Jumaat, 14 Ogos 2020

Pemutihan peniaga, penjaja Bandar Baru Sungai Buloh

Ruwaida Md Zain

GAMBAR fail pada 13 Ogos menunjukkan operasi MBSA merobohkan stuktur haram di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, selama dua hari bermula esok.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, program itu bertujuan membantu peniaga dan penjaja di kawasan terbabit menjalankan perniagaan secara sah dan teratur.

"Insya-Allah, hujung minggu ini, pada 15 dan 16 Ogos akan ada program pemutihan untuk peniaga dan penjaja di situ

"Program ini, MBSA akan bekerjasama dengan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman

"MBSA berharap semua peniaga dan penjaja dapat mengambil peluang untuk menghadirkan diri ke program ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haris berkata, program terbabit akan diadakan di Dewan Meranti di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

"Program itu akan membabitkan beberapa jabatan dalam MBSA iaitu Jabatan Pelesenan bagi permohonan permit penjaja sementara manakala Jabatan Bangunan bagi Tatacara Permohonan Permit Binaan Bumbung Sengkuap dan 'Partition'.

"Jabatan Perancangan bagi keperluan kebenaran merancang bagi pembinaan sedia ada dan Jabatan Kesihatan Persekitaran bagi kebersihan dan keselamatan makanan.

"Pada hari Sabtu, program bermula pada jam 8 pagi sehingga 4 petang, manakala pada hari Ahad, program bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Tiada ulasan: