Isnin, 10 Ogos 2020

Go Eat buka peluang pekerjaan B40

 Oleh Nur Izzati Izzah Binti Nadzi

Khairil Muzamil Abdul Rahman (tengah) bersama kakitangan Go Eat 
di ibu pejabat syarikat itu di Cyberjaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Go Eat, perkhid­matan penghantaran makanan pertama Malaysia yang diusahakan anak tempatan, membuka peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan (food rider) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) terutama generasi muda, suri rumah dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairil Muzamil Abd. Rahman, 34, berkata, beliau terpanggil untuk membangunkan Go Eat selepas melihat kejayaan negara lain mempunyai perkhidmatan penghantaran makanan tetapi tidak menjaga kebajikan pekerja mereka.

“Saya berjanji dengan diri saya untuk menjalankan perniagaan ini 100 peratus oleh rakyat tempatan daripada sistem, operasi, pengaturcara (programmer), kumpulan pengurusan, ketua-ketua bahagian dan lain-lain.

“Saya hendak buktikan kepada negara luar, terutama negara jiran yang lebih dahulu mempunyai jenama perkhidmatan penghantaran mereka bahawa Malaysia juga boleh. Apa yang membezakan Go Eat adalah kami menjaga kebajikan dengan menyediakan insurans kepada penghantar makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Go Eat, Cyberjaya baru-baru ini.

Khairil Muzamil berkata, Go Eat ditubuhkan pada April 2019 dan sudah lima bulan berada di pasaran selepas pelancarannya pada Februari 2020.

“Go Eat berbeza dengan per­khidmatan sedia ada yang hanya menumpukan kepada restoran makanan segera ternama. Matlamat Go Eat membantu golongan B40.

“Dengan platform Go Eat, kami wujudkan satu sistem dipanggil homecook untuk membantu golongan B40 dan suri rumah yang kekurangan ruang mempromosikan produk mereka bagi menjana pendapatan.

“Mereka perlu mendaftar sebagai vendor Go Eat dan boleh berniaga dengan kos yang sangat rendah dari rumah,” katanya.

Khairil Muzamil bersyukur Go Eat boleh dikatakan penyelamat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam tempoh berkenaan katanya, syarikat telah mewujudkan platform Go Bazar bagi membantu golongan B40 kebanyakannya peniaga di bazar Rama­dan menjalankan perniagaan dalam talian.

“Alhamdulillah, sepanjang dilancarkan kami membantu hampir 3,000 peniaga yang tidak dapat berniaga di bazar Ramadan menjana pendapatan,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: