- Dikemas kini dengan reaksi Pemuda Amanah Nasional dan Pemuda PH Johor
Ketua
Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki "mengalu-alukan" cadangan Pemuda
Bersatu (Armada) mahu memutuskan kerjasama dengan mereka jika
bersungguh-sungguh mahu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).
“Jika Armada bersungguh-sungguh mahu memutusakan kerjasama dengan Umno dan kembali ke pangkuan PH bak orang gila talak, mereka dialu-alukan berbuat demikian.
“Rakyat pastinya hakim terbaik untuk menilai dan menghukum mereka yang sewenang-wenangnya mempermainkan mandat rakyat hanya kerana ketamakan dan kerakusan kepada kuasa, pada saat rakyat sedang susah dan gelisah menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Armada petang tadi yang membuat keputusan menyokong penuh pendirian Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
Sebaliknya sayap pemuda Bersatu itu mahu “mengembalikan mandat rakyat” dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan bekerjasama semula dengan PH.
Ada satu pilihan saja
Untuk rekod, Bersatu sebelum ini menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018.
Bagaimanapun mandat itu diperolehi secara kolektif melalui gabungan PH yang turut disertai PKR, Amanah dan DAP. Ia sekali gus menyaksikan Umno hilang kuasa buat pertama kali sejak PRU pertama diadakan.
Bagaimanapun Bersatu dibawa keluar daripada PH oleh presidennya, Muhyiddin Yassin, dan melalui kerjasama dengan Umno, MCA, MIC dan PAS, membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada masa sama menegaskan PN bukanlah sebuan badan yang sah kerana tidak berdaftar, berbeza dengan BN.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, menyatakan bahawa Bersatu “hanya ada satu pilihan sahaja” iaitu kembali bersama PH.
Mengulas lanjut, kata Asyraf, Armada sepatutnya bermuhasabah dan menginsafi punca sebenar keruntuhan PH setelah hanya 21 bulan berkuasa.
Katanya, keruntuhan itu berkait rapat dengan kerakusan kepemimpinan tertinggi mereka yang berebut kerusi perdana menteri.
“Mujurlah Umno dan PAS bersama komponen BN berjiwa besar, meletakkan kepentingan parti masing-masing ke tepi untuk bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya.
Keputusan oleh BN dan PAS itu, tambah Asyraf Wajdi, adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus tergantung tanpa kerajaan selama hampir seminggu.
Kelakar lagi menghiburkan
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini juga Pemuda Amanah menyelar Asyraf Wajdi dengan mengingatkan ketua Pemuda Umno itu bahawa kerajaan PN menjadi kerajaan tanpa melalui peti undi.
“Bagaimana kerajaan tanpa mandat rakyat boleh berpesan agar orang lain bertindak memenuhi mandat rakyat?
"Pesanan itu tidaklah salah, cuma sekali baca dan dengar kelihatan kelakar sekali gus menghiburkan,” kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.
Namun, kata Shazni Munir, jika ia menjadi kenyataan, Pemuda Amanah mencadangkan perlu ditetapkan terma bagi mengukuhkan kerjasama berkenaan serta mencapai kesepakatan yang lebih utuh dan mantap.
Senada
dengan Shazni, Pemuda PH Johor turut mengalu-alukan keputusan Armada
dan menasihatkan Asyraf untuk “mencermin diri sendiri”.
“Langkah bekerjasama dalam kerajaan PNlah yang hakikatnya telah mengkhianati mandat rakyat.
“Kudos! Salut dari Pemuda PH Johor buat rakan-rakan Armada Pusat,” kata mereka lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan