempunyai hubungan sulit dengan bekas pelajarnya.

Habsah berkata dia berharap orang ramai dapat memberi peluang kepada anaknya menabur bakti di kawasan itu.

"Saya telah berpesan kepada Mat Razi, jika sudah terpilih menjadi wakil rakyat, tanggungjawab dan amanah orang jangan diabaikan serta perjuangan agamanya perlu diperkukuhkan lagi," katanya.

Katanya, anak sulungnya daripada 10 adik beradik itu meminta pendapatnya terlebih dahulu apabila mengetahui terpilih sebagai calon BN.

Habsah berkata Mat Razi mungkin mengikut jejak ayahnya yang telah meninggal dunia empat tahun lepas, Mat Ail Awang Besar dalam perjuangan politik.
  
"Arwah ayahnya dulu pun sentiasa bergerak dalam parti tetapi dia hanya di peringkat  kampung, kiranya dia ikut jejak ayah dia la. Kami sokong apa yang dia (Mat Razi) lakukan kerana kami sekeluarga sokong BN sejak dahulu lagi... BN sokmo-sokmo (selalu)," katanya.

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.- Bernama

Jumaat, 19 September 2014

PRK Pengkalan Kubor: 109 pengundi awal tunai tanggungjawab pilih calon Ahad ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
TUMPAT: Sebanyak 109 anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi awal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu Ahad ini.
 
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mereka akan mengundi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
 
Katanya, pusat pengundian awal itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga pukul 3 petang pada hari berkenaan.
 
``Pengundian awal ini dibuat lima hari lebih awal daripada hari pengundian biasa dan proses pengundian itu adalah mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR,'' katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
 
Abdul Ghani berkata daftar pemilih yang digunakan untuk PRK itu adalah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama Tahun 2014 yang telah dikemas kini sehingga 20 Ogos 2014.

PAS tetap bangkit isu royalti di P Kubor

MALAYSIAKINI


 


PAS tetap akan membangkitkan isu royalti minyak dalam kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor walau lawannya, BN kelihatan tidak berminat untuk mengetengahkan isu berkenaan.

Pemimpin jentera PAS, Mohamad Zaki Ibrahim berkata pihak PAS tidak mencapai apa-apa persefahaman dengan BN untuk tidak membangkitkan isu berkenaan dalam kempen pilihan raya ini.

"Kita akan sebut hal yang berkenaan dengan hak Kelantan. Walaupun BN telah mendiamkan diri dalam kempen tanpa mrnyebut isu royalti kami tetap akan membawa isu ini"

"Namun kita tidak akan sebut hal yang sedang dibincangkan di mahkamah," kata timbalan pengarah jentera PAS untuk pilihan raya kecil itu.

“Kita tak ada persefahaman dengan BN tetapi segala tohmahan kita akan jawab dalam ceramah oleh (MP PAS, Datuk) Takiyuddin (Hassan) pada 22 haribulan,” katanya yang juga ADUN Kelaboran.

ADUN Kelaboran itu yang ditemui selepas sidang media harian PAS di markas besar jentera parti itu di Pengkalan Kubor pagi ini.

Khamis, 18 September 2014

Orang Singgah Pengkalan Kubor Kerana Kenduri Kahwin - Calon Bebas

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Calon Bebas, Izat Bukhary (kanan) hadir bersama pencadang dan penyokong semasa pendaftaran penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat baru-baru ini. Beliau bertanding bersama calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail dan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.
 
 
 
KALI ini calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Izat Bukhary Ismail Bukhary nampaknya tidak kekok bertemu penduduk kampung berbanding sebelumnya.

Di sebuah kawasan perkampungan nelayan, dalam cuaca panas terik, kelihatan dia bersama isterinya, Nor Azian Mohd Hanafiah, 47, mesra berborak dengan mereka yang sedang menikmati sup belut di sebuah gerai di tepi jalan.

Rancak benar bualan mereka. Tanpa mengetahui butir-butir perbualan, sesekali mereka ketawa, bertepuk bahu dan selepas beberapa ketika, mereka bersalam-salaman sebelum Izat Bukhary menyapa pelanggan di meja seterusnya.

"Undilah saya...calon Bebas, saya guna lambang pen. Pen penentu masa depan anda.

"Kerajaan memang sudah terbentuk dan tak boleh diubah, tapi pemimpin masih boleh kita ubah," katanya dalam loghat Kelantan.

Sebagai reaksi terhadap kata-katanya, pelanggan yang kebanyakan sedang asyik menikmati sup belut bersama nasi putih memandang wajahnya, tersenyum, sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Anggukan itu mungkin memberi dua maksud!

Anggukan kosong untuk tidak mengecewakan calon Bebas itu barangkali, atau anggukan tanda setuju dengan apa yang baharu diucapkannya, walau ia dilafazkan dalam nada selamba dan bersahaja.

Izat Bukhary, 47 mengakui tidak punya banyak kudrat dan wang ringgit untuk kempennya berbanding dua calon yang 'dipayungi' parti Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Apa yang dia ada hanyalah 65 undi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang mungkin boleh dijadikan 'modal' kempen dan paling penting semangat untuk melakukan perubahan di Pengkalan Kubor.

Namun, dia mengakui 'berbelanja lebih' untuk kempen kali ini berbanding kempen ketika PRU-13.

"Bukan nak tunjuk hebat, saya guna dana sendiri tak ada tajaan atau peruntukan daripada mana-mana pihak.

"Kali ni ada rezeki lebih sedikit, jadi saya belanja lebih," katanya tanpa mahu menyebut sebarang angka.

Janji

Tanpa teragak-agak, anak kelahiran Kota Bharu ini berjanji akan membawa perubahan besar di Pengkalan Kubor jika diberi peluang.

"Saya berminat dengan Pengkalan Kubor kerana kawasannya kecil. Kalau saya menang agak mudah saya nak buat perubahan dalam masa kurang lima tahun," katanya.

Di sebalik santun tutur katanya, pensyarah ini juga sempat mengibaratkan dirinya seperti seekor burung tanpa sangkar.

"Sangkar adalah parti, saya tak ada sangkar.

"Kita tak tahu apa yang ada di dalam sangkar. Ada yang retak, pecah," katanya penuh makna.
Untuk kempennya kali ini, dia menggunakan poster berwarna hitam dengan kata-kata yang difikirkan berkesan untuk menarik minat penduduk.

Salah satu ayat yang tertera di poster kempennya adalah - "Siapa Izat Bukhary. Orang Islam. Orang Melayu. Orang Kelantan inginkan perubahan."

"Saya berkempen macam inilah. Keluar jumpa penduduk, beri penjelasan dengan mereka, semoga sikit-sikit hati mereka akan terbuka.

"Memang tak agresif (kempen), sebab saya bukan bergerak berkumpulan. Poster (kempen) saya keluarkan sikit-sikit," katanya mengenai perkembangan kempennya.

Ceritanya lagi, dia dan isteri, sering datang ke Pengkalan Kubor untuk meninjau perkembangan kawasan ini, namun tanpa berselindung dia berkata pembangunan di sini tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Maaflah, kalau nak kata kawasan bebas cukai, ramai penduduk lebih selesa berbelanja di Tesco.
"Sayang nak berbelanja di sini dengan selesa dengan wang RM100, berbanding RM100 di tempat lain.

"Yang datang ke sini bukan sebab memang nak datang ke sini. Kebetulan datang Kelantan, ada kenduri kahwin, jadi mereka singgah sekejap," katanya.

Cabaran

Tanpa mahu menghiraukan gangguan dan cakap-cakap 'nakal' yang dihamburkan kepadanya, Izat Bukhary berkata, dia lebih senang menumpukan perhatian terhadap kempen mendekati penduduk kampung.

Katanya, dia menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan ahli keluarganya untuk bertanding buat kali kedua di sini.

Isterinya berkata, suaminya itu mempunyai hasrat yang besar untuk melakukan perubahan dan dia yakin akan kemampuan suaminya jika penduduk memberikan peluang.

"Saya sokong dia kerana saya kenal dia. Saya tahu hasrat dan niat dia.

"Jika dia berjaya, dia tahu apa yang dia nak buat," katanya.

“Muhyiddin tak faham apa dia cakap”

 
Beliau tidak berada di tempat PRK sepanjang kempen, apa yang berlaku beliau tidak tahu.


muhyiddin umnoPENGKALAN KUBOR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan “tidak faham apa yang beliau cakap”.

Pengarah Operasi PRK N.01, Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Rahim Wan Abdullah berkata Timbalan Perdana Menuduh PAS membuat serangan peribadi terhadap calon BN sebagai tuduhan yang tidak berasas.

“Beliau tidak berada di tempat PRK sepanjang kempen, apa yang berlaku beliau tidak tahu,

“Sepatutnya beliau duduk berkampung di Pengkalan Kubor, untuk mengikut perkembangan yang berlaku baru boleh bercakap,”katanya.

Sepanjang berkempen PAS tidak pernah membuat serangan peribadi kepada parti lawan.

“Kita telah mengarahkan semua penceramah untuk tidak menggunakan serangan peribadi terhadap parti lawan,”ujarnya.

“Dalam berkempen tidak dinafikan ada sedikit percikan terhadap calon dan itu merupakan perkara biasa dalam suasana pilihanraya,” tambah Wan Rahim.

Rabu, 17 September 2014

Pas Nafi Calon Tak Pandai Ceramah Punca Kempen 'Lesu'

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Wan Rosdi Wan Ibrahim
 
 
 
PENGKALAN KUBOR: PAS menafikan calon parti itu yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim tidak pandai berceramah sehingga menjadikan suasana kempen 'lesu'.

Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya mempunyai strategi tersendiri dalam berkempen iaitu mendekati pengundi di peringkat akar umbi dengan membuat lawatan rumah ke rumah.

"Tok Wan Di (Wan Rosdi) mempunyai latar belakang agama. Dia boleh berceramah, bagaimanapun kami menyimpannya seperti 'anak teruna'.

"Fokus calon kami adalah bertemu orang ramai, jadi kita tidak akan mengganggunya dengan program-progam kempen. Dia tidak akan memainkan isu," katanya pada sidang media harian di Markas Besar PAS di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kempen PAS yang dilihat tidak serancak Barisan Nasional (BN) kerana calonnya yang dilihat tidak agresif dalam berkempen, khususnya ketika menyampaikan ceramah.

Sebaliknya, Wan Abd Rahim berkata, slot kempen ceramah PAS akan diisi oleh penceramah yang terdiri daripada pimpinan tertinggi parti.

Mengulas lanjut beliau berkata, kempen secara senyap dan tidak mendapat liputan media adalah disengajakan.

"Bila calon kita pergi rumah ke rumah, ia tidak diberi fokus atau perhatian. Dia pergi secara senyap tanpa diketahui pihak media," katanya.

Menurutnya, PAS menyasarkan untuk berjumpa dengan 75 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Difahamkan, setakat ini PAS telah bertemu dengan 50 peratus daripada pengundi di DUN Pengkalan Kubor

Dikir barat meriahkan kempen Pengkalan Kubor

MALAYSIAKINI



 


Pelbagai cara dilakukan bagi menarik perhatian pengundi semasa tempoh berkempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor antaranya dengan menganjurkan persembahan dikir barat.

Persembahan dikir barat secara berkumpulan dilihat aktif diadakan setiap malam di pusat daerah mengundi (PDM) BN.

Pendekatan persembahan dikir barat itu digunakan bagi 'memancing' minat pengundi muda.

Persembahan dikir barat yang dibuat sejak hari pertama kempen itu juga  dianggotai oleh penduduk tempatan.

Sambutan yang diterima juga menggalakkan apabila ramai generasi muda, kanak-kanak malah warga tua hadir bagi menyaksikan persembahan itu.

Malah, mereka juga kelihatan terhibur dengan persembahan tersebut.

Lirik dikir barat juga ditulis berkisar tentang suasana pilihan raya dan calon BN, Mat Razi Mat Ail.

Menurut Ketua PDM Kampung Ketil, Mohamad Abdul Kadir, persembahan itu mendapat sambutan memandangkan golongan muda di kawasan itu menggemari dikir barat.

"Dikir barat ini untuk menarik minat orang muda mari (datang) sini. Kita guna pendekatan dikir barat ini untuk tarik orang mudalah.

"Sambutan memang menggalakkan. Memang orang muda di sini suka," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Wan Ismail Wan Daud,38,  berkata beliau menggemari dikir barat memandangkan ianya merupakan budaya yang perlu dikekalkan.

"Saya suka (dikir barat). Ini budaya kita," katanya.

Selasa, 16 September 2014

Calon PAS: Penduduk tak kisah apa berlaku di S'gor

MALAYSIAKINI



 


Calon PAS dalam  pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim yakin bahawa masalah dalaman yang melanda parti itu ketika ini, tidak akan menjejaskan sokongan pengundi di kawasan itu kepada PAS .

Walaupun perkara itu kini hangat diperkatakan, namun beliau percaya ia sedikit pun tidak memberi kesan terhadap penduduk di kawasan itu.

Menurutnya lagi, krisis Pakatan Rakyat berhubung pemilihan menteri besar Selangor juga tidak menjadi isu memandangkan penduduk tempatan "tidak ambil kisah" dengan apa yang berlaku di luar Pengkalan Kubor.

"Isu dalaman (PAS) tidak akan jejas pengundi. Isu dalaman hanya (berlaku di peringkat) dalaman. Lagipun penduduk tak kisah.

"Tak ada. Tak jejas. Semasa kempen pun di peringkat akar umbi mereka tak ada sentuh isu itu (MB Selangor). Yang di Selangor, di Selangorlah. Di Pengkalan Kubor yang penting rakyat Pengkalan Kuborlah," katanya ketika ditemubual Malaysiakini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdi yang mesra dipanggil Abe Di berkata, beliau juga yakin mampu merampas kerus itu dari BN, memandangkan beliau telah lama berkhidmat sebagai penyelia DUN Pengkalan Kubor sejak 2009.

Menjawab soalan, setiausaha PAS kawasan Tumpat itu berkata, tidak menjadi masalah baginya untuk berdepan dengan calon BN, Mat Razi Mat Ail serta calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ini kerana, Wan Rosdi berpendapat beliau telah lama mendekati rakyat kawasan itu sebelum diumumkan menjadi calon.

Malah, beliau berkata, walaupun tidak berkempen secara besar-besaran, perkara yang menjadi keutamaannya ialah mendekati penduduk setempat melalui pelaksanaan negeri berkebajikan.

"Saya meneruskan agenda sedia ada. Iaitu agenda negeri berkebajikan dengan menemui seluruh rakyat dan akan ketengahkan porgram kebajikan tanpa mengira petani atau nelayan. Strategi utama ialah mendekati rakyat

"Kita lawan dengan kerajaan pusat. Mereka dapat bantuan dari menteri-menteri. PAS kini berlawan dengan kerajaan Malaysia.

"Saya rasa tak nampak sangat (saingan yang sukar) sebab calon Bebas pada pilihan raya umum ke-13 dulu dia tak dapat undi yang besar. Saya juga tak rasa (berdepan dengan) cabaran yang besar dalam PRK ini. Inya-Allah (menang) sebab saya telah bertugas di DUN ini sejak 2009 lagi dan telah menemui rakyat di seluruh kampung," katanya.

Mengenai isu perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan, Wan Rosdi berkata, perkara itu tidak berbangkit memandangkan pihak kerajaan negeri sentiasa memberi penerangan berhubung undang-undang Islam tersebut kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, rata-rata masyarakat Islam setempat faham tentang perlaksanaan undang-undang itu. l

"Isu hudud daripada dulu hingga sekarang kita akan sentiasa bawa. Bagi rakyat Pengkalan Kubor khususnya orang Islam, mereka tahu (tentang hudud) sebab di sini banyak pondok pengajian agama. Jadi mereka tahu tentang hukum hakam.

"Kalau yang bukan Islam, kita sentiasa beri penerangan tentang hudud bahawa ia untuk orang Islam. Orang bukan Islam tak ada masalah kerana hudud untuk orang Islam sahaja," katanya.

PRK Pengkalan Kubor: Majikan diminta beri pelepasan kepada pengundi pulang

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
  
 
 
TUMPAT:  Kerajaan Kelantan meminta majikan pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di luar Kelantan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk pulang mengundi pada 25 September ini.
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kebenaran daripada majikan adalah penting kerana hari mengundi pada Khamis itu adalah hari bekerja di negeri lain.
 
"Di Kelantan tidak ada masalah kerana semalam, kerajaan negeri telah mengumumkan cuti peristiwa pada 25 September ini sempena PRK itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Katanya, pelepasan majikan itu dapat meningkatkan peratusan orang keluar mengundi dan menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.
 
Terdapat 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang terletak dalam kawasan Tumpat. Daripada jumlah itu lebih 1,700 pengundi berada di luar kawasan DUN berkenaan.
 
PRK DUN Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
 
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
 
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

NGO lancar bantahan mengundi hari bekerja

ASLANI M 


KOTA BHARU: NGO pemantau pilihan raya, Pemantau Rakyat akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan membantah hari mengundi pilihan raya kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubur diadakan pada hari bekerja.

Ketua Pemantau Rakyat, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, kempen bantahan itu diadakan di Pengkalan Kubor selama tiga hari bermula 16 hingga 19 September 2014 ini.

“Pemantau Rakyat menyeru semua pengundi di Pengkalan Kubor untuk bersama membantah tarikh pengundian 25 September ini.

“Kami menggesa SPR membatalkan notis pengundian dengan membuat perubahan tarikh kepada hari Sabtu 4 Oktober 2014 iaitu sehari sebelum cuti Hari Raya Haji.

“Ia juga adalah hari tidak bekerja di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu pengundian pada hari bekerja di Pengkalan Kubor tidak menjejaskan proses pengundian kerana ramai pengundi bekerja sebagai petani.

Malah beliau menganggarkan keluar mengundi pilihan raya tersebut sekitar 70 peratus.

Jumlah pengundi yang tinggal di luar kawasan di Pengkalan Kubor lebih 2,000 orang dan sebahagian mereka bekerja di luar Kelantan.

Faizal juga berkata, Pemantau Rakyat berharap SPR membenarkan pengundi yang berada di luar kawasan pilihan raya mengundi awal di pusat-pusat pengundian di Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgtown dan Johor Bahru.

“SPR sebagai badan perlembagaan perlu menjaga integriti dan kepercayaan awam terhadap mereka yang kini semakin terhakis,” ujarnya.

Menurutnya juga alasan pengerusi SPR majoriti pengundi di Pengkalan Kubor bekerja sebagai petani, nelayan dan buruh tidak terikat dengan hari bekerja sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, Pemantau Rakyat memandang serius kenyataan Pengerusi SPR yang bertentangan dengan prinsip dan perlembagaan menjamin setiap warga mengundi dengan bebas. HARAKAHDAILY

TNB beri jaminan tiada 'blackout'


Datuk Seri Mahdzir Khalid Datuk Seri Mahdzir Khalid
 
 
 
PENGKALAN KUBOR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan tidak akan berlaku blackout atau terputus bekalan elektrik di pusat mengundi dan pengiraan undi pada PRK Dun Pengkalan Kubor.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, TNB telah membuat persiapan rapi agar bekalan elektrik berada pada tahap terbaik pada 25 September ini.

"Pengundi tidak perlu risau, kita beri jaminan tidak akan berlaku blackout," katanya.
                
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Program Pendawaian Semula Bekalan Elektrik Kediaman Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Tebing di sini, petang tadi.

Menurutnya, TNB mengguna pakai kaedah yang digunakan semasa PRK Kuala Besut untuk memastikan perjalanan proses pembuangan undi dan pengiraan undi tidak diganggu dengan bekalan elektrik terputus.

Isnin, 15 September 2014

KJ: 45% pengundi muda takkan tolak BN

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pemuda Umno yakin 45 peratus pengundi muda di Pengkalan Kubor akan terus memilih BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 25 September ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, pengundi muda jelas tahu apa yang dilakukan BN ketika allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu, lapor Bernama.

"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.

"Mereka tahu jasa allahyarham semasa menjadi wakil rakyat telah banyak membuat perubahan dan jika bukan jasanya tidak ada apa-apa sebenarnya di Pengkalan Kubor,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Pengkalan Kubor di Tumpat, hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah calon BN Mat Razi.

Menteri belia dan sukan itu berkata, daripada beberapa pertemuan dengan golongan itu, mereka mahukan pembangunan lebih menyeluruh termasuk peluang ekonomi yang boleh disertai.

Menurutnya hasrat golongan itu yang mahukan lebih banyak gelanggang futsal umpamanya akan diberi perhatian asalkan ada tapaknya.

"Masalah utama adalah tanah kerana ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Apa pun kita jamin untuk bina juga gelanggang itu," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional.

'Tanpa wakil BN, P Kubor ketinggalan'

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, sejak 2001, bermula dengan Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8) sehingga RMK-10 yang berakhir tahun depan, kerajaan pusat membelanjakan lebih RM155 juta untuk pelbagai projek pembangunan fizikal dan sosial di DUN itu.

Bernama juga melaporkan, tanpa wakil rakyat BN, Pengkalan Kubor hanyalah sebuah kawasan yang ketinggalan daripada pelbagai aspek.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dipetik sebagai berkata, sebanyak 36 buah projek pembangunan dilaksanakan kerajaan pusat dalam tempoh 13 tahun.