Khamis, 20 Januari 2022

PM sendiri hubungi tentera, polis untuk bantuan selepas respons lambat Selangor ketika banjir

MALAYSIA NOW

Menurut Ismail, komunikasi terputus dan arahan tidak diendahkan berlaku ketika banjir baru-baru ini.

Beberapa amaran yang tidak diendahkan oleh pihak berkuasa tempatan, komunikasi yang terputus dan hujan berterusan menyumbang kepada kelemahan dalam menangani banjir besar di Selangor sehingga menyebabkan kemusnahan besar, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail turut mendedahkan selepas menyedari kelewatan dalam menggerakkan operasi menyelamat mangsa, beliau bergegas ke ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pada malam 18 Disember, di mana banjir melanda di beberapa bandar utama Selangor.

Beliau seterusnya mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan bertindak menghubungi pegawai kanan angkatan tentera dan polis bagi menggerakkan aset kerajaan ke Selangor.

“Susulan daripada komunikasi tersebut, panglima angkatan tentera mengarahkan panglima 11 Briged untuk serta-merta mengatur gerak anggota dan aset tambahan ke kawasan yang terjejas.

“Ketua polis negara juga mengarahkan tambahan anggota dan aset dari negeri-negeri yang berhampiran untuk membantu pasukan sedia ada.

Wujud spekulasi yang mengatakan pasukan keselamatan mengambil alih pengurusan banjir selepas Nadma dan agensi lain didakwa gagal memberikan respons terhadap kenaikan paras air di Selangor.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan menafikan khabar angin tersebut.

Namun tindakan saling menyalahkan antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa persekutuan berlaku ketika ribuan penduduk yang terjejas di kawasan terlibat berkata mereka menunggu beberapa hari sebelum bantuan tiba ketika banjir.

Ismail berkata amaran banjir di Selangor dikeluarkan seawal bulan September, dan beliau juga mempengerusikan mesyuarat yang disusun oleh Nadma melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di mana ia turut dihadiri menteri-menteri besar termasuk Selangor.

Beliau berkata satu lagi mesyuarat turut diadakan pada Oktober di mana ia melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pengerusi JPBN, di mana ia menegaskan mereka perlu bersiap siaga bagi berdepan situasi banjir di negeri masing-masing.

“Inilah peranan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan sebagai mengingatkan kerajaan negeri untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis melaporkan 55 korban akibat banjir baru-baru ini termasuk 40 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih belum ditemui.

Ismail berkata tiga cabaran yang dikenal pasti oleh sistem JPBN termasuk kelemahan pemahaman antara agensi pusat, negeri, daerah dan badan berkanun selain pihak swasta dan NGO berhubung tanggungjawab mereke di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.

Selain itu kelemahan dalam perintah dan kawalan turut menjadi cabaran di mana ketiadaan Nadma di peringkat negeri dan daerah sehingga menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi di lapangan.

Menurut Ismail juga kelemahan pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana turut menjadi cabaran lain ketika situasi banjir baru-baru ini.

“Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara,” katanya dan menambah maklumat harus disalurkan lebih pantas dan tepat kepada agensi dan mangsa banjir perlu diperbaiki.

Tiada ulasan: