KOTA KINABALU: Tindakan seorang pemandu cuba merempuh pihak berkuasa menyebabkan polis melepaskan tembakan dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek bersama dua rakannya dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan cuba mengelak daripada ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata pemandu kereta berkenaan ditahan oleh unit kereta peronda MPV di Tanjung Aru, di sini, selepas menerima maklumat sepasang suami isteri bergaduh dalam kenderaan terbabit.
Katanya, anggota MPV bertugas mengarahkan semua individu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun, turun dari kenderaan itu.
"Seorang lelaki dan wanita mendakwa pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa.
"Dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad manakala pemandu kereta mendakwa MyKad miliknya berada di tempat duduk," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, tiga daripada suspek termasuk wanita terbabit kembali memasuki kenderaan sebelum memecut, meninggalkan dua rakan termasuk suami wanita terbabit.
Katanya, anggota MPV mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik tiba di Jalan Tun Fuad Stephens yang sesak, pemandu Proton Wira itu berpatah balik secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis.
"Keadaan itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek.
"Suspek akhirnya menghentikan kenderaan di tengah jalan dan melarikan diri bersama dua rakannya," katanya.
Mohd Zaidi berkata, suspek wanita ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.
Katanya, dua lagi suspek dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu Proton Wira dan rakannya bernama Ali masih dikesan.
"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kita akan memohon perintah reman ke atas tiga suspek yang ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan