KUALA LUMPUR: Kempen kesedaran mengenai jenayah penipuan dalam talian perlu diperluaskan terutama kepada golongan wanita dan warga emas bagi mengelak mereka terjerat dengan kegiatan itu.
Pengerusi Ikatan Komuniti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata berdasarkan laporan kes penipuan yang berlaku ketika inimenunjukkan ramai golongan itu terpedaya dengan penipuan memperoleh keuntungan mudah dan akhirnya terjerat kepada penipuan dalam talian.
"Sindiket ini sememangnya licik dan aktif melakukan penipuan walaupun pihak berkuasa berusaha menanganinya.
"Kerajaan tidak dapat membantu sekiranya mangsa sendiri bersikap tamak dan menginginkan kekayaan segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, seorang kerani wanita berusia 53 tahun mengalami kerugian RM132,000 selepas terperdaya melalui pertandingan 'teka bola sepak'.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata disebabkan mahu mendapat keuntungan banyak, mangsa dikatakan membuka lima akaun berasingan dalam aplikasi itu dan melaburkan RM132,000 sebagai modal pertandingan.
Lam Thye yang simpati dengan kerugian dialami mangsa menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan 'jerat' serta tawaran keuntungan dalam bentuk yang mudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan