ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM456 juta dibelanjakan untuk membiayai operasi
pencarian MH370 yang hilang dalam tragedi misteri yang berlaku tiga
tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya lagi, pencarian di dasar laut seluas 120,000 kilometer persegi
di selatan Lautan Hindi melibatkan Malaysia, Australia dan China.
Operasi itu bagaimanapun ditangguhkan pada 17 Januari lalu.
"Keputusan menangguhkan operasi itu seiring dengan keputusan Mesyuarat
Menteri Tiga Pihak antara Malaysia, Australia dan China yang diadakan
Julai 2016.
"Menerusi mesyuarat itu, tiga negara terlibat bersetuju
mempertimbangkan untuk meneruskan operasi sehingga mendapat bukti dan
petunjuk baharu," katanya menjawab soalan William Leong (PKR-Selayang)
pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Leong bertanyakan kos yang dibelanjakan untuk operasi pencarian MH370
dan sama ada laporan mengenainya akan diedarkan kepada umum.
Kata Tiong Lai, susulan keputusan menangguhkan pencarian itu, Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) akan menerajui pasukan tindak balas bagi memantau
jika ada petunjuk atau bukti baharu berkaitan pesawat yang hilang itu.
"Pasukan penyiasat sentiasa telus dan adil, malah semua maklumat dikongsi bersama.
"Bermakna, dakwaan bahawa Malaysia tidak menyerahkan maklumat penting
siasatan kehilangan MH370 kepada pihak berkuasa di Australia adalah
tidak benar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan