Sabtu, 19 Mei 2018

MH370 antara keutamaan menteri pengangkutan Anthony Loke

 
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu juga mahu menjadikan pengurangkan kadar kemalangan dan memastikan jalan raya selamat sebagai agenda utamanya.


Anthony Loke berkata, pengalamannya selama 10 tahun di Parlimen banyak membantu beliau lebih memahami fungsi kerajaan. (Gambar fail)


SEREMBAN: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook terkejut dengan pelantikannya sebagai menteri pengangkutan dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke yang juga anggota Parlimen Seremban dan adun Chennah berkata, pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar khususnya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan juga keselamatan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti dan perdana menteri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri pengangkutan.

“Saya tahu ia adalah tanggungjawab besar, bukan hanya untuk pengangkutan darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga penerbangan, maritim, pelabuhan dan sebagainya, tetapi kementerian ini sangat penting untuk membantu pertumbuhan ekonomi.

“Saya juga perlu melihat banyak perkara…banyak isu (seperti) keselamatan jalan raya, daya saing pelabuhan kita dan sudah tentu isu utama bagi kementerian ialah terus mencari kehilangan MH370.

Saya harap semasa memegang jawatan ini, kita akan dapat mencapai kesimpulan kepada isu MH370.

“Ini saya fikir sangat penting bukan hanya untuk ahli keluarga, tetapi juga industri penerbangan. Saya amat berharap pada bulan-bulan atau tahun-tahun akan datang, kita akan dapat menutup tragedi ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, perdana menteri mengumumkan Loke yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP, sebagai menteri pengangkutan.

Pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Usaha untuk mencari pesawat itu masih gagal sehingga kini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, bagi memenuhi visinya, beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim memberi taklimat lengkap mengenai kementerian itu Selasa depan.

“Saya memberitahu KSU saya ingin ke lapangan secepat mungkin, terdapat banyak isu yang perlu dihadapi dan tentu saja perkara utama yang saya mahu lihat ialah kementerian mesti mengambil inisiatif untuk memastikan keselamatan jalan raya, memandangkan kini adalah bulan Ramadan dan tidak lama lagi, orang ramai akan berpusu-pusu balik ke kampung dan setiap tahun kita melihat banyak kemalangan berlaku.

“Ini adalah satu isu yang mahu kita tangani…kita mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, memastikan jalan raya adalah selamat untuk semua dan ia adalah agenda utama saya,” katanya.

Sepuluh tahun di Parlimen, Loke berkata, pengalaman itu banyak membantu beliau lebih memahami fungsi kerajaan.

“Sudah tentu saya tidak tahu semuanya, tetapi saya akan belajar. Sebagai menteri baharu, saya mengamalkan minda terbuka (dan) saya akan belajar, semestinya saya memerlukan sokongan daripada penjawat awam,” katanya.

Tiada ulasan: