Selasa, 4 Januari 2022

Rayuan Zakir Naik ditolak, kes saman akan didengarkan

 azrulhakimie

Kes akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

PUTRAJAYA – Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban S. Raveentharan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Dr Zakir untuk kebenaran merayu selepas membenarkan bantahan awal peguam Raveentharan iaitu Datuk T. Tharumarajah, Kernail Singh dan Asmeeta Rajendran.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun lepas adalah berdasarkan bantahan awal yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu dan Mahkamah Rayuan tidak meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.

“Oleh itu, usul kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan sekarang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan itu adalah berdasarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden (Raveentharan) di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata kebenaran tidak boleh diberikan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana permohonan kebenaran merayu mestilah berkaitan dengan perkara di Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa asalnya. – Bernama

Tiada ulasan: