Ulama tersohor Datuk Syeikh Abdullah Bukhari meninggal dunia di rumahnya di Jalan Brani di Georgetown, Pulau Pinang hari ini pada usia 88 tahun.
Allahyarham adalah mantan Imam Masjid Kapitan Keling di Georgetown sejak 1972 hingga 31 Disember 2018, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi.
Berita pemergian ulama terkenal di Pulau Pinang itu dikongsi di banyak laman sosial Facebook hari ini.
Ia turut dikongsi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di Facebook beliau.
“Sesungguhnya beliau adalah antara ulama’ tua Pulau Pinang yang boleh dianggap sebagai mutiara berharga bagi negerinya.
“Kali terakhir saya menziarahinya dan menyampaikan sumbangan penghargaan kepada beliau adalah pada 9 Ogos 2020 semasa saya masih menjawat jawatan sebagai Menteri.
“Beliau berkhidmat tanpa jemu sebagai Guru Takmir bermula pada tahun 1985 sehingga tahun 2019,” tulis Dr Zulkifli.
Allahyarham memulakan pendidikan awalnya di Madrasah al-Mashoor al-Islami dengan kelulusan 4 thanawi dan pengkhususan Qismun Takhasasin dan Qismun Muallimun pada 1952.
Selain itu, Allahyarham turut memperoleh kelulusan Tahfizul Qurani dari Jamia Misbahul Hudha, Nidur di India pada 1953 dan memperoleh kelulusan Kelas Alim Maurlaui pada 1958.
Allahyarham dilaporkan pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadits di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pada 1958 hingga 1979.
Allahyarham sangat aktif dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan berkebolehan memberi ceramah dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Arab selain menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1960.
Sementara itu jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Noordin di Masjid Kapitan Keling selepas solat Asar hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan