Jumaat, 14 Januari 2022

Polis sahkan remaja cuba curi tabung masjid positif dadah jenis syabu

Tindakan seorang remaja berusia 19 tahun yang cuba mencuri wang dari tabung masjid bukanlah untuk membeli ubat datuknya.

Sebaliknya, ia adalah bagi kegunaan membeli dadah, kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

Memetik laporan Sinar Harian, siasatan polis mendapati remaja itu mencuri duit tabung untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.

“Soal siasat kami dapati dia mencuri untuk beli dadah dan untuk bermain judi online di telefon bimbit, bukannya untuk beli ubat datuknya seperti mana dakwaan yang tular di media sosial.

“Ujian saringan air kencingnya juga didapati positif dadah jenis syabu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Berdasarkan pengakuan remaja terbabit, dia telah terjebak dalam penagihan dadah sejak kira-kira setahun.

Pada Khamis, remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dikenakan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000.

Tiada ulasan: