Sabtu, 9 Mei 2020

Keputusan Bersatu keluar PH sudah dibincang lama

Dr Radzi Jidin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Dr Radzi Jidin menegaskan kenyataan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Marzuki Yahya kelmarin yang mendakwa parti itu tidak pernah membuat keputusan keluar dari Pakatan Harapan (PH) adalah tidak betul.

Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada mesyuarat 23 Februari lalu telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar daripada PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.

Katanya, keputusan ini bukanlah dibuat secara tergesa-gesa malah ia telah dibincang di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu pada 21 Februari 2020.

“Saya juga ingin menjelaskan kepada ahli-ahli Bersatu bahawa perancangan untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu diketahui dan disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

“Sebagaimana diketahui umum, Dr Mahathir sentiasa didesak oleh pimpinan PH terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP supaya beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri. Beliau dan pimpinan Bersatu yang lain serta ahli-ahli parti tidak selesa dengan desakan ini. Kerana itu, ramai yang berpandangan tiada lagi kesepakatan dalam PH.

“Selain itu, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk parti DAP dan mereka rata-rata mahu parti mengkaji semula hubungan Bersatu dengan DAP dalam PH.

"Justeru, demi kelangsungan perjuangan parti di masa hadapan, langkah mula diambil untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Radzi lagi, pada 24 Februari, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu kerana mendakwa tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahli MPT.

“Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, apabila Pengerusi berhenti maka Presiden memangku jawatan Pengerusi. Sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama telah membuat pengumuman Bersatu keluar dari PH sebagaimana yang telah diputuskan oleh MPT Bersatu dalam mesyuarat sehari sebelumnya,” katanya.

Menjawab persoalan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu tidak sah kerana ditolak MPT, Radzi berkata, setelah disemak dari sudut perlembagaan parti, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan MPT mengembalikan semula jawatan Pengerusi kepada pemegangnya yang telah meletak jawatan.

“Perkara ini adalah di luar batasan bidang kuasa MPT apabila terdapat peruntukan bertulis yang jelas mengenainya dalam Fasal 16.9,” katanya.




Tiada ulasan: