Isnin, 17 Januari 2022

Sukan Paramotor bakal jadi tarikan terbaharu Perlis – SUK

Majlis pelepasan program tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi, Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof dan Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad, kelmarin.

Azman berkata, program yang pertama kali dianjurkan di Perlis itu mendapat sambutan baik dengan mendapat 68 penyertaan para peserta peminat sukan tersebut dari seluruh Semenanjung.

“Hari terakhir Sukan Udara Paramotor anjuran bersama Persekutuan Sukan Udara Malaysia dan Kelab Paramotor Perlis (Fly High) di Kangar Jaya. Penyertaan terbesar (68 peserta dari Semenanjung Malaysia) dan pertama kalinya dianjur di Perlis,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau.

Presiden Kelab Paramotor Fly High Perlis Datuk Abdul Azib Saad berkata, karnival julung kali diadakan di negeri itu dianjurkan oleh Gabungan Kelab Paramotor Bahagian Utara yang terdiri daripada Kelab Paramotor Flyhigh Perlis, Kelab Paramotor Northern Sungai Petani dan Kelab Paramotor Sitiawan Perak.

“Kita harap penganjuran ini mampu menarik minat lebih ramai anak muda menyertai sukan udara ini kerana ia mampu membentuk keyakinan, jati diri dan disiplin tinggi,” katanya kepada Bernama.

Abdul Azib berkata, sukan paramotor berpotensi besar untuk dimajukan sebagai sukan pelancongan di Perlis kerana negeri itu mempunyai keindahan alam semula jadi.

Beliau turut berharap karnival itu dapat menjadi acara tahunan dengan bukan hanya sekadar tujuan rekreasi malah menarik lebih ramai pelancong ke Perlis.

Sementara itu, Pengurus Teknikal Northern Tour Paramotor Funfly 2022 Pegawai Waran (B) Zul Majdi Saari yang juga Presiden Kelab Paramotor Sitiawan Perak berkata, karnival berkenaan dianjurkan berkonsepkan ‘camp and fly’ iaitu peserta menginap di khemah sepanjang karnival berlangsung.

“Ini secara tidak langsung dapat memeriahkan lagi suasana aktiviti sekali gus merapatkan hubungan sesama peserta,” katanya. – UtusanTV

Tiada ulasan: