Rabu, 26 Januari 2022

Tawar hanya empat kerusi dalam PRN Johor ‘bukan cara baik’ – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS berminat untuk meletakkan calon di semua kerusi yang gagal dimenangi Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, namun hanya ditawarkan empat kerusi sahaja.

Perkara itu didedahkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilapor portal Malaysiakini, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, cadangan meletakkan calon Pas itu dibawa kepada UMNO dengan hasrat mahu mengukuhkan semula Muafakat Nasional (MN) yang kelihatan sedikit retak sebelum ini.

Kata beliau, formula itu dikemukakan bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Johor.

Namun begitu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, cadangan Pas itu tidak diterima sekali gus perbincangan gagal mencapai titik persefahaman.

Malah, Tuan Ibrahim berkata, tawaran hanya empat kerusi kepada Pas di Johor bukan penyelesaian yang baik kepada parti itu.

“PAS menghormati pendirian Umno (dan BN) untuk bergerak solo. Bagi PAS, kami sudah hulurkan salam muafakat dan penyatuan ummah.

“Menawarkan empat dari 56 kerusi itu, saya fikir bukan cara baik,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memaklumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diinginkan Pas itu adalah milik pembangkang khususnya Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) juga akan turun dengan segala kekuatan yang ada bagi menghadapi PRN Johor selepas UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo.

Terdahulu, tular satu video dipercayai dirakam sewaktu mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor memaparkan Pengerusinya, Datuk hasni Mohammad memaklumkan bahawa parti itu menawarkan empat kerusi yang dijamin boleh dimenangi Pas.

Bagaimanapun, Hasni memberitahu, Pas menolak tawaran diberikan UMNO kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menawarkan 15 kerusi untuk ditandingi parti itu.

Tiada ulasan: