Khamis, 7 Mei 2020

'Dr M jumpa pimpinan Armada macam pelik, terdesak' - Exco Armada

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Sekurang-kurangnya empat sayap Pemuda Bersatu (Armada) peringkat negeri dan dua anggota exco Armada telah 'memberontak' terhadap percubaan untuk mengarahkan sokongan Armada kepada Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi parti yang terlibat dalam perebutan kuasa dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Armada Terengganu, Sabah, Selangor dan Perak telah mengeluarkan kenyataan membantah selepas Armada pusat semalam menyatakan Pemuda Bersatu menolak kerjasama parti itu dengan Umno, di dalam kerajaan PN, dan meminta Bersatu untuk kembali bersama Pakatan Harapan.

Keputusan itu dibuat setelah pertemuan kepimpinan Armada dengan Mahathir Mohamad, yang dikatakan mendapat sokongan dua pertiga sementara selebihnya mengundurkan diri, manakala tidak ada yang menentang.

Bagaimanapun, Anggota Exco Armada, Mahathir Mohd Rais, yang tidak hadir dalam pertemuan itu, mengatakan para pemimpin tidak membantah kerana menghormati pengerusi Bersatu itu.

Menyebut pertemuan semalam sebagai 'pelik', dia berkata pertemuan dengan ketua parti itu nampak seakan 'terdesak' dan "tidak bertanggungjawab".

"Pandangan saya. Tujuan mengadakan mesyuarat Armada bersama pengerusi dilihat sebagai satu langkah yang terdesak dan tidak bertanggungjawab.

"Gunakanlah akal dan fikiran. Sudah tentu ketetapan yang dibuat didalam mesyuarat itu berlandaskan atas rasa hormat terhadap Tun (Dr Mahathir).

"Ada sahabat yang hadir dalam mesyuarat berkata. Jika mereka bersuara di dalam mesyuarat itu mungkin mereka akan dilabel sebagai biadap atau kurang ajar," jelas Mahathir Mohd Rais pada suatu kenyataan hari ini.
Semalam Armada membuat keputusan menolak kerjasama dengan Umno, sebaliknya kembali bekerjasama dengan PH.

Armada berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

"Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan pada akhirnya bersetuju untuk menetapkan pendirian rasmi sayap Armada, iaitu menyokong penuh pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno.

"(Serta) mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan," kata Armada dalam satu kenyataan.

'Lupakan PH'

Sementara itu, seorang lagi Anggota Exco Armada, Muzammil Ismail berkata pendirian sayap pemuda parti itu semalam mungkin memecahkan parti.

Beliau menggesa agar Armada "melupakan" Pakatan Harapan.

"Rata-rata Ketua Armada Bahagian Bersatu tidak menyokong sepenuhnya pendirian rasmi Armada Pusat pada 6 Mei 2020 yang memutuskan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Apakah ini polemik politik (Ketua Armada) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) dalam usaha beliau untuk menunjukkan kekuatan sokongan di hadapan Tun Mahathir dalam usaha untuk mengekalkan beliau sebagai Ketua Armada Nasional pada pemilihan yang sedang berlangsung.

"Sebagai exco Armada Nasional, saya berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Feb 2020 yang memutuskan Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH). Keputusan ini kekal sehingga terdapat keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terbaru," katanya.

Beliau maklum bahawa Perikatan Nasional (PN) bukanlah satu gabungan yang berdaftar tetapi beliau yakin kerjasama yang terjalin sekarang boleh dibentuk secara rasmi terutama sekali dalam menangani wabak Covid-19.

Pandangan itu dilontarkan Muzammil walaupun Umno menolak sebarang cubaan untuk mengabsahkan PN.

Bersatu kini berpecah kepada kem Muhyiddin dan kem Mahathir.

Kerajaan Harapan tumbang lewat Februari lalu apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada gabungan tersebut dan membentuk kerajaan baru bersama beberapa bekas anggota Parlimen PKR yang dikepalai bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

Kerajaan baru itu turut disertai BN, PAS, GPS dan beberapa parti kecil yang lain.

Mahathir sudah menyatakan hasratnya untuk kembali menguasai parti menerusi pemilihan Bersatu yang akan datang dan membawa parti keluar daripada gabungan PN.

Tiada ulasan: