Sabtu, 15 Januari 2022

Remaja dimandikan ala ‘jenazah’ akan dibantu selepas jalani hukuman, kata Menteri


Daniel Iskandar dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah 
Majistret Selayang selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid
 dengan mengheret dan menyorokkannya dalam bilik mandi jenazah 
di Masjid Al Islahiah Kuang pada 8 Jan lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad berkata, remaja yang dimandikan seperti “jenazah” kerana cuba mencuri tabung masjid akan dibantu selepas dia selesai menjalani hukuman.

Katanya, Daniel Iskandar, 19, perlu dibantu kerana dia masih muda dan mempunyai latar belakang yang mungkin menyebabkan dia terjerumus dalam kancah dadah.

“Saya sudah mengarahkan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) mengesan Daniel selepas ini untuk melihat bagaimana dia boleh dibantu,” katanya dipetik Berita Harian selepas Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah oleh MASAC di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya difahamkan Daniel ini mempunyai psikologi normal seperti yang lain, cuma dia kurang bernasib baik, mungkin kerana membesar dalam keluarga kurang kasih sayang. Mungkin dia tidak seteruk seperti yang digambarkan.”

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti “jenazah” selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi beberapa penduduk kampung berkenaan.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 selepas Daniel mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyorokkannya dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan.

Latiff berkata, kes Daniel menjadi pengajaran kepada semua untuk mengambil iktibar dan membantu mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Penyalahgunaan dadah tidak berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang, mungkin seseorang itu mengalami kesukaran seperti keluarga berpecah atau kurang mendapat kasih sayang.

“Masyarakat perlu bantu dan memberi perhatian sekiranya mengesan dari awal lagi.”

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan perlu sentiasa duduk bersama untuk membincangkan isu penyalahgunaan dadah.

“Sebagai contoh di Portugal, isu ini tidak lagi diletakkan dalam KDN, tetapi Kementerian Kesihatan kerana ia dilihat sebagai isu kesihatan,” katanya sambil menambah ramai penagih dadah boleh kembali ke jalan asal, jika dipantau individu seperti doktor.

Tiada ulasan: