Khamis, 13 Ogos 2020

Pengeluar gesa kerajaan turun harga siling pelitup muka di bawah RM1

Seorang pengeluar berkata, pelitup muka dijual pada harga 20 sen sekeping 
sebelum penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Pengeluar pelitup muka menggesa kerajaan menurunkan harga siling pelitup muka 3 lapis pada harga lebih rendah berbanding kadar RM1 yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif Ideal Healthcare Haminuddin Hamid memberitahu FMT bahawa syarikatnya masih mendapat keuntungan pada harga di bawah RM1.

Beliau berkata, pelitup muka keluaran Ideal Healthcare dijual pada harga 20 sen sekeping sebelum penularan wabak Covid-19.

Beliau mencadangkan supaya Putrajaya membeli pelitup muka secara borong daripada pengeluar tempatan dan mengagihkannya kepada kumpulan B40, selain menambah bahawa langkah itu boleh mengurangkan perbuatan pengambilan untung berlebihan.

Paul Selvaraj, ketua eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, kerajaan harus menimbangkan untuk menurunkan harga siling pelitup muka ke paras lebih rendah.

Katanya, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus memeriksa kos pengeluaran sebenar dan menyesuaikan harganya.

Setiausaha agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh berkata, beliau menyokong langkah menurunkan harga, tetapi berkata, Putrajaya mesti memastikan ia adil kepada pengeluar.

“Ia mestilah keadaan menang-menang untuk semua pihak,” katanya kepada FMT.

“Tiada gunanya menurunklan harga dengan banyak sekiranya pengeluar memberhentikan pengeluaran.”

Beliau menggesa Putrajaya supaya mensubsidi harga atau memberikan pelitup muka secara percuma kepada anggota masyarakat yang miskin.

“Membayar RM1.20 setiap hari untuk membeli pelitup muka memang membebankan,” katanya.

“Bagi ramai orang ia mungkin merupakan kos sarapan pagi mereka. Oleh sebab memakai pelitup muka kini wajib, ramai yang akan menggunakannya semula untuk menjimatkan wang. Ini berbahaya.”

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa harga siling pelitup muka 3 lapis dikurangkan dari RM1.20 ke RM1 sekeping.

Beliau juga berkata, Putrajaya akan terus mengurangkan harganya dari masa ke masa.

Tiada ulasan: