Isnin, 22 September 2014

Ameerah gesa pengundi luar Pengkalan Kubor pulang

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyeru agar semua pengundi muda Dun Pengkalan Kubor terutama pengundi luar Kelantan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Khamis ini.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah melihat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK N01 pada kali ini amat penting untuk menghantar signal yang jelas kepada Kerajaan Pusat Umno BN bahawa rakyat luar bandar menolak secara total ketidakcekapan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Pusat dalam mengurus sumber kewangan negara sehingga terpaksa melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa mulai April tahun hadapan.

Katanya, kerajaan secara jelas menyatakan bahawa melalui pelaksanaan GST pendapatan negara akan bertambah.

Hal ini, ujar beliau menunjukkan bahawa kerajaan begitu lemah dalam mengurus kewangan di mana setiap tahun hampir RM10 billion wang tiris yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya berbelanja secara berhemah dan mendapatkan semula wang tiris negara bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negara bukan dengan cara menekan rakyat melalui cukai yang tinggi seperti GST ini.

"Akhirnya, yang sangat terkesan adalah rakyat miskin dan golongan sederhana kerana mereka terpaksa menanggung beban apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST pada tahun hadapan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih parah lagi apabila kerajaan sehingga hari ini masih belum memberi jaminan bahawa kos barang api utama seperti petrol, diesel dan elektrik tidak akan dikenakan GST.

"Kita sedia maklum jika ketiga-tiga bahan api ini dikenakan GST, pastilah harga barang-barang semua akan meningkat," tambahnya.

Justeru, kata beliau Ameerah Malaysia sekali lagi menyeru kepada semua pengundi Dun Pengkalan Kubor terutamanya anak muda dan pengundi di luar untuk pulang dan mengundi PAS, Pakatan Rakyat pada hari mengundi akan datang.

"Undi anda teramat penting dalam usaha kita untuk memberi amaran kepada Kerajaan Umno BN bahawa mereka sudah lama ditolak oleh golongan rakyat luar bandar yang terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan Pusat," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: