Pastikan sijil vaksinasi digital lengkap dalam MySejahtera
BANGI – Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi secara walk-in kepada warga emas membabitkan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang mulai 19 Januari ini.
Empat PPV Integrasi terbabit adalah di World Trade Centre, Kuala Lumpur, Axiata Arena, Bukit Jalil, Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Soka Gakkai, Klang.
KKM berkata, semua PPV Integrasi itu telah dibuka mulai 15 Januari lalu untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang.
“PPV Offsite di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang serta Sarawak akan turut melaksanakan perkhidmatan vaskinasi secara walk-in kepada warga emas mulai 24 Januari 2022.
“Senarai lengkap PPV Offsite yang terlibat akan diumumkan oleh pihak ProtectHealth Corporation,” kata kementerian dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, warga emas yang ingin hadir secara walk-in diminta supaya mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi.
Kementerian memaklumkan, setakat 16 Januari, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang serta Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.
“Sehingga 16 Januari 2022, sebanyak 9,364,326 atau 40 peratus populasi Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak.
“Untuk makluman, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh 3 bulan daripada dos terakhir, adalah layak menerima dos penggalak,” katanya.
KKM turut memaklumkan bahawa buat masa ini, temujanji di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.
“Bermula 19 Januari 2022, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan di PPV tersebut khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan