GEORGE TOWN: Ibarat melancong di ibu kota Dhaka, Bangladesh.
Itulah suasana yang dapat digambarkan ketika berada berhampiran mercu tanda Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini apabila didapati wujud lebih 20 premis perniagaan yang didominasiwarga Bangladesh.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Gurdwara, Jalan Macalister dan Jalan Penang di sini baru-baru ini mendapati premis yang dahulunya menempatkan kedai runcit, bengkel membaiki basikal dan menjual peralatan rumah seliaan warga tempatan kini telah berpindah tangan kepada warga asing.
Difahamkan, pemilik asal bangunan kedai berkenaan yang majoritinya beroperasi secara generasi lebih enam dekad lalu kini menyewakan kepada warga Bangladesh termasuk ada yang terus berpindah milik.
Majoriti peniaga tersebut memulakan operasi perniagaan barangan am di tengah pusat bandar ini sejak lebih 10 tahun lalu dengan kadar sewa bulanan yang dikenakan adalah dari RM750 hingga RM6,000 sebulan.
Antara produk yang dipasarkan peniaga terbabit adalah produk kesihatan, kecantikan, makanan, pakaian dan barangan hiasan rumah yang diimport dari negara asal.
Mereka juga memasarkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, sayur-sayuran dan buah-buahan yang diambil daripada pemborong tempatan di negeri ini.
Selain menjual daging lembu, terdapat premis yang memasarkan ayam hidup dengan menempatkan sangkar haiwan ternakan itu di ruang belakang kedai.
Bagaimanapun, hasil pertemuan dengan beberapa warga asing terbabit turut memaklumkan lokasi pusat bandar itu kini lebih dikenali mereka sebagai ‘Mini Dhaka’.
Ini kerana, mereka boleh memperoleh pelbagai produk makanan segera atau peribadi yang dibawa dari negara berkenaan tanpa perlu pulang ke kampung halaman.
Seorang pelanggan premis, Ali Saheb, 40, berkata, dia yang tinggal di Batu Maung akan datang ke situ setiap dua kali seminggu untuk membeli barangan keperluan harian.
“Tempat ini seperti di Dhaka. Banyak barang dari Bangladesh boleh dibeli di sini seperti ubat nyamuk, barangan mandian sehinggalah makanan kering.
“Saya juga dapat bertemu rakan senegara di sini. Kami akan berkumpul setiap pagi hari minggu sambil berkongsi pengalaman kerja dan keluarga di kampung dan akan pulang semula ke rumah masing-masing pada petang,” katanya yang sudah 20 tahun tinggal di sini.
Dalam pada itu, seorang lagi warga Bangladesh, Abdul Saleem, 35, pula memberitahu, terdapat pelbagai pilihan produk dan barangan keperluan harian yang dijual di situ pada harga berpatutan lebih rendah berbanding kedai runcit lain.
Ali yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Bayan Lepas berkata, dengan adanya lokasi tumpuan sebegitu sekurang-kurangnya terubat rindu mereka terhadap keluarga di kampung halaman. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan