Jumaat, 20 Julai 2018

Putrajaya dedah laporan penuh siasatan MH370 hujung bulan ini

 
Laporan itu akan dibentangkan kepada keluarga mangsa dan media pada 30 Julai, diikuti ahli Parlimen pada 31 Julai sebelum dimuat naik ke laman rasmi kementerian.
 
 
 
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian mencetak 1000 naskah laporan siasatan penuh tragedi MH370 untuk diagihkan kepada pihak tertentu.

PUTRAJAYA: Laporan penuh siasatan tragedi MH370 akan dibentangkan kepada keluarga mangsa, pihak media, masyarakat umum dan warga Parlimen akhir bulan ini, kata menteri pengangkutan.

Anthony Loke berkata laporan siasatan itu dijadualkan dibentangkan bermula pada 30 dan 31 Julai ini diketuai Ketua Penyiasatan Tragedi MH370, Datuk Kok Soo Chon.

“Kita akan bentang siasatan penuh tragedi yang melanda MH370 kepada keluarga mangsa pada pagi 30 Julai ini secara tertutup.

“Waktu petang, kita akan adakan sidang media khas untuk petugas media bagi menghebahkan kepada umum.

“Kita juga akan bentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 31 Julai, seterusnya memuat naik laporan penuh tersebut ke laman rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk rujukan umum,” katanya pada sidang media hari ini.

Anthony juga berkata sebanyak 1000 naskah laporan siasatan penuh tragedi itu dicetak untuk diagihkan kepada pihak tertentu.

“Sebanyak 1000 set laporan itu akan diserahkan setiap 1 kepada keluarga mangsa, pihak media yang hadir dan setiap kedutaan luar negara di Malaysia.”

Penerbangan MH370 itu, yang membawa 239 orang, hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Malaysia pada Januari bersetuju untuk membayar syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di Houston sebanyak AS$70 juta jika mereka berjaya temui pesawat itu dalam tempoh pencarian selama 90 hari di selatan Lautan Hindi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: