Jumaat, 14 Julai 2017

Serpihan ditemui di Seychelles bukan milik pesawat MH370

Khairuddin Mohd Amin
Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan serpihan yang ditemui di Seychelles bukan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang lebih tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menghubungi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Seychelles (SCAA) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Menurutnya, pihak berkuasa itu telah berkongsi maklumat terperinci selain menyediakan beberapa gambar serpihan pesawat terbabit.

“Pasukan penyiasatan MH370 telah melakukan penilaian terhadap gambar-gambar itu dan mengesahkan bahawa serpihan tersebut bukan milik pesawat Boeing 777 dan enjin Rolls Royce,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serpihan yang dipercayai serpihan pesawat MH370 itu ditemui para saintis yang sedang mengkaji burung dan penyudi Farqhar, salah sebuah pulau di Seychelles.

Jurucakap agensi yang menguruskan semua pulau di Seychelles, Michael Payet berkata, serpihan terbesar berukuran 120 sentimeter (sm) panjang dan 30 sm lebar dan ia kelihatan seperti aluminium dan gentian karbon.

Pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang, termasuk anak kapal, hilang pada Mac 2014 tidak lama selepas berlepas dari Kiala lumpur menuju ke Beijing. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: