Isnin, 10 Januari 2022

Pemulihan Covid-19: Malaysia di tangga ke-13 dari 122 negara

Sebahagian daripada orang ramai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Subang Parade. GAMBAR: Abd Razak Aid

EDISI terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 122 negara atau wilayah, tertinggi bagi negara ASEAN.

Ia selepas mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Indeks yang mengukur tahap pemulihan sesebuah negara daripada pandemik Covid-19 itu mendedahkan Malaysia mendapat 66.5 mata

Menerusi ciapan di Twitter, Nikkei Asia memaklumkan kedudukan yang lebih tinggi bagi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks berkenaan menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan.

Ia berdasarkan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat.

Di kedudukan pertama indeks itu, Bahrain mengatasi negara lain dengan 82 mata, diikuti Chile (76.5 mata), Taiwan (75.5 mata), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (75 mata) dan China (74.5 mata).

Untuk negara ASEAN, Kemboja berada di kedudukan ke-22 dengan 63 mata diikuti Singapura di tangga ke-23 (62 mata), Thailand ke-30 (60.5 mata) dan Indonesia ke-53 (54 mata).

Selain itu, Filipina di tangga 59 (53 mata), Myanmar di tangga 90 (44.5 mata), Vietnam di tangga 118 (35 mata) dan Laos di tangga 120 (33.5 mata).

Menurut Nikkei Asia, sumber data berhubung maklumat setiap negara atau wilayah diperoleh daripada Our World in Data, Google COVID-19 Community Mobility Reports, Oxford COVID-19 Government Response Tracker, Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei terbaharu kata Nikkei Asia menunjukkan perbezaan antara negara Asia dan Barat dalam pemulihan pandemik.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) kini berdepan tempoh sukar berikutan penularan varian Omicron yang melonjakkan jumlah kes Covid-19 di negara itu.

AS berada di tangga 87 dalam indeks berkenaan, dengan 46.5 mata dan United Kingdom (UK) di tangga 59 (53 mata).

Tiada ulasan: