Selasa, 1 September 2020

63 tan makanan ikan diseludup dari Oman dirampas

Nurul Hidayah Bahaudin
 
MAKANAN ikan yang diimport dari Oman di Pelabuhan Klang Barat, Selangor, Isnin lalu. FOTO ihsan MAQIS

SEBANYAK 63 tan makanan ikan yang diimport dari Oman bernilai RM240,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor selepas menahan dua kontena di Pelabuhan Klang Barat, Selangor, Isnin lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dua kontena berkenaan, terdapat dua jenis makanan ikan yang dibawa masuk tanpa permit import sah.

"Hasil rampasan itu dianggarkan seberat 63,000 kilogram (63 tan) dan bernilai RM240,000.

"Dua kontena terbabit disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MAQIS akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan untuk semua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

"Ia bertujuan bagi menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan," katanya

Tiada ulasan: