SUSULAN kesesakan yang berlaku di plaza tol berikutan penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil inisiatif untuk menggandakan pasukan bantuan untuk membantu pengguna yang berdepan dengan masalah tersebut.
PLUS dalam kenyataan seperti yang dilaporkan Harian Metro berkata, pihaknya juga mengambil langkah untuk meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti lorong RFID.
“Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.
“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan,” katanya.
Menurut PLUS, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma sekiranya tag berkenaan mempunyai isu pengesanan selepas ujian.
Tambahnya, pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan