Selasa, 16 September 2014

NGO lancar bantahan mengundi hari bekerja

ASLANI M 


KOTA BHARU: NGO pemantau pilihan raya, Pemantau Rakyat akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan membantah hari mengundi pilihan raya kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubur diadakan pada hari bekerja.

Ketua Pemantau Rakyat, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, kempen bantahan itu diadakan di Pengkalan Kubor selama tiga hari bermula 16 hingga 19 September 2014 ini.

“Pemantau Rakyat menyeru semua pengundi di Pengkalan Kubor untuk bersama membantah tarikh pengundian 25 September ini.

“Kami menggesa SPR membatalkan notis pengundian dengan membuat perubahan tarikh kepada hari Sabtu 4 Oktober 2014 iaitu sehari sebelum cuti Hari Raya Haji.

“Ia juga adalah hari tidak bekerja di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu pengundian pada hari bekerja di Pengkalan Kubor tidak menjejaskan proses pengundian kerana ramai pengundi bekerja sebagai petani.

Malah beliau menganggarkan keluar mengundi pilihan raya tersebut sekitar 70 peratus.

Jumlah pengundi yang tinggal di luar kawasan di Pengkalan Kubor lebih 2,000 orang dan sebahagian mereka bekerja di luar Kelantan.

Faizal juga berkata, Pemantau Rakyat berharap SPR membenarkan pengundi yang berada di luar kawasan pilihan raya mengundi awal di pusat-pusat pengundian di Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgtown dan Johor Bahru.

“SPR sebagai badan perlembagaan perlu menjaga integriti dan kepercayaan awam terhadap mereka yang kini semakin terhakis,” ujarnya.

Menurutnya juga alasan pengerusi SPR majoriti pengundi di Pengkalan Kubor bekerja sebagai petani, nelayan dan buruh tidak terikat dengan hari bekerja sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, Pemantau Rakyat memandang serius kenyataan Pengerusi SPR yang bertentangan dengan prinsip dan perlembagaan menjamin setiap warga mengundi dengan bebas. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: