Sabtu, 1 Januari 2022

Wang ihsan paling cepat dalam sejarah – PM

Oleh KOSMO! 
 
  Ismail Sabri menyampaikan wang bantuan ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, Dataran Bahaman di sini hari ini.

TEMERLOH – Penyaluran bantuan melalui wang ihsan kepada mangsa banjir kali ini dilihat paling cepat dilakukan iaitu selepas 10 hari kejadian banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengagihannya berbeza berbanding sebelum ini yang mengambil tempoh masa antara tiga hingga enam bulan selepas musibah berkenaan.

Katanya, rakyat memerlukan bantuan segera untuk memulihkan kehidupan mereka dan pihaknya sudah mengarahkan agar bantuan segera disalurkan kepada mangsa dan tidak perlu mengambil masa yang lama.

“Jadi kali ini, saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali bahawa penyaluran bantuan (wang ihsan) kali ini paling cepat dalam sejarah.

“Saya difahamkan, semua negeri terlibat banjir telah mula membuat pembayaran. Negeri Melaka misalnya telah habis. Pahang dan Selangor memerlukan masa kerana jumlah mangsa terlibat lebih ramai,” katanya ketika berucap.

Terdahulu, beliau hadir pada Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, Dataran Bahaman di Lanchang di sini hari ini.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan ekoran musibah banjir kali ini.

“Semalam saya umumkan kerajaan menyediakan bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah manakala bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM20.65 juta pada 24 Disember lalu.

“Sehingga 31 Disember lalu, kita telah mengagihkan RM7.813 juta kepada 5,159 ketua isi rumah (KIR) meliputi hampir 40 peratus daripada lebih 18,000 ketua keluarga yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujarnya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: