Isnin, 10 Januari 2022

Sijil digital vaksinasi palsu dijual RM2,500?

 Athirah Huda Zalhe

Pembeli didakwa hanya perlu sedia salinan IC, ID MySejahtera

BANGI – Bukan hanya mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan cara penipuan, malah sengaja pula mendorong orang ramai menjadi rakyat yang tidak bertanggungjawab.

Ini susulan tular satu mesej di aplikasi Whatsapp mendakwa menyediakan sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera dengan bayaran sebanyak RM2,500 bagi setiap individu.

Menurut mesej yang tular itu, sijil berkenaan akan dipaparkan maklumat pembeli sendiri seperti nama dan nombor kad pengenalan pada aplikasi MySejahtera.

Pembeli didakwa hanya perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan ID MySejahtera dan mengambil masa dua minggu selepas pembayaran dibuat sebelum MySejahtera pembeli dikemas kini dengan sijil itu.

Atas sebab itu, individu yang menawarkan sijil digital palsu berkenaan memberi jaminan kononnya pembeli akan ‘selamat’ jika diperiksa oleh penguat kuasa selain sijil boleh digunakan di semua tempat.

Individu itu juga mendakwa, MySejahtera pembeli akan dikemas kini sehingga dos yang disyorkan selain turut akan menerima kemas kini dos penggalak.

Tiada ulasan: